Saya layan anak buah saya umpama keluarga -Inspektor Sheila

Saya layan anak buah saya umpama keluarga -Inspektor Sheila

“Video itu (tular) separuh, ramai tidak tahu cerita sepenuhnya, kalau nak tahu perangai saya dengan anak buah macam mana, saya memang layan mereka seperti keluarga,” kata Inspektor Sheila Sharon.

Menjelaskan perkara itu menerusi satu rakaman audio yang tular, Sheila berkata, ketika kejadian, dia datang ke Taman Sri Gombak bagi berbincang satu isu dengan dua pihak berkaitan.

“Ketika itu saya dari Bukit Aman, saya datang ke kawasan Gombak sebab ada kes dan isu, saya ada memanggil anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk datang membuat bantuan.

“Selepas itu, ada seorang peguam turut memanggil anggota dari IPD sama, jadi ada dua motosikal daripada unit rondaan bermotosikal (URB).

“Secara tiba-tiba, seorang anggota polis dikenali sebagai Lans Koperal Arif datang dan sergah ketika perbincangan sedang berlangsung,” katanya dalam rakaman audio berkenaan.

Menurutnya, anggota polis itu tidak bertanya apa urusannya sehingga mencetuskan kekecohan di kawasan itu.

“Dia minta saya supaya diam dan dia tidak bertanya saya dari mana, apa urusan saya.

“Kemudian cara dia minta kad kuasa di hadapan orang awam amat mengguris bila dia minta saya bagi kad pengenalan sebagai bukti saya pegawai polis.

“Kalau dia minta secara berhemah, saya pasti akan bagi kerjasama, cara dia itu tak betul dengan saya, cara cakap, saya pun tidak terdetik nak ambil (rakam) video ketika itu,” katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman audio iaitu perbualan seorang anggota polis dengan pegawai polis wanita terbabit menerusi aplikasi WhatsApp.

Perbualan telefon selama 22 minit itu menjelaskan tindakan pegawai wanita itu yang didakwa mencemuh anggota polis dalam kejadian di Taman Sri Gombak, Khamis lalu.

Jumaat lalu, tular video memaparkan seorang wanita yang didakwa sebagai pegawai polis, mengeluarkan kata-kata berbentuk hinaan kepada anggota polis dalam kejadian baru-baru ini, dipercayai berlaku di sekitar Gombak.

Video berdurasi 25 saat itu memaparkan wanita terbabit meninggikan suara dengan mengatakan seorang anggota polis yang ada di lokasi itu sebagai tidak layak menegurnya.

Pada masa sama, semalam, tular satu lagi video berdurasi satu minit 30 saat membabitkan wanita sama di kawasan parkir pusat beli-belah di Brickfields.

Aksi pegawai wanita dalam dua kejadian berasingan terbabit turut mendapat kecaman netizen.

Sementara itu, semalam, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor pada kenyataan berkata, tindakan tatatertib dan pemeriksaan kesihatan mental terhadap pegawai polis wanita itu sedang dijalankan.

Pada masa sama, beliau mengesahkan menerima laporan kejadian kekecohan membabitkan pengadu serta pegawai polis wanita terbabit yang berlaku di parkir pusat beli-belah di Brickfields, seperti tular di media sosial.

Kata beliau, kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Siasatan dijalankan susulan laporan yang dibuat seorang wanita berusia 27 tahun berkaitan kejadian.

“Berdasarkan laporan, pengadu mendakwa, kejadian berlaku jam 5.26 petang Jumaat lalu, ketika dia sekeluarga memarkir kenderaan di lokasi itu.

“Hasil siasatan mendapati, berlaku selisih faham apabila OYDS (orang yang disyaki) ingin memarkir kenderaan di sebelah kenderaan pengadu tetapi pintu pemandu dan penumpang belakang kenderaan pengadu terbuka.

“Pengadu menyatakan neneknya sedang menukar lampin pakai buang anak saudara ketika itu. OYDS yang tidak puas hati didakwa menekan hon dan menjerit memarahi pengadu serta ahli keluarganya,” katanya.

Tambah beliau, wanita itu turut memperlekehkan pakaian pengadu yang kelihatan seksi sambil merakam video.

Bagaimanapun, katanya, perselisihan faham itu dileraikan oleh saksi kejadian iaitu pasangan suami isteri sebelum pengadu beredar masuk ke dalam pusat beli-belah. HM

Saya layan anak buah saya umpama keluarga -Inspektor Sheila

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Ustaz Dusuki Tegur Puteri Sarah

Afiq simpan bukti dicurangi Pachara

Mondy ‘Influencer’ berduit, netizen kritik Ebit Lew

Cangkul kepala ibu saudara kerana berebut tanah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker