Pengendali batal umrah sewenangnya wajar dikenakan tindakan – Andalusia Travel

Pengendali batal umrah sewenangnya wajar dikenakan tindakan – Andalusia Travel

Pengendali pakej ibadah haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd menggesa kerajaan untuk mengenakan tindakan sewajarnya kepada agensi yang sewenang-wenangnya menangguh atau membatalkan umrah bakal jemaah tanpa sebab munasabah.

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ida Riswana Idris, berkata tindakan itu penting kerana sekiranya dibiarkan, dalam jangka masa panjang ia boleh memberi kesan dari sudut ekonomi serta psikologi umat Islam yang bersemangat untuk menunaikan ibadah.

Secara tidak langsung juga, ia boleh memberi imej buruk kepada pengendali lain hanya disebabkan oleh segelintir yang gagal menjalankan perkhidmatan yang ditawarkan kepada bakal jemaah.

“Sebenarnya, apabila setiap pengendali itu melakukan semua langkah dari awal hingga akhir dengan cara yang sepatutnya, ia tidak akan mendatangkan masalah pada masa akan datang yang akhirnya memberi kesan kepada bakal jemaah itu sendiri.

“Perlu ada formula digunakan oleh setiap pengendali untuk memastikan apabila berlaku kenaikan harga pakej secara tiba-tiba atau pembatalan kontrak dengan jemaah, ia boleh ditangani.

“Umpamanya dari pihak Andalusia sendiri, kami akan memastikan segala tempahan tiket atau hotel mempunyai bukti dan pembayaran sudah dilakukan seawal mungkin sebelum bakal jemaah tiba,” katanya pada sidang media.

Selasa lalu, kira-kira 70 bakal jemaah umrah kendalian Emraz Travel & Tours Sdn Bhd (Emraz) menuntut kembali wang dianggarkan berjumlah RM1.8 juta selain pasport selepas agensi berkenaan gagal membawa mereka menunaikan ibadah itu seperti dijanjikan.

Mengulas lanjut, Ida Riswana berkata, formula yang boleh diamalkan oleh setiap pengendali ialah buat tempahan tiket awal musim dan tandatangani perjanjian sebelum permulaan musim umrah.

“Selain itu hanya menjual pakej mengikut tarikh yang terkandung dalam tempahan hotel yang sudah disahkan dan pastikan kontrak dilakukan secara terus dengan pengurusan hotel mengikut perancangan setahun.

“Pengendali juga boleh melakukan kiraan yang tepat mengikut tiket dan harga hotel, barulah pakej boleh dijual kerana ini wang itu adalah amanah jemaah untuk mereka melakukan ibadah di Tanah Suci.

“Buat masa ini, bagi jemaah Andalusia pada tahun ini iaitu mencecah hingga 48,000, tiada penangguhan, pembatalan hotel atau peningkatan harga pakej kerana semuanya sudah dilakukan pada awal musim,” katanya.

Menjelaskan lanjut mengenai visa umrah dan visa pelancong, beliau berkata kedua-duanya ada perbezaan, tetapi bakal jemaah digalakkan untuk menggunakan visa umrah kerana segala pergerakan akan dipantau oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Katanya, visa pelancong ini bersifat individu dan tiada kaitan dengan mana-mana agensi, manakala visa umrah ini tertakluk kepada muassasah, segala perjalanan dan pengangkutan lengkap dan dianggap sebagai Duyufurrahman bermaksud tetamu Allah.

“Visa pelancong pula tidak semua perkhidmatan fasiliti boleh diperoleh dan kebanyakan insurans mereka ialah bayar dahulu, tuntut kemudian, berbanding visa umrah yang semuanya fasiliti boleh masuk dan segala ditanggung insurans sepenuhnya.

“Jadi selaku pengendali, saya juga menggalak dan menasihatkan pengendali lain untuk membuat visa umrah untuk bakal jemaah kerana sekiranya apa-apa terjadi. jemaah akan ditampung segala kosnya,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, mana-mana bakal jemaah hendaklah cakna dengan semua urusan membabitkan ibadah mereka secara terus dengan pengendali supaya sekiranya ada perkara yang tidak memuaskan, mereka boleh bertukar kepada pengendali yang lain.

“Jangan gunakan orang tengah untuk mengetahui segala perjalanan ibadah umrah anda.

“Mengenai harga pakej pula, harga panduan ialah RM7,890, tetapi jika ada pengendali yang menawarkan harga jauh lebih rendah, bakal jemaah perlu juga berhati-hati supaya tidak berlaku kejadian tiada bilik hotel, tiket perjalanan tiada dan sebagainya.

“Apa yang penting, bakal jemaah perlu tahu bahawa semua persediaan untuk melakukan ibadah umrah ini perlu dilakukan seawal musim dan segalanya perlu ada perjanjian sah seperti dari Saudi Chamber of Commerce untuk kontrak hotel,” katanya. BH

Pengendali batal umrah sewenangnya wajar dikenakan tindakan – Andalusia Travel

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Sol serabai, bini no. 2 tak reti jaga ke, soal netizen

Anak ND Lala terpaksa utus surat kepada bapa

Bung Moktar pecat 3 Adun Sabah daripada UMNO

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker