KJ “U-Turn”, Dulu jangan kaitkan bossku dengan UMNO, kini cerita Bossku belum tamat
Kebenaran muncul satu persatu. Sumpah laknat yang Najib lafazkan juga dilihat menimpa pihak yang menzalimi beliau seorang demi seorang.
Oleh Norzahira
DASAR manusia lidah bercabang. Ketika dipuncak kuasa, lagak sombong mendongak ke langit tidak berpijak di bumi. Apabila jatuh tersungkur, baru tahu langit itu tinggi atau rendah.
Masihkah kita ingat bagaimana angkuhnya bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (KJ) mengeluarkan kenyataan berkenaan Datuk Seri Najib Tun Razak dahulu?
Menurut KJ, Najib berhak untuk mempertahankan dirinya tetapi tidak harus terlalu berusaha untuk menegakkan benang yang basah.
“Pandangan peribadi saya, kita mesti ada kompas moral. Saya harap kalau ada usaha untuk mempertahankan diri sebagai individu, itu tidak melibatkan UMNO secara rasmi.
“Kalau orang UMNO nak pergi (acara turun padang ‘Bossku’) tak apa, tetapi jangan sekali-kali kaitkan dengan UMNO,” tegas beliau semasa sesi Bicara Minda Sinar Harian April 2019.
Malah dalam nada sinis KJ berkata “Kalau dah silap, mengakulah kesilapan tersebut” sedangkan rakyat tahu Najib menjadi mangsa penganiayaan musuh-musuh politik beliau.
Kini setelah dipecat dari UMNO, nada KJ ternyata berbeza. Beliau menyimpulkan Najib masih berpengaruh kuat dan kekuatan itu menentukan masa depan parti terbabit.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu turut berkata, era Najib yang cukup sinonim dengan fenomena ‘Bossku’ dalam UMNO juga belum berakhir memandangkan ramai muka baharu menganggotai Majlis Tertinggi (MT) adalah kalangan penyokong tegar bekas Perdana Menteri itu.
[videopress OhxbR8o3]Beliau mendakwa Najib tetap mempunyai kekuatan yang tidak boleh dipandang remeh. Cerita mengenai ‘Bossku’ belum tamat. Najib kekal sebagai pemimpin popular. Malah banyak mesej terima kasih ditujukan kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu minggu lalu apabila laluan MRT Putrajaya yang dicadangkan Najib ketika berkuasa beroperasi sepenuhnya pada 16 Mac baru-baru ini.
Kesimpulannya KJ telah buat “u-turn” berkenaan Najib memandangkan beliau sedar segala penganiayaan terhadap Najib telah diketahui rakyat. Kebenaran muncul satu persatu. Sumpah laknat yang Najib lafazkan juga dilihat menimpa pihak yang menzalimi beliau seorang demi seorang.