Kalau bayar fidyah tak perlu ganti puasa ke?
Kalau bayar fidyah tak perlu ganti puasa ke?
Bulan Ramadhan dah hampir tiba. Tinggal sehari dua je lagi. Sedar atau tak, Allah pilih jugak kita sebagai tetamuNya lagi. Bukan senang tau nak sampai ke bulan mulia ni. Dah ganti puasa ke belum? Haa, tu persoalan yang biasa kita dengar sebelum Ramadhan nak bermula. Lagi-lagi kaum Hawa yang memang susah hati kalau belum ganti puasa. Orang lelaki kalau ganti puasa masalah jugak. Kalau sakit, atau bekerja macam buruh kasar tu maybelah. Yang sengaja tinggal tu yang masalah! Hehehe.
Kalau korang belum ganti puasa, dan tak mampu atau sempat nak ganti dah, ada cara lain untuk selesaikan semua tu. Kena bayar fidyah. Apa tu fidyah? Macam mana nak bayar fidyah? Kat mana nak bayar? Kalau dah bertahun tak ganti puasa macam mana pulak? Huish, macam-macam soalan akan timbul. So, kami kongsikan kepada anda sedikit pengetahuan mengenai fidyah.
Apa itu Fidyah?
Fidyah merupakan bayaran denda yang dikenakan kepada seseorang yang tak dapat mengganti puasanya di bulan Ramadhan pada sesuatu tahun sehinggalah tibanya bulan Ramadhan tahun berikutnya. Hukum membayar fidyah adalah WAJIB. Dengan membayar fidyah tidak bermaksud mereka tidak perlu lagi menggantikan puasanya kerana puasa tersebut tetap wajib digantikan mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkannya.
Bagi pembayaran melalui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) contohnya, hasil bayaran fidyah akan dimasukkan ke dalam akaun Amanah Fidyah dan Kaffarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebelum urusan pengagihan kepada fakir miskin dalam bentuk beras dan bekalan makanan dilaksanakan. Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan. Kalau berhutang dengan manusia pun kita kena bayar, lagilah pulak dengan Allah SWT…kan?
Macam mana nak bayar?
Perkiraan dan bayaran fidyah boleh dibuat di pusat zakat atau baitul mal secara tunai atau melalui cek/pos berdaftar atas nama majlis agama negeri masing-masing. Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Beras fidyah tersebut hendaklah diagihkan kepada fakir atau miskin.
Kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad). Dalam bentuk nilaian, berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, secupak beras bersamaan dengan 567.5 gram dinilai dengan kadar RM1.75. Contohnya, jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadhan (3 tahun), maka kadar fidyahnya ialah:
RM1.75 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun = RM15.75.
Ada tak yang tak payah bayar fidyah?
Ya, ada. Mereka yang menderita sakit (bukan sakit kekal yang memang takde harapan untuk berpuasa), misalnya demam atau sakit lain, atau kerana dia dalam musafir (dan pemusafir diharuskan tidak berpuasa), maka mereka pun tak berpuasa dengan harapan akan menggantikannya lepas tu. Namun, sebelum sempat mereka mengqadakan puasanya, mereka telah meninggal dunia. Maka, fuqaha menyatakan tidaklah wajib bagi waris mereka untuk mengeluarkan fidyah kepada mereka. Ini kerana mereka meninggal dunia dalam keadaan bukan sengaja enggan berpuasa.
Bahkan punca mereka meninggalkan puasa sebelum itu juga adalah atas keizinan syarak. Walau bagaimanapun, ia tidak termasuk bagi mereka yang setelah tamat musafir atau setelah sembuh daripada sakit tapi dengan sengaja melambat-lambatkan proses menggantikan puasa yang telah mereka tinggalkan sebelum itu. Maka, di sini telah berlakunya kecuaian yang disengajakan. Maka, fuqaha menyatakan bahawa kala itu, mereka sebenarnya telah berdosa. Oleh itu, sekiranya mereka mati dalam keadaan tersebut, tidak wajib bagi warisnya untuk mengqadakan puasa yang ditinggalkan; namun masih wajib bagi warisnya mengeluarkan fidyahnya.
Telah berkata Imam an-Nawawi di dalam kitab Minhajul Abidin: “Sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadhan (kerana ‘uzur syara’), kemudian dia mati sebelum berkesempatan mengqadanya, maka dia tidak wajib membayar fidyahnya dan tidak berdosa. Dan jikalau dia mati selepas berupaya mengqadanya, walinya tidak perlu mengganti puasanya mengikut Qaul Jadid, yang perlu ialah membayar fidyah puasanya bagi setiap hari satu mud makanan yang diambil dari harta peninggalannya’. (Abu Ubaid, Ensiklopedia Kewangan Islam, halaman 77)
Orang miskin pun kena bayar fidyah ke?
Orang-orang yang miskin, sehingga tidak mampu menyediakan bayaran fidyah, maka selama mereka masih menanggung kemiskinan itu dan tidak mampu menyediakan bayaran fidyah, maka diberikan kelonggaran. Hal ini boleh dirujuk kepada surah al-Baqarah, ayat 219:
“Mereka bertanya kepadamu wahai Muhammad, apa yang perlu dikeluarkan, maka jawablah: perkara yang berlebih daripada keperluan.”
Namun wajib bagi mereka bertaubat dan berazam mencari kekayaan atau harta, agar dapat menjelaskan fidyahnya. Andai kata mereka menerima beras fidyah yang banyak dan berlebih daripada keperluan (dikira untuk makan sehari), maka ketika itu wajiblah mereka mengeluarkan fidyahnya.
Tapi, adakah orang yang miskin juga masih wajib mengeluarkan fidyah, sedangkan dioranglah yang berhak menerima fidyah? Kedudukan fidyah ini hakikatnya samalah dengan zakat fitrah di sisi orang-orang miskin. Sekiranya seorang miskin itu masih wajib mengeluarkan zakat fitrah apabila mempunyai makanan yang berlebih daripada keperluannya sepanjang hari raya, maka demikian juga wajib bagi orang miskin membayar fidyah jika makanan di sisinya berlebih dari keperluannya.
Siapa yang layak bayar fidyah?
Allah SWT berfirman: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain, dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa).” (al-Baqarah: 184)
Untuk memudahkan korang faham, kat sini disenaraikan keadaan tertentu yang menyebabkan seseorang itu wajib membayar fidyah:
a) Wanita yang kedatangan haid atau melahirkan anak dan kedatangan nifas, maka mereka memang tidak dibolehkan (haram) berpuasa. Maka mereka wajib mengqada puasa itu sebanyak hari yang ditinggalkan sebelum tibanya Ramadan yang akan datang. Apabila mereka gagal mengqadakannya sehingga datangnya Ramadan berikutnya, maka wajiblah mereka membayar fidyah berdasarkan jumlah hari yang ditinggalkan.
b) Wanita yang sedang hamil (mengandung) atau menyusukan anak kecil. Dalam kes ini, seandainya wanita berkenaan tidak berpuasa Ramadan semata-mata kerana bimbangkan keselamatan kandungan janinnya atau kesihatan anak kecilnya, maka wanita berkenaan wajib mengqada puasa dan juga mengeluarkan fidyah berdasarkan jumlah hari yang ditinggalkan sebelum tibanya Ramadan yang akan datang. Seandainya wanita itu tidak berpuasa hanya semata-mata kerana dia bimbangkan keselamatan dirinya sendiri, maka dia hanya wajib mengqadakan puasanya dan tidak wajib mengeluarkan fidyah; kecuali berlaku kecuaian seperti dalam kes (1) di atas, yakni dia tidak mengqada hingga masuk Ramadan berikutnya, dia wajib qada dan membayar fidyah.
c) Orang-orang yang sedang bermusafir atau ditimpa musibah kesakitan yang menyebabkan mereka tidak mampu atau tidak boleh berpuasa atau atas sebab-sebab lain yang diizinkan syarak untuk berbuka puasa, maka wajib bagi mereka mengqadakan puasa dan seandainya mereka melalaikannya seperti kes (1), maka wajib mereka mengqada puasa dan mengeluarkan fidyahnya.
d) Orang-orang yang sudah terlalu tua dan amat uzur sehingga tidak mampu berpuasa pada bulan Ramadan dan jika berpuasa membahayakan diri pula, maka mereka diizinkan oleh syarak untuk tidak berpuasa dan wajiblah bagi mereka mengeluarkan fidyah sepanjang hari atau sebulan puasa yang ditinggalkan.
e) Orang-orang yang sakit yang serius yang telah menghalangi kemampuannya untuk berpuasa sepanjang hayatnya (misalnya koma), maka wajiblah dikeluarkan fidyah ke atasnya oleh para warisnya.
So, kalau korang tak termasuk dalam golongan kat atas ni, faham-faham jelah ye. Sebenarnya puasa dalam bulan Ramadhan ni bukan menyusahkan kita, tapi mengajar kita macam-macam perkara. Pahala pun berganda, guys. Kena set balik dalam fikiran kita supaya positif dengan puasa ni. Ok geng?
Kalau bayar fidyah tak perlu ganti puasa ke?
Baca Artikel Menarik:
- Orang Islam di Johor boleh lawat rumah ibadat agama lain – Sultan Ibrahim
- Rohana dah kembalikan wang AS$10 juta ke belum?
- Johari dilantik Pengerusi Majlis Ekonomi, Kewangan dan Pelaburan UMNO
- Najib bagi peluang TH untung, PH gelar bailout, memalukan
- Bapa tembak mati bekas kekasih anak perempuan kaki pukul
- Tok Mat ketuai jentera pilihan raya UMNO
- Rupanya dia cuma tiang kayu sepanjang jadi PM4
- Shahrizat kembali dalam pentadbiran UMNO
- Zahid umum tiga pengerusi baru Umno negeri
- Masjid Ibnu Sina terbakar, jemaah tak sempat solat tarawih [VIDEO]
- Bapa tangisi pemergian anak ‘dimakan tayar treler’ di ambang Ramadan
- Farid Kamil nak jumpa anak, ada pihak panggil polis
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.