Tidak salah PRU Parlimen dan DUN diasingkan

SHAH ALAM – Tidak salah dari segi undang-undang sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) membabitkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diasingkan.

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, sudah menjadi kebiasaan PRU di negara ini diadakan serentak, bagaimanapun Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan berasingan dan begitu juga Sabah sebelum 1999.

Menurutnya, sekiranya PRU bagi kerusi Parlimen mahu diadakan, ia akan melibatkan pembubaran di peringkat Parlimen sahaja.

“PRU berasingan mendatangkan kesan dan implikasi kepada negara dan rakyat selaku pengundi, SPR serta agensi kerajaan lain yang terlibat.

“Jika PRU Parlimen dan DUN bagi negeri-negeri dibuat berasingan, implikasinya ialah semua urusan persiapan pilihan raya bertambah menjadi dua kali,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Wan Ahmad berkata, antara implikasi lain termasuk pertambahan bajet melaksanakan PRU kerana diadakan dua kali selain bebanan tugas petugas terlibat akan menjadi berganda.

Menurutnya, beliau menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan memerlukan seramai 350,000 pegawai dan petugas.

“Kalau tempoh jarak antara PRU Parlimen dan PRU DUN agak panjang, latihan kepada petugas terpaksa dibuat dua kali.

“Tugasan kerja pihak polis juga jadi dua kali. Ini menyebabkan bajet bertambah selain kos besar yang perlu ditanggung parti politik.

“Kehangatan berkempen juga akan bertambah dan berpanjangan. Selepas kempen untuk PRU Parlimen, diikuti pula kempen untuk PRU bagi DUN. Kempen juga sebenarnya menjejaskan ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker