Inilah namanya imam JAHIL

Nak solat pun susah

Inilah namanya imam JAHIL

Pernahkah anda menghadapi situasi begini. Ketika anda sedang leka membeli belah di pasar raya, kemudian anda dapati waktu solat sudah lama masuk. Bergegas anda mencari musolla (surau) untuk melaksanakan kewajipan sebagai Muslim. Sampai di musolla, anda dapati ramai pula yang sedang menanti giliran untuk menunaikan solat.

Dan ketika itu juga, terdapat sekumpulan jemaah lain sedang mendirikan solat, berimamkan seseorang yang membaca surah dengan panjang. Anda dengan sabarnya menanti hingga imam memberi salam.



Kemudian si imam meneruskan berwirid dan berdoa dengan bacaan doa yang panjang, sedangkan ramai lagi yang seperti anda mengejar waktu untuk solat. Selepas habis berdoa, jemaah tadi beredar dan disambung jemaah yang baru.

Tetapi dek kerana keadaan musolla yang kecil, tidak dapat menampung untuk jemaah lain turut serta berjemaah. Bagi mengelakkan jemaah yang lain tertinggal solat, maka jemaah yang baru ini hanya melakukan rukun yang wajib sahaja, bahkan terdapat juga segelintir jemaah yang hanya solat bersendirian, kerana mengejar waktu, atau ingin memberi ruang kepada jemaah lain untuk mendirikan solat.

Dalam menghadapi situasi yang begini, bagaimanakah Islam melihatnya. Adakah perlu untuk tetap mendirikan solat berjemaah kerana itulah keutamaannya, sebagaimana sabda Baginda s.a.w.

“Sesiapa yang mendengar azan dan tidak pergi menunaikan solat berjemaah tanpa sesuatu sebab yang menghalangnya (uzur) daripada menyertai solat berjemaah maka solat yang dikerjakannya itu tidak akan diterima.” Lalu para sahabat bertanya, “Apakah uzur itu?” Jawab Baginda, “takut atau sakit.” (HR Abu Daud & Ibnu Hibban)



Atau hanya solat bersendirian bagi memberi ruang jemaah lain solat dalam waktunya. Bagaimana pula sekiranya imam membaca surah serta doa yang panjang hingga menghalang jemaah lain untuk solat?

Jahil! Itulah jawapan yang terpacul dari mulut Khairil Khuzairi Omar, Pegawai Hal Ehwal Islam Pusat Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, (UKM). Jawapan ini terbit rentetan dari pandangannya, saat diminta mengulas berkaitan permasalahan yang berlaku, dalam situasi tersebut.

Menurutnya, apabila bertembung antara sesuatu perkara yang wajib dan yang sunat, yang menjadi keutamaan adalah wajib. Oleh yang demikian dalam mengulas berkaitan masalah ini, Khairil Khuzairi menganggap ia sememangnya seorang yang jahil (imam) sekalipun mempunyai ilmu yang tinggi.

Sebenarnya dalam mendepani hal ini, tidak perlu bagi imam memanjangkan bacaan surah, wirid, zikir, dan doa, kerana ramai yang sedang menunggu, untuk melaksanakan ibadah yang fardu.



Apatah lagi, yang dilakukan itu bersifat sunat sahaja. Tetapi, itulah realiti yang berlaku dalam kehidupan masyarakat kita sekarang. Perkara yang sunat kita begitu sibuk sekali, sedangkan mereka yang ingin melakukan ibadat fardu terabai.

Tambahnya, sekalipun ilmu si imam tinggi hingga mampu menghafaz, dan membaca surah dengan panjang serta berlagu, namun dia tetap jahil kerana tidak memahami apa yang dikatakan dalam Islam sebagai feqh awliyat.

Ia merupakan keutamaan dalam semua perkara bukan sahaja berhubung dengan ibadah, tetapi juga amalan, atau pekerjaan, di mana perlu ada kategori-kategorinya yang tersendiri, sepertimana yang digariskan dalam Islam.

“Kita ada beberapa kategori. Ada yang amat penting, ada yang penting, ada yang kurang penting serta ada yang langsung tidak penting. Apabila bertembung kesemua kategori yang disebutkan tadi, menjadi keutamaan kita untuk mendahului perkara yang amat penting.



Justeru melihat kepada situasi yang berlaku, menunaikan solat itu sangat penting berbanding membaca surah yang panjang, atau bacaan wirid dan doa yang panjang.

Analoginya sepertimana apabila kita berada dalam sebuah masjid, terdapat seorang guru yang sedang mengajar kepada beberapa orang jemaah. Di situ kelihatan juga para jemaah lain yang sedang sibuk mengerjakan solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan berbual sesama mereka.

Dalam situasi ini, amalan yang menjadi kewajipan adalah menuntut ilmu kerana tanpa ilmu bagaimana hendak beramal.

Begitu juga dalam situasi tuan guru sibuk mengajar, ada yang sibuk berzikir, membaca al-Quran dan lain-lain dengan suara yang lantang hingga mengganggu proses pengajaran. Seolah-olahnya amalan hebat yang dilakukan mereka sangat terbaik, dan mereka lebih pandai serta alim berbanding yang sedang belajar.



Keadaan ini boleh dilihat di mana-mana masjid terutama apabila waktu selepas solat Maghrib menuju ke Isya’. Jelaslah di sini, apa yang dilakukan mereka menyerlahkan lagi kejahilan yang ketara, kerana tidak tahu mana yang lebih utama.

Ketahui siapa makmum kamu

Kembali isu yang dibincangkan, perkara utama adalah solat. Dalam keadaan surau yang sempit dengan waktu yang pendek, Baginda s.a.w. menggalakkan untuk membaca surah yang pendek. Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Apabila salah seorang daripada kamu menjadi imam sembahyang maka hendaklah ia meringankan bacaannya kerana terdapat dalam kalangan makmum itu anak-anak kecil, orang-orang tua orang yang lemah dan orang yang sakit, dan tatkala kamu solat bersendirian maka solatlah kamu sebagaimana yang kamu inginkan.” (HR Muslim)



Muaz b. Jabal r.a. pernah ditegur oleh Baginda s.a.w kerana membaca surah yang panjang, iaitu surah al-Baqarah dalam solat Maghrib. Walhal makmumnya turut disertai oleh seorang penjaga unta yang kepenatan. Penjaga unta tersebut memberitahu Baginda s.a.w tentang perkara ini. Kerana itulah Nabi menegur Muaz supaya tidak lagi memanjangkan bacaannya, supaya tidak menimbulkan fitnah.

Sementara dalam keadaan masih ramai yang menunggu untuk solat, imam perlu peka dan tidak perlu baginya memanjangkan bacaannya. Apabila ini berlaku takut-takut ia mendapat dosa kerana menghalang orang lain daripada mendirikan solat.

Jika begitu tindakan imam tersebut, maka berdosalah dia kerana kejahilannya, tetapi tidak mempengaruhi status solat. Ini bermakna solat yang dilakukan itu tetap sah, manakala dosa tersebut ditanggung oleh imam.

Begitu juga jika si imam tadi sengaja memanjangkan bacaannya, hingga tiada peluang orang lain mendirikan solat. Sebagai jemaah yang sedang menunggu, lebih elok mereka berusaha mencari tempat alternatif untuk terus menunaikan solat supaya dapat mengejar waktunya.

Adapun apabila imam hanya membuat rukun yang wajib, seperti hanya membaca surah al-Fatihah, bacaan rukuk dan sujud hanya sekali, tidak berwirid serta membaca doa, maka solatnya tetap sah tetapi agak rugi.

Sebenarnya jika membacanya pun tidaklah mengambil masa yang panjang, kecuali dia membaca surah yang panjang sebagaimana kisah Muaz tadi. Cukup bagi imam membaca surah-surah lazim sahaja, kerana terdapat riwayat yang menyatakan Baginda s.a.w membaca surah al-Kafirun dan al-Ikhlas dalam solat Maghrib.

Solat sendiri

Terangnya lagi, terdapat juga segelintir masyarakat yang berpendirian untuk tidak melaksanakan solat secara berjemaah, kerana pada pandangan mereka, apabila melakukan solat secara berjemaah akan mengambil masa yang panjang berbanding sendirian. Mereka merasakan tindakan ini tepat, sebagai membantu jemaah lain untuk terus dapat mendirikan solat, tanpa perlu menunggu terlalu lama.

Dalam hal ini seeloknya kita melihat hadis Baginda perihal tuntutan solat berjemaah, yang diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. Bersabda Baginda s.a.w,

“Solat berjemaah 27 darjat lebih utama daripada solat bersendirian.” (HR Bukhari & Muslim)

Jika ingin memberikan ruang, dan peluang pada jemaah lain untuk mengerjakan solat dalam waktunya, maka selagi mana ada ruang dan waktunya, tuntutan melaksanakan solat berjemaah lebih dituntut, sekalipun hanya dapat satu rakaat sebelum habis waktu.

Akan tetapi jika berada di penghujung waktu, sedangkan ramai yang sedang menunggu dan tiada ruang untuk mengerjakan solat, maka diberikan keringanan mengerjakan solat bersendirian. Ini bertujuan memberikan kemudahan dan kesenangan kepada orang lain. Sekali gus ia merupakan satu ibadah yang dituntut. Tetapi seelok-eloknya utamakanlah solat berjemaah kerana darjatnya yang lebih utama dari bersendirian.

Dalam mendepani situasi begini, suka saya menyarankan kepada pihak-pihak pusat membeli belah supaya membesarkan surau-surau mereka agar pengunjung-pengunjung selesa untuk melaksanakan ibadah kepada Allah. Sekalipun pemiliknya bukan Islam namun pengunjung-pengunjungnya terdiri di kalangan orang Islam.

Apabila keselesaan surau ini dipertingkatkan, maka secara tidak langsung ia mampu menarik lebih ramai lagi pengunjung untuk datang. Salah satu kriteria orang-orang Islam datang mengunjungi pusat membeli belah kerana kemudahan suraunya yang besar dan selesa.

Khairil Khuzairi turut menyarankan, agar surau-surau yang ada dinaikkan taraf dengan mewujudkan kariah surau yang terdiri daripada imam, bilal dan lain-lain. Bukan sahaja pengunjung selesa untuk beribadah, bahkan pekerja-pekerja yang ada juga dapat melaksanakan solat dengan baik.

Apabila tuntutan solat ini dapat dilaksanakan dengan baik, tidak mustahil tanggungjawab terhadap kerja juga menjadi lebih baik. Tidak perlu berasa takut untuk rugi kerana ia juga menjadi faktor penyumbang dan penarik kepada pengunjung untuk datang terutama orang Islam.

Inilah namanya imam JAHIL

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Khazrul Elzey mengaku tidur dengan Zarina Anjoulie (Video)

Takiyuddin ‘serang’ Zahid, sekali Rayer pertahan

Model baharu PROTON, Honda bakal perkukuh DRB-Hicom

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker