Anggota polis tular dalam TikTok ugut pelancong China didakwa
Anggota polis tular dalam TikTok ugut pelancong China didakwa
Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang videonya tular memeras ugut pelancong China kerana gagal menunjukkan pasport dalam satu sekatan jalan raya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Bagaimanapun tertuduh Mohamad Ikhwan Mahat, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyebabkan ketakutan kepada seorang wanita iaitu Lee Log Ling, 26, (warga tempatan) dengan meminta wang RM200 sekiranya mahu dilepaskan kerana kegagalan rakan Log Ling yang merupakan warga China untuk membawa pasport semasa diperiksa dengan niat untuk pemerasan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bulatan Dato Onn, Jalan Parlimen di sini pukul 11 malam pada 23 Mac lalu yang didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum RM10,000 atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal manakala tertuduh diwakili peguam Purshotaman Puvanendran.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Pada 3 April lalu, media melaporkan satu siasatan sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan seorang anggotanya memeras wang seorang wanita pelancong China seperti dalam satu rakaman video yang tular.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya telah mengesan kewujudan video berdurasi seminit 48 saat di akaun TikTok selepas tular di laman sosial.
Terdahulu, video dimuat naik di TikTok memaparkan seorang wanita sedang mengulas isu berkenaan dalam bahasa Cina bersama sedikit rakaman kejadian.
Berdasarkan kapsyen video tersebut, anggota polis terlibat didakwa meminta wang sebanyak RM200 daripada seorang wanita berasal dari China ekoran gagal menunjukkan pasportnya kerana tertinggal di hotel. K Online
Anggota polis tular dalam TikTok ugut pelancong China didakwa
Baca Artikel Menarik:
- Anak Hamzah cuti sakit hari pertama prosiding mahkamah
- Syarleena lapor polis terhadap Sanusi atas dakwaan keluar perkataan lucah
- Awie raih kutipan RM161 juta untuk semua filem
- PAS dulu pun suruh ahli undi DAP, kini bersama Gerakan yang tentang hudud
- Guru ditahan, disyaki rogol 27 gadis
- Mahathir akan jumpa Muhyiddin
- Bekas ahli mahu Umno ‘ranap’, senang kembali kuasai parti
- Along pecahkan cermin kenderaan lima jiran rugi RM5,000
- Menuju PRN: Masih nak sayang pemimpin ‘poyo’?
- Kelar tangan selepas bini tegur beli jam mahal
- Pelanggan mengamuk di kedai nasi dagang sebab mahu dipanggil sebagai ‘abang’ dan ‘baby’ [VIDEO]
- Lelaki pukul kepala pemandu wanita diberkas polis
- Semua orang tahu dia jual tanah – Mahathir
- SPRM buka kertas siasatan, teliti dokumen PN terima dana judi
Layari Laman Facebook MYKMU.NET