Mahathir Mahu Jadi PM 12 Bulan Lagi, 6 Bulan Tidak Memadai – Saifuddin Nasution

Saya terpanggil untuk memberi sedikit penjelasan berkenaan usaha Pakatan Harapan (PH) mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, beberapa rakan PH telah mengemukakan beberapa persoalan serta memberi sedikit penerangan tentang perbincangan PH dan gabungan yang disebut Pakatan Harapan Plus (PH Plus).

Pada masa yang sama PKR sentiasa menghormati dan menghargai sokongan dan dokongan parti dan individu dari DAP dan AMANAH sepanjang dua dekad perjuangan.

Bagi maksud menjelaskan garis masa dan konteks perbincangan, di sini saya ingin memberi penjelasan seperti berikut.

30 Mei 2020

Majlis Presiden Pakatan Harapan telah membuat keputusan untuk membentangkan cadangan PH mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri ke-9 kepada Dr Mahathir Mohamad.

1 Jun 2020

Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dan saya telah menjadi wakil Majlis Presiden PH dalam pertemuan bersama Dr Mahathir. Dalam pertemuan itu, Dr Mahathir tidak menolak cadangan Anwar sebagai calon Perdana Menteri, dan memaklumkan bahawa beliau perlu berbincang dengan ahli-ahli parlimen Bersatu yang bersama beliau serta Presiden Warisan, Shafie Apdal. Tiada opsyen lain yang dibentang atau dibincangkan pada waktu itu.

3 Jun 2020

Majlis Presiden PH telah bermesyuarat dan memutuskan bahawaAnwar perlu bertemu dengan Shafie untuk berbincang dan memaklumkan keputusan PH mencalonkan nwar sebagai Perdana Menteri dan satu mesyuarat pimpinan utama PH Plus perlu diadakan.

4 Jun 2020

Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Shafie dan memaklumkan keputusan PH.

9 Jun 2020

Mesyuarat PH Plus telah diadakan di Ibu Pejabat PKR. Pada mesyuarat ini, semua wakil parti komponen PH telah mengangkat hujah Anwar sebagai calon Perdana Menteri, manakala Dr Mahathir telah memohon agar diberi masa enam bulan sebagai Perdana Menteri.

Beliau (Mahathir) juga berkata Anwar tidak boleh diterima sebagai PM kerana beliau memimpin parti berbilang kaum; Anwar menjawab dalam senario ini bila berlaku peralihan, selepas tempoh enam bulan itu Anwar masih presiden sebuah parti berbilang kaum. Mesyuarat memutuskan tempoh seminggu untuk membuat keputusan.

12 Jun 2020

Majlis Presiden PH sekali lagi bermesyuarat dan bersetuju menghantar wakil terdiri Khalid Samad, Shamsul Iskandar dan Anthony Loke untuk berjumpa Shafie dan Dr Mahathir.

13 Jun 2020

Mesyuarat PH Plus telah diadakan, di mana semua wakil parti komponen PH mengangkat hujah Anwar sebagai calon Perdana Menteri. Kali ini Dr Mahathir memaklumkan bahawa beliau masih mohon dicalonkan sebagai Perdana Menteri, tetapi enam bulan tidak mencukupi. Beliau berhujah bahawa sekurang-kurangnya 12 bulan diperlukan untuk membetulkan masalah yang dilakukan bukan sahaja oleh Najib Razak, tetapi juga yang kini dilakukan oleh Muhyiddin Yassin.

Shafie Apdal pula menyatakan bahawa 12 bulan itu terlalu lama, dan enam bulan seharusnya mencukupi. Dr Mahathir tidak menetapkan cadangan tempoh masa, dan PH kekal dengan pendirian Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Selesai mesyuarat PH Plus, perbincangan di peringkat Majlis Presiden PH telah diadakan dengan persetujuan keputusan dibuat pada Selasa, 16 Jun. Pada hari berkenaan saya telah memaklumkan kepada Mohamad Sabu dan nthony Loke bahawa Anwar membuat kunjungan ke Sarawak dan mesyuarat PH perlu ditangguhkan.

Oleh yang demikian, adalah tidak benar jika ada sumber yang menceritakan bahawa PH mengangkat nama selain Anwar dalam siri perbincangan PH Plus. Sebaliknya nama Dr Mahathir dicadang sendiri oleh beliau dan Shafie memberi sokongan. Tiada keputusan konklusif dicapai dalam mesyuarat PH Plus.

Majlis Pimpinan Pusat PKR akan mengadakan mesyuarat bulanan esok, 19 Jun dan pendirian parti akan dimuktamadkan.


SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL adalah Setiausaha Agung PKR dan juga Ketua Setiausaha PH.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker