Perbicaraan kes rasuah RM15 juta berkait bekas menteri KDN bemula tahun hadapan

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 10 hari pada Mei tahun depan untuk perbicaraan penuh seorang ‘Datuk Seri’ yang didakwa atas empat pertuduhan rasuah yang menyebut nama bekas menteri dalam negeri Hamzah Zainudin.

Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh perbicaraan pagi ini semasa sebutan kes terhadap ahli perniagaan Sim Choo Thiam.

Rozina menetapkan 6 hingga 10 Mei serta 13 hingga 17 Mei tahun depan untuk perbicaraan penuh. Dia juga telah menetapkan 21 Feb tahun depan untuk sebutan lanjut kes berkenaan.

Sim berdepan  satu pertuduhan meminta dan tiga pertuduhan menerima rasuah membabitkan RM15 juta yang kononnya berlaku dua tahun lalu.

Pada 10 Mei lalu, Sim mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan berhubung empat pertuduhan rasuah yang dituduh dilakukan antara Jun (tiada tarikh tertentu disebut) dan 30 Julai 2021.

Lelaki berusia 63 tahun itu dituduh melakukan kesalahan itu, sebagai dorongan untuk Hamzah, yang ketika itu menteri dalam negeri semasa pentadbiran Perikatan Nasional, untuk membantu Asia Coding Centre Sdn Bhd untuk mendapatkan sebarang projek daripada agensi di bawah kementerian berkenaan.

Sim dituduh meminta dan menerima rasuah daripada pengarah urusan Asia Coding Centre Hep Kim Hong, melalui Syed Abu Zhafran Syed Ahmad.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1, Kuala Lumpur.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, dengan Seksyen 24(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum tidak melebihi 20 tahun, serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah rasuah yang terlibat atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika tertuduh didapati bersalah.

Dia dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin dan diarahkan supaya menyerahkan pasportnya serta melaporkan diri di ibu pejabat SPRM terdekat di Kuala Lumpur sebulan sekali.

Pada 11 Mei lalu, Hamzah yang juga adalah ketua pembangkang mendakwa tindakan mengaitkan namanya dalam empat pertuduhan rasuah dalam kes tersebut adalah sebagai muslihat politik yang bertujuan untuk mencemarkan nama baiknya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya  Nor Asma Ahmad, manakala Sim diwakili peguam Low Wei Loke, Hannah Kam dan Kee Wei Lon.

Sementara itu, Bernama melaporkan perbicaraan kes seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Seri atas pertuduhan rasuah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bermula Mei tahun depan di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Hakim Rozina Ayob menetapkan perbicaraan kes membabitkan Datuk Seri Sim Choo Thiam berlangsung selama 10 hari bermula 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 Mei 2024.

“Kedua-dua pihak mempunyai masa untuk membuat sebarang permohonan berkaitan kes ini, sebelum perbicaraan bermula. Mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 21 Feb tahun depan,” kata Rozina.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad berkata pihaknya akan memanggil 20 saksi untuk memberi keterangan dan akan mengemukakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes itu.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Sim berkata pihaknya menyerahkan dua surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperincikan butiran dalam pertuduhan pada 6 dan 19 Jun lepas.

“Bagaimanapun, kami belum menerima maklum balas untuk kedua-dua surat itu. Oleh itu, kami akan memfailkan dua permohonan kepada mahkamah berdasarkan Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah,” kata peguam itu.

Nor Asma berkata pihaknya menerima surat tersebut dan arahan yang diterima adalah mengekalkan butiran dalam pertuduhan tersebut.

Pada 10 Mei lepas, Sim, 53, didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad.

Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang ketika itu Menteri Dalam Negeri, membantu Asia Coding Centre untuk mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah KDN.

Sim juga berdepan tiga lagi pertuduhan menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM15 juta daripada individu sama (Hep) sebagai dorongan untuk Hamzah melakukan perkara serupa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Shaas Holdings dan di kawasan letak kereta di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1 di sini antara Jun 2021 dan 30 Julai 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Ini sebab Mamat tidak hadir majlis pernikahan Shuib

Bangun Pagi Dah Ada Husband – Watie

Shuib tak jemput Sepahtu ke majlis nikah?

Shuib tersalah sebut nama isteri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker