Syarat meninggalkan solat Jumaat

Syarat meninggalkan solat Jumaat

Mesej yang diterima daripada seorang pembaca Al Islam cukup menarik perhatian. Bunyinya,

“Bantulah saya. Membaca artikel berkaitan solat Jumaat, saya rasa terpanggil untuk bertanya sesuatu yang amat penting. Bukan tidak mahu melakukannya tapi saya terpaksa untuk meninggalkan solat Jumaat lantaran tugas yang tidak mengizinkan. Sebagai pegawai keselamatan yang diamanahkan menjaga peti wang syarikat, saya tidak dibenarkan untuk keluar ke mana-mana hatta untuk menunaikan solat Jumaat. Berdosakah saya?,”.



Keluhan si pengirim mesej sudah pastinya menimbulkan seribu satu persoalan. Apakah dalam hal tersebut ia dianggap sebagai darurat? Atau masih adakah istilah darurat pada zaman ini? Bukan itu sahaja, perlukah si pengirim mesej berhenti kerja dan mencari kerja yang sesuai untuk membolehkannya melaksanakan tuntutan syariat? Atau biarkan ia berlalu begitu sahaja?

Hakikatnya, masalah yang dihadapi bukan sahaja dialami oleh si pengirim mesej, bahkan turut melibatkan anggota-anggota keselamatan yang lain termasuk tentera, polis, doktor, juruterbang dan sebagainya.

Meringankan sedikit perbahasan di atas, ada yang berhujah, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya,” sebagaimana firman Allah melalui surah al-Baqarah, ayat 286. Justeru, apakah mereka yang terlibat dalam permasalahan seumpama ini diberi kelonggaran tertentu? Dan setakat mana pula kelonggaran itu boleh diberikan?

Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), tatkala diajukan persoalan ini menjawab secara ringkas dengan hanya membawa sepotong ayat dari surah al-Jumuah: 9,



“Wahai orang-orang yang beriman, apabila telah diserukan untuk melaksanakan solat Jumaat, maka segeralah kamu mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahuinya.”

Ayat di atas secara jelas menyatakan, solat Jumaat wajib dilaksanakan jika cukup dengan syarat-syaratnya. Sekiranya tidak dilaksanakan dengan niat sengaja, maka ia dihukumkan berdosa besar. Hal ini kerana solat Jumaat merupakan fardu ain yang dituntut sama seperti solat biasa. Bagaimanapun terdapat rukhsah (kelonggaran) terhadap mereka untuk meninggalkan solat Jumaat.

Ia bersandarkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w.,

“Barang siapa yang mendengar seruan azan, dan dia tidak pergi kepadanya untuk bersolat, maka tiada solat baginya kecuali orang-orang yang mempunyai keuzuran”. Mereka bertanya. “Ya Rasulullah, apakah keuzuran itu? Baginda menjawab, “Takut dan Sakit” (HR Abu Daud)



Dr. Wifaq menjelaskan, para ulama mentafsirkan perkataan takut dan sakit dalam hadis di atas sebagai satu kelonggaran atau keuzuran. Takut yang boleh diterjemahkan di sini ialah takut dari segi ancaman nyawa, kesihatan, atau yang akan memberi satu bebanan seandainya seseorang itu pergi juga menunaikan solat Jumaat.

Contohnya, seorang doktor yang terpaksa meninggalkan solat Jumaat untuk membedah atau merawat pesakit. Jika ditinggalkan pesakit tersebut, ditakuti akan membawa maut maka doktor tersebut dibolehkan untuk tidak mendirikan solat.

Di Masjidilharam, ada pengawal yang tidak mendirikan solat Jumaat semata-mata untuk menjaga keselamatan imam sewaktu solat Jumaat. Ini menunjukkan, memang dibolehkan untuk tidak mengerjakan solat Jumaat kerana menjaga keselamatan diri dan masyarakat.

Begitu juga dengan pekerjaan lain, seperti polis, bomba, pengawal dan sebagainya. Jika memang tiada orang yang dapat menggantikan tempat mereka, maka di sini ulama mengharuskan boleh untuk tidak melaksanakan solat tersebut walaupun lebih dari tiga kali berturut-turut.



Ujarnya lagi, setiap pekerjaan mempunyai tanggungjawab yang tersendiri. Akan tetapi Islam tidak meletakkan ia sebagai satu syarat yang qat’i bahawa boleh dengan sewenang-wenangnya meninggalkan solat.

Dalam kes-kes sebegini, perlu ada usaha dan ikhtiar bagi mengelakkan perkara ini berterusan. Pelbagai alternatif boleh diambil seperti berbincang dengan majikan, mencari pengganti yang mungkin bukan beragama Islam atau golongan wanita, mencari kerja lain dan sebagainya.

Jika sudah berusaha sedaya mungkin, namun tiada jalan lain bagi mengatasinya, maka di sini ulama membolehkannya dengan syarat ia tidak berterusan dalam hidup. Perlu ada usaha bagi mengelakkannya sehingga ia berjaya. Dan mereka ini tidak tergolong sebagai munafik atau yang digelapkan hatinya.

Ditanya lagi, bagaimana sekiranya rukhsah itu tidak berkaitan dengan takut atau sakit, tetapi rukhsah dari segi masa atau tempat. Contohnya, seseorang yang terpaksa menghadiri mesyuarat penting atau terpaksa membuat pembentangan akan tetapi sebelum itu terpaksa membuat persediaan dalam waktu Jumaat?



Dr. Wifaq menjelaskan, dalam hal yang begini juga dibolehkan dengan syarat hanya waktu tersebut sahaja yang ada untuk persediaan dilakukan. Tetapi jika dia mempunyai waktu lain, dan sengaja membuatnya dalam waktu solat Jumaat maka itu tidak dibolehkan sama sekali.

Sama juga dengan seorang raja atau pemerintah. Jika raja atau pemerintah tersebut mempunyai urusan negara yang perlu diselesaikan, maka yang menjadi keutamaan baginya adalah urusan negara. Dia juga dibolehkan untuk tidak melaksanakan solat Jumaat meskipun lebih dari tiga kali berturut-turut. Wallahu a’lam Utv

Syarat meninggalkan solat Jumaat


Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Tanah runtuh: ‘Saya masih ‘shaking’

Tanah runtuh: ‘Bunyi seperti letupan kuat, bumi bergerak pantas’

Muat Turun Kalender 2023, Cuti Sekolah & Cuti Umum Malaysia [Percuma]

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker