Unisel disaman bekas kakitangan kerana tangguh skim faedah persaraan

Sekurang-kurang tujuh bekas kakitangan Universiti Selangor (Unisel) bertindak memfailkan saman terhadap pengurusan universiti kerana didakwa enggan meneruskan skim pembayaran faedah persaraan kepada pesara wajib dan kakitangan yang masih berkhidmat.

Menyifatkan kumpulan mereka sebagai gerakan menuntut hak persaraan Unisel, mereka turut meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dalam isu yang dikatakan berlanjutan sejak 2019.

Menurut laporan MK, wakil kumpulan itu, Mohd Sulaiman meminta perdana menteri meluangkan sedikit masa untuk membantu kakitangan dan bekas kakitangan Unisel agar diberikan pembelaan terhadap tindakan pembatalan keistimewaan hak faedah persaraan oleh pengurusan Unisel.



“Kami ingin meluahkan rasa gundah gulana dan kekecewaan kami terhadap pengurusan tertinggi Unisel di bawah Profesor Dr Mohammad Redzuan Othman selaku presiden dan naib canselor yang enggan dan gagal menangani serta berlaku zalim kerana tidak meneruskan skim pembayaran faedah persaraan kepada kami

“Malah, mereka juga tidak memberikan ruang berbicara dan peluang yang secukupnya untuk kami mengutarakan serta membincangkan isu kewajaran mereka membatalkan sesuatu hak keistimewaan yang dijanjikan kepada semua kakitangan terbabit yang berkhidmat sejak awal penubuhan universiti sehingga hujung tahun 2011.

“Tindakan pengabaian mereka ini jelas bertujuan menindas, menipu dan mempergunakan perkhidmatan kami tanpa mengira isu kebajikan serta janji bagi membolehkan kami mampu bersara dalam suasana yang baik,” katanya.

Perubahan pada 2012



Mohd yang juga bekas penolong pendaftar universiti tersebut berkata pada 2006, pengurusan tertinggi Unisel ketika itu mengeluarkan satu pekeliling kepada semua kakitangan mereka mengenai beberapa perkara pindaan, tambahan dan penjelasan mengenai syarat-syarat dan terma perkhidmatan kakitangan.

Katanya, pekeliling itu menjelaskan suatu makluman berkenaan pengiraan kadar pembayaran faedah persaraan untuk kakitangan yang berkhidmat sekurang-kurangnya lima tahun dengan pembayaran faedah persaraan dibuat secara sekali bayar.

“Namun, pada 2012, kesemua kakitangan dimaklumkan akan ada perubahan pada skim pembayaran faedah persaraan selepas diputuskan oleh Lembaga Pengarah pada 14 Disember 2011. Keputusan dibuat selepas saranan diterima daripada Jawatankuasa Khas Unisel yang bermesyuarat pada bulan November 2011 .

“Dalam pekeliling tersebut, keputusan telah diambil untuk menangguhkan terlebih dahulu pembayaran faedah persaraan kepada semua kakitangan Unisel berkuatkuasa serta-merta pada mereka yang baru menyertai Unisel pada tahun 2012 dan ke atas.



“Penangguhan ini dilakukan agar satu kajian susulan industri dan semakan dapat dilakukan dalam masa terdekat. Sungguhpun begitu, penangguhan ini tidak tertakluk kepada semua kakitangan yang menyertai perkhidmatan sebelum tahun 2012.

“Oleh itu, mana-mana kakitangan Unisel yang dilantik bekerja sebelum tahun 2012 adalah layak menerima sebarang faedah persaraan yang dijanjikan itu,” katanya.

Tambahnya, satu pengesyoran diperolehi daripada Juruperunding Actuarial Partner kepada Jawatankuasa Khas Unisel pada November 2011 agar pembayaran faedah persaraan ini diteruskan kepada mereka yang layak bagi mengelakkan universiti dikenakan tindakan saman dan undang-undang daripada pesara dan kakitangan mereka.

“Oleh demikian, pengurusan tertinggi Unisel masih meneruskan pembayaran faedah persaraan ini sejak kepada kakitangan bersara yang dilantik sebelum 2012 serta berkhidmat minimum selama lima tahun sehinggalah pelantikan presiden/naib canselor hari ini pada tahun 2016 yang mengubah segala-galanya mengikut suka hatinya sendiri,” katanya.



‘Selangor bukan negeri miskin’

Katanya, pada 12 Disember 2018, mesyuarat Lembaga Pengarah membuat keputusan untuk membatalkan skim pembayaran faedah persaraan dan gratuiti kepada semua kakitangan Unisel.

“Pembatalan ini termasuk semua kakitangan dan pesara tidak kira tahun kemasukan perkhidmatan mereka walaupun pada mereka yang sudah bersara wajib selepas pekeliling dikuatkuasakan. Pengurusan Unisel telah memberikan banyak alasan yang tidak munasabah dan berat sebelah apabila menjelaskan mengenai pembatalan skim pembayaran faedah persaraan ini.

“Antaranya ialah pembatalan dilakukan kerana kajian mereka mendapati bahawa keistimewaan faedah persaraan ini tidak lagi diamalkan dalam organisasi yang mengamalkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).



“Mereka juga mendakwa Unisel tidak mempunyai tabungan khas untuk tujuan pendanaan faedah persaraan dan jika diteruskan, prestasi kewangan universiti akan terjejas teruk pada masa hadapan,” katanya.

Mohd berkata pihak mereka menolak alasan-alasan ini dengan berkata bahawa Unisel adalah universiti milik kerajaan negeri Selangor dan Selangor bukannya negeri yang miskin.

“Bukan itu sahaja, janji memberi faedah persaraan ini bukannya baru tetapi direncanakan sejak penubuhannya lagi. Maka, kerajaan negeri pada peringkat penubuhannya sudah mempunyai rancangan dan komitmen kewangan untuk membayar keistimewaan ini kepada para pesaranya,” katanya.

Katanya, usaha kumpulan mereka menghubungi Menteri Besar Selangor Amirudin Shari selaku pengerusi lembaga pengarah Unisel dan Menteri Pengajian Tinggi Khaled Nordin tidak berjaya.



“Kami telah menghantar memorandum kepada mereka. Tetapi, tidak ada sebarang respons sehingga kini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kes mahkamah mengenai saman mereka, Mohd memberitahu bahawa sehingga kini sebanyak tujuh kes telah didaftarkan secara individu.

“Salah satu kes membabitkan pesara kakitangan akademik Unisel telah berakhir dengan kemenangan untuk pihak kami di dalam menuntut pembayaran faedah persaraan. Satu lagi kes ditetapkan tarikh bicara pada Oktober ini.

“Satu lagi kes akan ditetapkan tarikh perbicaraan dalam masa terdekat dan tiga lagi kes telah difailkan,” katanya.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Individu Saksi Pelakon Lelaki Pukul Teman Wanita Berkali-Kali, Didakwa Memiliki Wajah Soleh

Mamu Kena Gari

Lelaki Tikam Kekasih 16 Kali, Pukul Dengan Bongkah Batu Depan Orang Awam

Video makan lauk terakhir dimasak ibu undang sebak

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker