Merokok antara punca ‘barang tak naik’

MEROKOK adalah tabiat yang boleh mengundang risiko kesihatan kepada si perokok antaranya serangan jantung dan kanser paru-paru.

Malah, data Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan merokok menjadi faktor risiko utama bagi penyakit berbahaya dan menyebabkan 10 hingga 12 peratus kematian di Malaysia.

Di negara ini, hampir 50 peratus lelaki adalah perokok. Lebih membimbangkan 25 peratus daripadanya adalah pelajar sekolah berumur 15 tahun ke atas pernah mencuba merokok dengan 70 peratus menjadi perokok apabila meninggalkan bangku sekolah.



Lebih mengerikan, hanya 50 peratus kalangan perokok akan dapat menjangkau umur 70 tahun manakala perbelanjaan rakyat Malaysia dalam aktiviti ini kira-kira RM1.5 bilion setiap tahun untuk membeli rokok

Justeru, Hari Tanpa Tembakau Sedunia disambut setiap tahun, pada 31 Mei, bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya dan risiko kesihatan akibat merokok dan akhirnya menghentikan penggunaan tembakau di seluruh dunia.

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) lebih tujuh juta orang maut di seluruh dunia dengan menghisap rokok.

Malah, terdapat 7,000 bahan kimia di dalam rokok dan 70 bahan pula dikenali menjadi punca kanser.



Tahap kesuburan menurun

Justeru, selain penyakit jantung, risiko paling membimbangkan perokok juga boleh menyebabkan tahap kesuburan mereka menurun dua kali ganda berbanding yang tidak merokok.

Fakta, aktiviti merokok yang aktif mampu mempengaruhi tahap kesuburan dan mempengaruhi jumlah sperma, pergerakan kuantiti dan kualiti sperma.

Meskipun, ia tidak melabelkan ‘kemandulan’ atau ketidaksuburan tetapi kualiti sperma yang berkurangan mengakibatkan persenyawaan tidak berlaku dan boleh melambatkan proses konsepsi atau mengandung.



Seperti lelaki, perokok wanita juga mempunyai kesan yang serupa, iaitu mempengaruhi fungsi reproduktif dan perubahan horman, sekali gus menyebabkan masalah kesuburan.

Bahan kimia ganggu kualiti telur, sperma

Mengulas perkara itu, Perunding Obstetrik dan Ginekologi yang juga Perunding Perubatan Reproduktif dan Kesuburan, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), UPM, Prof Madya Dr Habibah Abdul Hamid, berkata aktiviti merokok sama ada wanita dan lelaki akan mengakibatkan kesan kepada organ dalaman reproduktif manusia.

Bahan kimia dalam rokok menjadi punca utama kesan kepada toksik dalam badan manusia termasuk organ reproduktif.



Bahan kimia dalam rokok boleh menyebabkan gangguan kepada kualiti ovum (telur) wanita dan sperma lelaki.

“Bagi lelaki, pengurangan kualiti dan kuantiti boleh mengganggu fungsi reproduktif lelaki. Ia mengakibatkan, bilangan jumlah sperma, pergerakan sperma dan rupa bentuk (morfologi) sperma.

“Bagi wanita pula, kualiti ovum merosot disebabkan toksin yang dihasilkan oleh rokok di samping memberi kesan kepada pada fungsi organ repoduktif dan perubahan hormon yang boleh menyebabkan masalah ketidaksuburan ini.

“Ia juga boleh mengakibatkan masalah hubungan seksual. Bagi lelaki akan mengalami masalah seperti ereksi penis (erectile dysfunction) dan libido (keinginan untuk bersama atau hubungan kelamin).



“Begitu juga kepada wanita adalah lebih kepada masalah kurang minat dan lambat terangsang untuk bersama atau hubungan kelamin,” katanya.

Alami ketidaksuburan dan keguguran bayi

Dr Habibah berkata, aktiviti merokok juga dipercayai menyebabkan kromosom dan asid deoksiribonukleik (DNA) manusia terkesan sehingga mempengaruhi sel-sel reproduktif.

“Sel reproduktif ovum dan sperma yang terkesan ini bukan sahaja boleh menyebabkan ketidaksuburan tetapi ia juga meningkatkan masalah keguguran bayi dan kandungan luar rahim (ektopik).



“Merokok didapati adalah antara faktor berisiko berlaku keguguran.

“Risiko keguguran ini meningkat apabila embrio yang disenyawakan itu tidak boleh bertahan disebabkan fungsi reproduktif yang terganggu. Kemungkinan peningkatan keguguran disebabkan oleh kandungan atau embrio tersebut tidak normal’

“Tabiat merokok itu juga berisiko mendapat kandungan luar rahim (kandungan ektopik) disebabkan gangguan pada saluran tiub falopio (Fallopian tube).

“Antara kesan lain, kejayaan rawatan ketidaksuburan bagi pasangan bermasalah juga rendah berbanding dengan pasangan tidak merokok,” katanya.

Bahan kimia daripada perokok dipercayai akan mengakibatkan kualiti telur menurun seterusnya menjadi toksik kepada telur. Apabila situasi ini berlaku, proses persenyawaan akan menjadi sukar, berbanding individu tidak merokok.

Kajian bahaya vape perlu dilakukan

Dalam perkembangan sama, Dr Habibah turut menzahirkan kebimbangan terhadap kumpulan anak muda hari ini yang dikesan aktif menghisap vape, memandang bahan kimia dalam produk itu masih sukar dijelaskan secara terperinci.

“Meskipun, tiada kajian mengenai bahaya vape terhadap tahap kesuburan manusia, namun saya percaya situasi ini agak merunsingkan kerana kita tidak tahu bahan kimia bagaimana yang masuk kepada badan. Namun saya percaya kemungkinan kesannya adalah sama seperti merokok.

“Ia juga begitu merisaukan kerana ramai anak muda termasuk remaja bawah umur sangat terpengaruh dengan tabiat ‘vaping’. Oleh itu perlunya satu kajian lebih terperinci terhadap kesan vape yang mempengaruhi tahap kesihatan dan kesuburan manusia,” katanya.

Beliau berkata, kajian terkini perlu dijalankan bagi mengetahui tahap kesuburan akibat daripada merokok dan juga penggunaan vape dalam kalangan lelaki dan wanita reproduktif di Malaysia.

“Ini penting bagi mengetahui prevalen dan faktor risiko masalah ketidaksuburan bagi memberikan kesedaran akan keburukan merokok atau vape,” katanya.

 

Bahan kimia ganggu kualiti telur wanita dan sperma lelaki sekali gus menyebabkan ketidaksuburan. - Foto hiasan
Bahan kimia ganggu kualiti telur wanita dan sperma lelaki sekali gus menyebabkan ketidaksuburan. – Foto hiasan

 

Info :

* 7,000 bahan kimia di dalam rokok, 70 bahan dikenali menjadi punca kanser

Bahan bahan utama rokok yang berbahaya ialah:

1. Nikotin
2. Tar
3. Karbon monoksida
4. Arsenik
5. Formaldehid
6. Plumbum

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Bunuh Skandal Sebab Hamil, Teman Wanita Sifatkan Suspek Seorang Yang Baik

Pelajar Ini Selamba Tanya PMX Bila e-Belia Akan Masuk (Video)

Hanya dua minggu kecapi bahagia sebagai suami isteri (Video)

Syatilla Melvin beri amaran kepada penyondol (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker