Mengurus perpecahan ummah

Mengurus perpecahan ummah

oleh Dr Mohd Shukri Hanapi

Sebenarnya mengurus manusia lebih rumit daripada mengurus haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Manusia mempunyai akal pemikiran dan pendapat yang berbeza-beza. Kadangkala dengan perbezaan pemikiran dan pendapat yang dipengaruhi oleh emosi dan nafsu itu menyebabkan manusia hidup dalam keadaan berpuak-puak serta berpecah-belah.



Oleh sebab itu, mengurus manusia amat penting dan rumit, lebih-lebih lagi dalam mengurus perpecahan dalam kalangan mereka sehingga ia kembali menjadi tenang dan aman.

Al-Quran dan sunah meletakkan dasar penting dalam mengurus perpecahan manusia itu. Jadi, untuk mengurus perpecahan yang berlaku dalam masyarakat hari ini, kita wajib menjadikan dasar yang telah diletakkan oleh al-Quran dan as-sunah itu sebagai rujukan utama.

Antara ayat al-Quran yang menjelaskan cara mengurus perpecahan dalam kalangan manusia ialah firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika dua puak daripada orang yang beriman berperang maka damaikanlah di antara kedua-duanya, jika salah satunya melakukan kezaliman terhadap yang lain, perangilah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah, jika dia kembali patuh maka damaikanlah antara kedua-duanya dengan adil (menurut hukum Allah) serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara), sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.” (Surah al-Hujurat ayat 9)

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan mengenai tindakan yang sepatutnya dilakukan ketika berlaku persengketaan dan perbalahan dalam kalangan umat Islam yang boleh membawa kepada perpecahan dan pertumbahan darah.



Dengan itu, Allah SWT menyeru kepada semua umat Islam supaya berusaha memperdamaikan dua golongan yang saling bertelagah dan fitnah-memfitnah, seterusnya berusaha menyekat daripada berlakunya peperangan yang boleh mengorbankan banyak nyawa serta harta benda.

Terdapat beberapa peristiwa yang menjadi sebab penurunan ayat di atas. Antaranya ialah yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA. Menurut Anas bin Malik RA terdapat seorang sahabat yang berkata kepada Nabi SAW: “Bagaimana kalau kiranya engkau (Rasulullah SAW) pergi menemui Abdullah bin Ubay bin Salul?”

Tanpa memberi sebarang jawapan, lantas Rasulullah SAW terus pergi menemui Abdullah bin Ubay dengan menaiki seekor keldai dan diikuti oleh kaum Muslimin yang lain. Kemudian mereka tiba di suatu kawasan tanah gersang. Rasulullah SAW terus menemui Abdullah bin Ubay, lalu Abdullah bin Ubay berkata kepada baginda SAW: “Jauhkan dirimu daripada aku, demi Allah bau busuk keldaimu menyakitkan aku.”

Setelah mendengar kata-kata Abdullah bin Ubay itu, seorang sahabat daripada kaum Ansar berkata: “Demi Allah bau keldai Rasulullah SAW lebih harum jika dibandingkan dengan dirimu.” Lalu seorang daripada sahabat turut memarahi Abdullah bin Ubay.



Setelah itu, seorang pengikut Abdullah bin Ubay pula memarahi Rasulullah SAW sehingga terjadinya pergaduhan (perang mulut) antara kedua-dua pihak. Bahkan masing-masing daripada kedua-dua pihak memukul antara satu sama lain. Berhubung kejadian inilah, Allah SWT menurunkan ayat 9 Surah al-Hujurat. (Riwayat al-Bukhari)

Menurut riwayat daripada Said bin Jubayr pula, ayat 9 Surah al-Hujurat itu diturunkan berhubung persengketaan yang berlaku antara puak Aus dan Khazraj sehingga mereka bertindak ganas dengan pukul-memukul satu sama lain.

Seterusnya, menurut riwayat daripada as-Suddiy pula, terdapat seorang sahabat Rasulullah SAW daripada kaum Ansar yang bernama Imran. Beliau mempunyai seorang isteri yang bernama Umm Zayd. Pada suatu hari Umm Zayd menyatakan hasratnya kepada Imran untuk pergi menziarahi sanak saudaranya, tetapi Imran tidak membenarkan, bahkan bertindak mengurung isterinya di dalam rumah.

Keadaan ini menyebabkan Umm Zayd menghantar surat kepada keluarganya dan menceritakan perkara yang berlaku. Perkara ini tidak diketahui oleh Imran.



Setelah keluarga Umm Zayd mendapat berita ini, mereka pun datang beramai-ramai untuk membebas dan membawa Umm Zayd pulang ke pangkuan keluarganya. Oleh sebab pada masa itu suaminya (Imran) tiada di rumah, maka keluarga suaminya itu pun berkumpul beramai-ramai untuk menghalang usaha keluarga Umm Zayd melarikannya pulang ke rumah.

Justeru, daripada peristiwa itu berlakulah pertengkaran dan perbalahan sehingga ada yang bertindak memukul antara satu sama lain. Berhubung kejadian ini, dikatakan Allah SWT menurunkan ayat 9 daripada Surah al-Hujurat. Kejadian ini telah diketahui oleh Rasulullah SAW, lalu baginda menghantar utusan ke tempat kejadian untuk memperdamaikan pertelingkahan itu.

Meskipun terdapat beberapa peristiwa penting yang menjadi sebab penurunan ayat 9 daripada Surah al-Hujurat ini, semua peristiwa itu berakhir dengan kejadian yang sama iaitu pertengkaran, pertelagahan dan perpecahan.

Berdasarkan peristiwa yang berlaku ini, jelas bahawa pertelagahan dan perpecahan yang berlaku tidak boleh dibiarkan sama sekali. Ia hendaklah segera diurus dengan adil dan bijaksana demi mewujudkanperdamaian dalam kehidupan.



Sebagai umat Islam, kita tidak seharusnya berdiri sebagai penonton dan membiarkan perpecahan bertambah buruk dan parah. Setiap orang yang cerdik, bijak serta mempunyai kemampuan, perlulah melibatkan diri sebagai pengurus untuk mengekang perpecahan yang berlaku itu.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah menjelaskan tentang keutamaan mengurus perpecahan serta bahayanya jika dibiarkan perpecahan dan pertelagahan itu terus berlaku.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Adakah kamu mahu aku beritahu suatu perbuatan yang lebih utama daripada keutamaan puasa, sembahyang dan sedekah? Mereka (sahabat) menjawab: Ya!. Maka Rasulullah SAW bersabda: Iaitu mendamaikan persengketaan yang sedang berlaku. Rosaknya hubungan persaudaraan kerana perpecahan seperti mencukur. Aku tidak bermaksud mencukur rambut, tetapi mencukur yang bermaksud merosakkan agama.” (Riwayat at-Tirmizi dan Abu Dawud)

Dalam proses mengurus perpecahan, kita hendaklah membincangkan tentang isu yang menyebabkan berlaku perpecahan itu dalam keadaan aman. Apabila selesai sahaja proses perbincangan itu, hendaklah dijatuhkan hukuman kepada pihak yang bersalah dengan hukuman yang seadil-adilnya.



Oleh itu, puak yang berpecah atau bertelagah wajib menerima hukuman yang dijatuhkan dengan tenang dan terbuka. Sekiranya satu daripada dua pihak yang bermusuh itu menolak hukuman dan enggan tunduk terhadap proses perdamaian yang dilakukan, wajarlah dalam keadaan sebegini hakim menjatuhkan hukuman ke atas golongan ingkar terbabit supaya mereka kembali tunduk serta patuh kepada Allah SWT, seterusnya bersetuju menerima perdamaian.

Jika umat Islam sentiasa berpandukan kepada ajaran al-Quran dan as-sunah untuk mengurus perpecahan dalam kalangan umat Islam, nescaya tidak akan berlaku sebarang peperangan antara negara Islam atau sesama Muslim.

Sebenarnya segala peperangan itu tidak memberi sebarang keuntungan kepada mana-mana pihak, bahkan hasil daripada peperangan itu ialah kerugian yang besar, banyak jiwa terkorban, harta benda musnah dan sentiasa berlaku pergolakan dalam dunia Islam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sebenarnya semua orang yang beriman itu adalah bersaudara, damaikanlah antara dua saudara kamu (yang berpecah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat ayat 10)

Dalam ayat ini, Allah SWT jelaskan bahawa semua orang yang beriman adalah bersaudara dan hendaklah sentiasa mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain.

Oleh itu, sekiranya berlaku perpecahan dalam kalangan umat Islam, hendaklah segera mencari perdamaian sebelum ia merebak kepada berlaku pembunuhan dan pertumpahan darah.

Sebenarnya perdamaian dan berbaik-baik adalah sebahagian daripada sifat takwa. Allah SWT sentiasa limpahkan rahmat-Nya yang tidak terhitung kepada semua Mukmin yang inginkan kedamaian dan kebaikan.

Maka jelaslah Islam satu-satunya agama yang demokratik di dunia ini kerana ia mempersatukan semua umat manusia dan membuatkan mereka menjadi satu umat kuat serta disegani.

Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang

Mengurus perpecahan ummah

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Sebab UMNO kalah teruk

Kamal Adli takut buka media sosial

Sharnaaz, Amelia kongsi momen jatuh cinta

Bikini Amy Nur Tinie bikin panas

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker