Hembuskan roh kedamaian dan kerahmatan

Hembuskan roh kedamaian dan kerahmatan

oleh Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Isu kebebasan adalah antara isu yang hangat diperkatakan umum dewasa ini. Ini kerana isu kebebasan bukan sahaja bersifat nasional, malah ia juga adalah isu sejagat di persada dunia.



Di mana-mana sahaja negara di dunia sering membahaskan isu kebebasan dalam konteks kemanusiaan sesuai dengan peredaran zaman yang semakin canggih ini.

Oleh sebab itu, sering kedengaran suara yang menuntut kebebasan wanita, kebebasan akhbar, kebebasan beragama sehingga pihak yang menerbitkan filem Innocence of Muslims yang secara terang menghina Rasulullah SAW, Islam dan umat Islam.

Sebelum ini, ada pihak yang berani menyiarkan gambar karikatur Nabi Muhammad SAW di dada akhbar arus perdana mereka dan yang terakhir tindakan pelampau sayap kanan Sweden yang membakar al-Quran di ibu negara Sweden, Stockholm.

Jika sebelum ini, tayangan filem dan penyiaran karikatur terbabit menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia, sekali gus menyebabkan hubungan semakin tegang antara barat dengan negara Islam.



Kemarahan dan ketidakpuasan hati umat Islam terhadap barat ada kewajarannya, lebih-lebih lagi paparan orang Islam yang membunuh orang kafir secara membuta tuli dan Islam dikatakan menggalakkan keganasan adalah adalah satu penghinaan yang cukup besar terhadap Islam.

Biarpun dengan alasan kebebasan bersuara, namun kebebasan berkenaan membabitkan tanggungjawab dan perbuatan terbabit tetap tidak dapat diterima oleh prinsip moral dan akal yang waras. Tambahan pula, perbuatan terbabit menghina keyakinan orang lain.

Dari satu segi lain, Islam dan terrorisme adalah dua perkara yang berbeza. Islam pada hakikatnya adalah al-Din yang bersifat rahmah kepada sekalian alam. Bukankah Allah sudah menjelaskan matlamat utama di sebalik kejadian manusia dengan firman-Nya yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah taala ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunannya atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Jelas di sini bahawa Islam adalah al-Din yang amat menitikberatkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan ummah. Maka Islam dari awal lagi menganjurkan umat Islam supaya bekerjasama dan bertoleransi antara satu sama lain dalam memakmurkan bumi Allah ini.



Bumi Allah ini adalah milik semua makhluk yang diciptakan Allah dan ia bukan milik atau kepunyaan istimewa satu-satu kaum atau bangsa tertentu. Malah, semuanya diberikan hak dan keistimewaan yang sama rata untuk sama-sama mendiami alam ini di samping untuk memakmurkannya ke arah kejayaan dan kebahagiaan sejagat.

Oleh itu, Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan, kezaliman, kekejaman atau permusuhan dengan bangsa lain biarpun berlainan akidah dan kepercayaannya.

Ini adalah satu fakta yang cukup jelas mengenai Islam yang perlu diketengahkan kepada barat bahawa Islam tidak memusuhi mana-mana umat manusia yang menghuni alam maya ini. Islam amat cintakan kedamaian, keharmonian dan kesejahteraan hidup, bukan sahaja kepada umatnya, bahkan kepada umat lain yang turut berkongsi alam semesta ini.

Bagi pihak umat Islam pula, mereka wajar dan mempunyai hak untuk meluahkan kemarahan dan protes terhadap pihak yang menghina agama mereka, namun biar kena pada tempatnya. Dalam erti kata lain, biar kemarahan dan protes itu diluahkan dengan cara yang baik, logik dan terkawal.



Maka amat bertepatan sekali apabila ulama Mesir terkemuka, Prof Dr Yusof al-Qaradawi menegaskan Islam tidak membenarkan sama sekali kekerasan dan keganasan seperti tindakan membakar kedutaan, membunuh pegawai kedutaan, melakukan kemusnahan di tempat awam. Ini kerana Islam tidak pernah mengharuskan sebarang tindakan keganasan seumpama ini kerana ia jelas bercanggah dengan prinsip moral dan akhlak Islam yang luhur.

Sebaliknya, Dr Yusof al-Qaradawi mencadangkan umat Islam supaya memboikot terus semua barangan dari Sweden dan negara yang terbabit dalam penghinaan Islam. Ini adalah satu cadangan berhemah dan berpandangan jauh yang sewajarnya diberikan sokongan padu oleh umat Islam seluruh dunia dengan tujuan untuk mengajar barat bahawa maruah dan agama umat Islam wajib dihormati pada masa hadapan.

Malah, langkah kerajaan Malaysia yang turut mengutuk dan menghantar memorandum bantahan kepada kerajaaan Sweden adalah satu langkah baik yang wajar diberikan sokongan padu oleh umat Islam supaya Islam tidak lagi dihina dan sensitiviti umat Islam perlu dijaga.

Akhirnya, Islam memerintahkan umatnya supaya menonjolkan keterampilan akhlak terpuji dan terbaik kepada kaum lain supaya dapat diserlahkan Islam sebagai agama yang bersifat toleransi di samping akan membuka pintu hati orang bukan Islam akan keindahan dan kesejahteraan yang menghiasi Islam itu sendiri dengan pendekatan penerangan dan dakwah kepada umat lain dengan cara yang baik dan bijaksana serta dengan contoh amalan yang baik menurut ajaran Islam yang sebenarnya, bukan dengan kekerasan dan penindasan yang kejam.



Ringkasnya, umat Islam pada asasnya adalah umat yang terbaik dilahirkan Allah di bumi ini untuk menghembuskan roh kedamaian dan kerahmatan untuk dihirup oleh sekalian penghuni alam semesta ini. HM

Penulis Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Hembuskan roh kedamaian dan kerahmatan

Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Isteri kedua baru hamil 6 bulan, suami nikah isteri ketiga [VIDEO]

Pelanggan mengamuk kerana saiz espreso (Video)

Kecil-kecil jadi pembuli (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker