Saya uzur, bukan suka meminta-minta – Sazali

Saya uzur, bukan suka meminta-minta – Sazali

Dari riak wajah yang sugul, jelas menterjemah gelora tersimpan dalam hati sosok berusia 64 tahun ini.

Berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU), Sazali iaitu anak Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, berdepan saat getir menantikan detik menjelang 29 Mei depan.

Selain genap 50 tahun pemergian bintang legenda itu, tarikh berkenaan bakal menyaksikan tempoh bayaran royalti atas karya bapanya, berakhir.

Sazali berkata, pelbagai usaha sudah dilakukan termasuk merayu Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) agar tempoh itu dilanjutkan.

Namun, Sazali berkata, isu berkenaan masih ‘tergantung’.

“Saya ada hubungi MACP untuk bertanya mengenai status rayuan, bulan lalu dan jawapan diberikan adalah mereka masih lagi berusaha.

“Malah, MACP beritahu perjuangan melanjutkan tempoh royalti itu juga dibuat untuk semua artis lain.

“Saya faham proses ini akan mengambil masa agak lama iaitu berbulan-bulan. Negara kita pun baru bertukar kepemimpinan, pasti banyak prosedur yang perlu dilalui.

“Jadi, saya akan sabar menunggu,” katanya kepada BH Online selepas menerima bantuan Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) di kediamannya di Semenyih, kelmarin.

Bantuan itu disampaikan Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez.

Bulan lalu, BH melaporkan, pada 29 Mei depan, genap 50 tahun pemergian Allahyarham P Ramlee yang menghembuskan nafas terakhir akibat sakit jantung, lantas meninggalkan peminat legasi tidak ternilai melalui karya seni filem dan lagu merentas zaman.

Sepanjang tempoh itu, mengikut Akta Hak Cipta 1987, royalti daripada karya lagu Allahyarham P Ramlee diagihkan kepada waris, iaitu isterinya, Allahyarham Puan Sri Saloma sehingga Biduanita Negara itu meninggal dunia pada 25 April 1983.

Royalti kemudian diagihkan kepada anak mereka, Allahyarham Nasir P Ramlee yang sepakat membahagikan perolehan diterima kepada beberapa waris lain.

Apabila Nasir meninggal dunia pada 23 November 2008, kontrak royalti yang diuruskan Badan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) itu diteruskan kepada waris lain, termasuk Sazali,

Mendapatkan perkembangan terkini berhubung gesaan penggiat industri agar tempoh agihan royalti P Ramlee dilanjutkan 20 tahun lagi, MACP dilapor menjelaskan, pihaknya masih menunggu keputusan kerajaan.

Ketua Bahagian Undang-Undang MACP, Rashidah Ridha, dilaporkan berkata pihaknya sudah berusaha memperjuangkan usul melanjutkan agihan royalti kepada 70 tahun melalui saluran betul.

Bertanya mengenai reaksinya jika rayuan tempoh bayaran royalti ditolak, beliau reda jika itu keputusan kerajaan.

“Kalau tak dapat nak sambung, saya tak boleh nak buat apa-apa. Saya hanya berserah kepada nasib sahaja.

“Hendak kerja semula pun kudrat tidak mengizinkan. Mungkin saya kenalah cari jalan lain seperti mendapatkan bantuan zakat atau meminta pertolongan persatuan seni untuk menyara hidup,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sazali mahu memperbetulkan tanggapan salah konon tindakannya memohon kerajaan melanjutkan bayaran royalti atas karya P Ramlee sebagai tindakan terdesak dan terlalu meminta-minta.

Sebelum ini, Sazali dilaporkan merayu kerajaan menimbang cadangan melanjutkan tempoh kontrak royalti lagu karya arwah bapanya.

Sazali mendakwa dirinya semakin uzur dan hanya bergantung kepada royalti itu bagi menampung perbelanjaan kos perubatan dirinya dan isteri, Hamidah Hitam.

Sazali berkata, rayuan itu dibuat atas faktor bayaran royalti itulah punca rezeki dalam menampung hidup, selain faktor usia dan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Saya bukan mendesak, saya cuma minta tolong. Itupun kalau boleh. Kalau tidak dapat, tak mengapa. Itu maknanya bukan rezeki saya.

“Kalau dapat, bukan untuk saya makan seorang, tetapi semua cucu Allahyarham P Ramlee akan merasa.

“Saya sudah tua, lutut kanan dan pinggul patah akibat kemalangan pada 2015. Memang tidak larat hendak kembali bekerja,” katanya.

Pada pertemuan itu, Sazali turut menunjukkan dokumen MACP berhubung bayaran royalti yang diterima atas karya Allahyarham P Ramlee.

“Sebelum arwah mama (Allahyarham Puan Sri Saloma) meninggal, mama berpesan supaya saya dan arwah abang, Nasir untuk menguruskan wang royalti ini dengan peguam.

“Selepas MACP ditubuhkan, barulah badan terbabit mengambil alih urusan pengagihan.

“Sebelum ini, jumlah royalti yang diterima tidaklah banyak, tetapi selepas diuruskan badan terbabit, hasil royalti diterima semakin bertambah.

“Ini susulan kutipan yang semakin besar iaitu berdasarkan hasil penjualan dan persembahan awam,” katanya. BH

Saya uzur, bukan suka meminta-minta – Sazali

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Lompat Apek Lompat, Anwar buat apa tu (Video)

Luahan hati Mawar Karim

Suki Low menangis kerana Shila Amzah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker