Ayahanda bazar Ramadhan hisap darah

Ayahanda bazar Ramadhan hisap darah

Monopoli tapak dan jual dengan harga tinggi. Itu dilakukan individu atau ejen bergelar ‘Ayahanda’ yang mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan menjual tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri.

Individu berkenaan dikatakan membolot tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri yang diuruskan pihak berkuasa tempatan di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya serta dijual kepada pihak ketiga dengan harga tinggi.

Antara lokasi tapak bazar yang popular ialah Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Masjid India, bazar Ramadan Kelana Jaya, bazar Ramadan Sentosa dan beberapa lokasi strategik lain.

Wartawan Harian Metro yang menghubungi beberapa ‘Ayahanda’ berkenaan turut ditawarkan tapak dengan harga sehingga RM35,000 bergantung kepada lokasi perniagaan.

Seorang individu yang mengaku menguruskan tapak di beberapa lokasi memberitahu harga tapak berbeza mengikut lokasi.

“Saya akan hantar senarai tapak dan lokasi, nanti abang pilih dan kita jumpa, kalau setuju saya akan masukkan nama abang sebagai pembantu jualan di lesen sementara yang dikeluarkan.

“Kalau jadi apa-apa (pemeriksaan) saya akan turun (ke lokasi), jadi tiada isu jika Dewan Bandaraya Kuala Lumpur datang periksa,” katanya.

Menurutnya, kebiasaannya peniaga akan menyewa sehingga tiga lot tapak dan sanggup membayar harga yang tinggi kerana lotnya strategik.

“Jika berminat kena beritahu awal sebab ramai yang nak sewa dan sanggup bagi harga tinggi lagi dari ini. Tahun lalu ada yang untung berlipat kali ganda.

“Kalau nak ‘deal’, kita jumpa depan-depan baru senang untuk saya jelaskan cara bayaran,” katanya.

Seorang lagi individu yang juga bergelar Ayahanda mengiklankan sewaan tapak bazar Ramadan di media sosial.

Wartawan yang menghubungi nombor telefon tertera dimaklumkan lot tapak bazar Ramadan di Sentosa, Jalan Klang Lama sudah habis dan diminta untuk mencari di tapak lain.

“Sini dah habis, kami jual RM5,000 orang sanggup bayar, kalau nak saya cari tapak tetapi di tempat lain,” katanya.

Sementara itu, di Petaling Jaya, individu yang mendakwa mengawal daerah terbabit turut menawarkan sewaan tapak bazar Ramadan.

Ketika dihubungi, lelaki terbabit bertanyakan kawasan mana dimahukan untuk disewa dan jenis perniagaan yang ingin dijalankan.

Katanya, terdapat peniaga yang sudah mendapat tempat untuk berniaga dan ingin menyewa tapak di Kelana Jaya.

Dia bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah yang perlu dibayar walaupun berkali-kali ditanya.

“Ada peniaga nak jual tapak ‘hot’. Nanti jumpa saya,” katanya.

Tempat terhad alasan sanggup bayar sewa mahal

Syarat ketat dan tempat terhad antara alasan diberikan peniaga yang sanggup menyewa tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri dengan kadar tinggi.

Peniaga yang mahu dikenali sebagai Wahab, 50, berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menetapkan syarat permohonan lot bazar perlu mempunyai lesen penjaja.

“Bukan semua peniaga ada lesen penjaja. Ada juga peniaga yang memang beroperasi dari rumah dan memilih untuk berniaga di bazar ketika musim perayaan.

“Sebab itu ramai peniaga sanggup mengeluarkan modal yang tinggi dengan menyewa daripada ‘orang tengah’, lagipun prosesnya sangat mudah dengan hanya beri nama dan nombor kad pengenalan,” katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Dia mendakwa walaupun sistem cabutan undi lot tapak dilakukan namun kebanyakan lot tapak diperoleh peniaga yang sama.

“Ada yang sudah bergenerasi berniaga di bazar Jalan Tuanku Abdul Rahman itu, takkan tiap-tiap tahun dia ‘luck’ (bernasib baik) dapat lot di kawasan sama?

“Bayangkan jika hanya 200 tapak ditawarkan dengan lebih 1,000 permohonan diterima, adakah kita akan sentiasa bernasib baik,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Azliah Hafiz, 45, berkata, bukan menghairankan jika bazar akan dipenuhi peniaga ‘Rambo’ (penjaja tiada permit).

“Lebih baik bayar kompaun dan tidak perlu membayar tapak niaga. Kelompok peniaga Rambo ini juga tidak perlu mengikut syarat-syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan seperti yang dikenakan terhadap peniaga sah.

“Kebanyakan mereka ini terdiri daripada peniaga sedia ada di sesebuah lokasi atau peniaga bidan terjun yang membuka gerai hanya ketika Ramadan,” katanya.

Menurutnya, bukan semua peniaga mampu menyewa tapak dari orang tengah kerana harga sewaan terlalu tinggi dan tidak masuk akal.

“Kalau fikir balik, lebih baik berniaga secara haram dan bayar kompaun, orang asing boleh buat kenapa kita tak boleh buat.

“Saya ada tengok orang iklankan tapak berniaga di bazar. Bila kami hubungi memang tidak masuk akal harganya dan pelik bagaimana mereka ini boleh dapat tapak,” katanya. HM

Ayahanda bazar Ramadhan hisap darah

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Farid Kamil tak dapat jumpa anak, dihalang masuk rumah?

Pemandu warga emas ditumbuk, disepak dan rambut ditarik

Mahathir terus-menerus tibai Anwar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker