Iskandar Spring lumpuh, sukar bertutur

Iskandar Spring lumpuh, sukar bertutur

Prihatin nasib menimpa pemain gitar kumpulan Spring, Iskandar, beberapa rakan baiknya bersama Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) bakal mengadakan satu jelajah amal, Solidariti Untuk Iskandar Spring di seluruh negara.

Siri jelajah itu bertujuan mengutip dana sekitar RM40,000 untuk menampung kos perubatan dan perbelanjaan sepanjang tahun buat Iskandar, yang mana purata jumlah diperlukan setiap bulan sebanyak RM3,000.



Vokalis Spring, Ameng antara penyumbang idea bagi jelajah amal, Solidariti Untuk Iskandar Spring, bersama sahabat baiknya, Umarul dari kumpulan Iklim merasakan tanggungjawab untuk membantu sahabat yang banyak berkongsi pahit manis sepanjang perjalanan membangunkan Spring dan Iklim.

“Asalnya, saya menawarkan diri menjadi penyanyi kumpulan Iklim, yang mana kalau ada ‘show’ saya boleh nyanyi. Tetapi, ini adalah cerita tiga tahun lalu. Sehinggalah Umarul memaklumkan setuju untuk bekerjasama.

“Saya mencadangkan tubuh kumpulan baharu di mana Umarul sebagai pemuzik dinamakan Aura Band. Kami rancang nak keluarkan satu single, tetapi nak memulakannya, apatah lagi, meraih populariti akan mengambil masa.

“Jadi, sebagai permulaan, kami cadang mengadakan busking. Namun kami mendapat tahu Iskandar sedang sakit ketika perancangan sedang diatur.



“Dari niat nak berhibur dan mengubat rindu peminat Spring dan Iklim, kami cadang untuk mengadakan siri jelajah amal untuk mengutip sumbangan buat Iskandar yang amat memerlukan,” katanya.

Ameng berkata, secara kebetulan, Umarul kenal dengan wakil KARYAWAN. Jadi, cadangan menjadi lebih besar apabila ramai pula menawarkan diri nak terbabit sama.

“Bila KARYAWAN terbabit, siri jelajah amal ini menjadi lebih profesional, jadi memudahkan kami meneruskan impian,” katanya yang ditemui pada sidang media jelajah amal Solidariti Untuk Iskandar Spring di sebuah restoran, di sini, petang tadi.

Ameng berharap siri jelajah amal itu berjaya mendapat sokongan ramai.



“Saya harap siri jelajah ini bukan sekadar melepaskan batuk di tangga, sebaliknya mendapat kejayaan besar, sekali gus menyelesaikan masalah rakan pemuzik yang tidak berupaya,” katanya.

Iskandar atau nama sebenarnya, Tengku Raden Iskandar Tengku Ismail kini dalam keadaan lumpuh. Akibat menderita pelbagai penyakit kronik, Iskandar sukar bertutur dan dalam masa yang sama menjalani dialisis akibat komplikasi buah pinggang.

Berikutan itu, Iskandar yang juga antara pengasas kumpulan Spring hilang upaya diri dan tiada sumber mata pencarian.

Berkongsi perkembangan terkini Iskandar, Umarul yang juga bekas pemain gitar Iklim berkata, sahabat baiknya mengalami pelbagai penyakit kronik seperti strok, diabetes dan buah pinggang.



“Saya kenal Iskandar sudah lebih 30 tahun. Kami bekerjasama menerusi album pertama Spring lagi. Saya rapat dengan Iskandar sebab dia juga ketua kumpulan Spring.

“Dia seorang yang baik hati, ceria dan sangat suka membantu. Siapa yang kenal Iskandar, pasti tahu mengenai sikapnya.

“Kalau Iskandar hadir dalam majlis, pasti ia meriah disebabkan perwatakannya.

“Alhamdulillah, ramai sudi membantu dan menyalurkan sumbangan. Tak tahu daripada mana, mungkin juga kenalannya dahulu.



“Jika ikutkan, Iskandar mahu hadir ke majlis sidang media jelajah amal ini, tetapi ada kekangan. Lagi pun, Iskandar agak sukar bertutur,” katanya.

Siri jelajah amal pertama akan diadakan di Santai Seni@TAR, Jalan Tunku Abdul Rahman, Ahad ini. Persembahan percuma ini akan bermula antara jam 2.30 sehingga 6.30 petang.

Ia seterusnya akan diadakan di Padang Kota, Pulau Pinang dan Terengganu Drawbridge, Kuala Terengganu dan dijangka diadakan di beberapa lokasi lain seperti Ipoh, Kota Bharu dan lain-lain pada tarikh yang bakal ditentukan kelak.

Siri jelajah amal ini akan menampilkan Ameng, Umarul, Syafiq Farhain, Alim Kris, Maman Teachers Pet, Bob Sentuhan, Mus Kemala, Belle Fattah, Iss Arffan, Black Maria, Islah & The People dan Radhi Khalid selaku hos.



Mekanisme kutipan sumbangan ialah melalui jualan amal beberapa produk seni, cakera padat agama, tabung bergerak, kod imbasan QR dan secara dalam talian. BH

Iskandar Spring lumpuh, sukar bertutur

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Isteri kedua baru hamil 6 bulan, suami nikah isteri ketiga [VIDEO]

Pelanggan mengamuk kerana saiz espreso (Video)

Kecil-kecil jadi pembuli (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker