Sivarraajh jumpa Hamzah, mahu sertai PN?

Sivarraajh jumpa Hamzah, mahu sertai PN?

Bekas naib presiden MIC C Sivarraajh masih tidak membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti mahu pun menubuhkan parti baru.

Penjelasan itu hadir susulan desas-desus bahawa Ahli Dewan Negara itu berjumpa Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin.



Perjumpaan itu dikatakan bertujuan untuk Sivarraajh menyertai Perikatan Nasional (PN) dengan mengetuai satu jawatankuasa khas bagi kaum India di PN, setelah mengumumkan keluar dari MIC minggu lepas.

Ketika ditanya, Sivarraajh menafikan berbincang mengenai penyertaannya dalam PN.

“Saya memang jumpa Hamzah sebanyak dua kali selepas saya dipecat sebagai ahli CWC (jawatankuasa kerja pusat MIC). Beliau menghubungi saya untuk berjumpa dan saya pergi jumpa.

“Tapi, kami tidak bincang apa-apa mengenai masuk PN. Ia hanya satu perjumpaan biasa sahaja,” katanya.



Sivarraajh juga mendakwa dia sebelum ini ada berjumpa dengan pemimpin dari parti kerajaan.

“Buat masa ini saya masih ‘orang bebas’. Saya tidak ada masalah berjumpa dengan sesiapa. Saya juga sebelum ini berjumpa dengan beberapa pemimpin dari kerajaan. Tapi, saya belum membuat keputusan sertai mana-mana parti.

“Saya akan mempertimbangkan segala pilihan yang ada sebelum mengambil keputusan mengenai masa depan kerjaya politik saya,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, beberapa sumber dari MIC dan Bersatu memberitahu Malaysiakini bahawa Sivarraajh akan menyertai PN dalam masa terdekat.



Sumber dari Bersatu itu berkata bahawa Sivarraajh bersama-sama bekas ketua pemuda MIC Selangor, Punithan telah berjumpa dengan Hamzah beberapa kali sebelum mengumumkan keluar dari MIC.

“Dia (Sivarraajh) jumpa Hamzah beberapa kali. Dia diberi pilihan menubuhkan jawatankuasa khas bagi masyarakat India.

“Sekiranya PN kembali menjadi kerajaan, maka, Sivarraajh dijanji jawatan menteri kabinet,” katanya.

Berkongsi maklumat yang sama, satu sumber dari MIC pula berkata, Sivarraajh tidak menyertai mana-mana parti komponen PN, sebaliknya akan mengetuai sebuah jawatankuasa khas untuk masyarakat India di bawah PN.



“Sivarraajh keluar MIC kerana dia mahu masuk PN. Bukan Bersatu, Gerakan atau PAS. Tapi, sebuah jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan bagi masyarakat India di mana Sivarraajh akan mengetuainya.

“Mungkin dalam masa akan datang, jawatankuasa itu dijadikan sebagai sebuah parti politik bagi kaum India yang ingin bersama PN,” kata sumber itu.

Tambahnya, tindakan Punithan yang baru-baru ini keluar dari MIC juga adalah sebahagian daripada rancangan penubuhan jawatankuasa berkenaan.

Untuk rekod, pada 27 Jun, Sivarraajh bertindak keluar dari parti itu, dua minggu selepas dia dilucutkan sebagai ahli CWC MIC.



Dia memaklumkan perkara itu kepada presiden SA Vigneswaran menerusi sepucuk surat.

Sivarraajh berkata keputusan itu adalah yang terbaik untuk dirinya dan juga parti memandangkan dia dilihat sebagai “ancaman” kepada kepimpinan sedia ada dalam parti.

Dia juga berkata bahawa dia ‘disekat’ dengan pelbagai cara dari meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat dan negara.

Ketika dihubungi, Naib Presiden MIC T Mohan berkata bahawa Sivarraajh perlu menjelaskan dakwaan parti ‘menyekat’ dirinya.



“Apakah jasa beliau kepada parti selama ini? Setelah dia kalah dalam pemilihan parti bagi jawatan naib presiden, pucuk pimpinan melantik dia sebagai ahli CWC.

“Dia juga dilantik sebagai penyelaras parlimen Padang Serai yang merupakan kerusi tradisional MCA.

“Tapi, pucuk pimpinan parti berunding dengan MCA dan memberi dia peluang bertanding sebagai calon BN pada PRU dan sebelum menyokong dia menjadi sebagai Senator. Jadi, di mana parti menyekat beliau?” tanya Mohan.

Sivarraajh sebelum ini dipecat daripada CWC MIC pada awal bulan Jun.

Walaupun dia mendakwa dia tidak dimaklumkan sebab pemecatannya, sumber MIC memberitahu bahawa tindakan itu ekoran kegagalannya menghadiri program ‘Madani Government: Educational Development and Future of Indians’ di Shah Alam pada 10 Jun lalu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Program itu dianjurkan oleh Biro Pendidikan MIC dengan sokongan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra). Mk

Sivarraajh jumpa Hamzah, mahu sertai PN?

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Nabi Adam turun di Gunung Jerai, Saidina Uthman pernah ke Kedah antara dakwaan gila penceramah PAS yang mengelirukan – PM

Inspektor Sheila cari calon suami untuk jumpa ayahnya

Papagomo kalah debat dengan Wan Mahussin?

Pernikahan Shuib-Watie, Jep Sepahtu dedahkan beliau tidak dijemput

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker