Pesaingan jawatan Naib Presiden UMNO, kumpulan ‘Keluarga Malaysia dan ‘Kerajaan Perpaduan’ jadi tumpuan

 

Seramai 10 pemimpin utama parti tersebut dijangka mencuba nasib bagi merebut tiga kuota jawatan Naib Presiden UMNO itu

Susulan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan pencalonan untuk peringkat bahagian dan pusat akan dibuka pada 13 hingga 26 Februari ini, tumpuan lebih tiga juta ahli parti pastinya terarah kepada siapa bakal mengisi jawatan naib presiden.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang tidak memihak kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga bakal menyaksikan kedudukan tiga penyandang naib presiden iaitu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dianggap tidak lagi selamat.

Tindakan pembersihan parti secara besar-besaran oleh MKT UMNO minggu lalu turut diunjurkan mewujudkan dua fraksi utama iaitu fraksi ‘kem PWTC’ dan pro Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta fraksi menolak usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Di antara tiga penyandang jawatan nombor tiga hingga lima parti itu, kedudukan Mahdzir yang tewas pada PRU15 mungkin dianggap paling rapuh berbanding Mohamed Khaled dan Ismail Sabri yang menang di kerusi Parlimen.

Namun, kekalahan Mahdzir dijangka tidak menghalangnya mempertahankan jawatan beliau kerana bekas Menteri Besar Kedah itu kini dilantik sebagai salah seorang Menteri Angkat untuk UMNO Kedah.

PAU 2022 berlangsung selama empat hari bermula dari 12 Januari sehingga 14 Januari 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

“Untuk Tok Det secara tidak rasminya saya boleh menyatakan beliau bakal mempertahankan bukan sahaja jawatan Ketua UMNO bahagian, bahkan Naib Presiden UMNO,” kata Naib Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Badrol Hisham Hashim.

Pertahan jawatan

Sementara itu, Mohamed Khaled mengesahkan beliau bakal mempertahankan jawatan naib presiden pada pemilihan parti nanti.

Pengesahan itu sudah dijangka memandangkan beliau berjaya memenangi kerusi Parlimen Kota Tinggi pada PRU15 dan dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi dalam kabinet Kerajaan Perpaduan.

Berikutan itu, peluang beliau mengekalkan jawatan ketiga tertinggi UMNO selepas jawatan presiden dan timbalan presiden dianggap cerah oleh sebilangan pemerhati politik ketika ini.

Lebih-lebih lagi, Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu diberi kepercayaan menjadi Pengerusi UMNO Johor oleh pucuk kepimpinan parti bagi menggantikan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Ir Hasni Mohammad yang digugurkan.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled enggan mendabik dada terhadap peluang beliau kali ini dan menganggap kesemua calon yang bakal bertanding pada pemilihan parti mempunyai peluang sama rata.

“Keputusan pemilihan bergantung kepada pilihan akar umbi dan saya menyerahkan sepenuhnya kepada akar umbi untuk menentukannya,” jelas beliau.

Selain Ismail Sabri, Mohamed Khaled dan Mahdzir, tujuh lagi pemimpin parti yang dikatakan mengintai peluang ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Hasni Mohammad dan Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Turut dijangka bertanding ialah Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Elak perpecahan

Dalam pada itu, Zambry sewaktu dihubungi menegaskan beliau masih membuat penilaian sebaiknya sama ada bakal bertanding jawatan naib presiden atau kekal mempertahankan jawatan ahli MKT UMNO yang disandang ketika ini.

“Paling mustahak, parti perlu berada dalam keadaan baik dengan sebarang pertandingan jawatan hendaklah diadakan secara kekeluargaan dan tidak membawa kepada perpecahan.

“Saya yakin semua ahli parti akan memberi penilaian terbaik dan bakal memilih calon-calon berketerampilan untuk membawa parti ke hadapan.

“Sebaiknya semua pihak perlu berjalan seiringan bagi memastikan UMNO dapat bergerak lebih maju bersama kepimpinan sedia ada,” jelas beliau.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Helmi Buang pula mendedahkan akar umbi parti itu belum dimaklumkan mengenai sebarang hasrat Ketua UMNO bahagian berkenaan, Hasni dan Ahmad yang juga timbalannya untuk bertanding jawatan naib presiden.

“Kalau mereka mahu bertanding sekali pun, saya fikir kedua-duanya layak dan mempunyai kredibiliti tersendiri. Kena tunggu pengumuman daripada mereka sendirilah,” ujar Helmi.

Asyraf Wajdi pula dilihat masih berteka-teki, mengambil pendirian tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan akhir.

“Itu hanya khabar angin. Nanti dululah kerana saya belum buat keputusan muktamad lagi (sama ada mahu bertanding naib presiden atau ahli MKT),” katanya.

Terakhir, sumber rapat dengan Shamsul Anuar pula mengesahkan Timbalan Menteri Dalam Negeri itu ada memberi bayangan mahu mencuba nasib bertanding jawatan naib presiden.

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Campak Botol Wiski Dari Balkoni Ke Jalan Raya (Video)

Lelaki ditahan arah kakak ipar hisap kemaluannya

Wanita tanggal pelitup muka terkejut lintah melekat dalam hidung [VIDEO]

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker