PAS main sentimen berbahaya samakan Palestin dengan Pulau Pinang

PAS main sentimen berbahaya samakan Palestin dengan Pulau Pinang

Tidak ada manusia waras menafikan kezaliman Israel daripada merampas tanah dan mengusir rakyat Palestin daripada tanah air hingga memenjarakan, mencederakan serta membunuh mereka yang berlarutan sejak 1948 lagi. Malah, Nakbah atau tragedi besar itu, bukan sahaja menjadi isu kemanusiaan merentas bangsa, bahkan lebih perit kepada umat Islam berkongsi akidah dengan majoriti penduduknya serta kedudukan Masjid al-Aqsa sebagai masjid suci ketiga selepas Masjidilharam dan Masjid Nabawi.

Justeru, tindakan PAS mengaitkan isu pemilikan tanah orang Melayu di Pulau Pinang dengan rampasan tanah air rakyat Palestin dalam akaun media sosialnya adalah salah dari segenap sisi sama ada sejarah mahupun fakta semasa, malah meremehkan darjat kezaliman Israel dan merendahkan tingkat kesengsaraan umat Palestin. Ia menyinggung perasaan dan membangkitkan kemarahan penduduk Pulau Pinang, tidak terkecuali orang Melayu rasional, bahkan meletakkan perjuangan bangsa ini sendiri mengejar arus pembangunan dalam sorotan salah.



Tidak sukar menduga punca persamaan dibuat secara cherry-pick atau tebang pilih dan tidak adil kerana konteks jauh berbeza itu berdasarkan suasana politik menghampiri Pilihan Raya Negeri (PRN). Apatah lagi ia muncul selepas polemik pajakan Pulau Pinang tambah mengeruhkan hubungan negeri, bahkan antara sesama rakyat. Namun sebesar mana pun cita-cita politik atau gelombang pengaruh mahu diciptakan, ia sama sekali tidak boleh membenarkan tindakan menunggang sentimen dan emosi rakyat, apatah lagi berkait agama serta kaum.

Malangnya, kenyataan sebegini dimuat naik tidak sampai setengah bulan Sidang Pengarang BH memberi amaran supaya manipulasi naratif kaum dan agama dihentikan dengan semua parti politik perlu membuat aku janji tidak mempergunakan isu 3R (bangsa, agama dan raja), bahkan Yang di-Pertuan Agong sendiri dalam ‘amanat terakhir’ Titah Hari Keputeraan Rasmi baginda awal bulan ini, mengingatkan supaya isu seperti itu tidak dijadikan polemik dan perbalahan politik. Apakah ini menandakan pemimpin politik tidak faham bahasa nasihat hingga perlu disedarkan dengan bahasa undang-undang?

Oleh itu, kita mendesak pihak berkuasa tidak bertangguh mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak mengeksploitasi isu sensitif tidak kira individu mahupun parti politik. Apakah undang-undang seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 belum cukup sedangkan kita melihat banyak kali kes orang perseorangan disiasat dan dihadapkan ke mahkamah kerana memuat naik kenyataan mengganggu ketenteraman awam. Usah sampai kelewatan mengambil tindakan memberikan persepsi negatif kepada masyarakat, malah disalah tafsir pihak berkenaan sebagai ‘kad bebas lokap’ dalam mainan berpapan politik mereka.

Harus diingat desakan ini bukan bermakna kita menyebelahi mana-mana parti kerana semua bebas berkempen termasuk mengadakan jerayawara walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) belum dibubar atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum tetapkan tarikh penting pilihan raya, sebaliknya kita tidak mahu ada pihak mempergunakan isu 3R untuk mengeksploitasi sentimen pengundi demi meminta ‘tebusan’ dalam bentuk undi kerana cara berpolitik sebegitu sangat berbahaya. BH



PAS main sentimen berbahaya samakan Palestin dengan Pulau Pinang

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Syamsul bayar edah RM15 ribu, nafkah anak RM6 ribu sebulan, insuran RM3.5 ribu dan percutian RM5 ribu setahun



Sophia Albarakbah bikin hal lagi?

Penunggang Ducati elak motosikal lawan arus maut jatuh dari Lebuhraya SUKE [VIDEO]



Kes saman Puteri Sarah terhadap Ira selesai



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker