Jangan harap semua janji ditunai

Jangan harap semua janji ditunai

Penganalisis politik berpesan kepada rakyat agar tidak terlalu berharap Pakatan Harapan (PH) melaksanakan segala janji pilihan rayanya memandangkan gabungan itu berada dalam kerajaan perpaduan.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, jangkaan sedemikian tidak adil bagi PH, apabila mengambil kira kerajaan perpaduan itu turut melibatkan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Sukar bagi PH untuk menunaikan 100% 10 perkara dalam manifestonya kerana perlu juga berbincang dengan tiga gabungan berasingan,” katanya kepada FMT.

“PH perlu menangani isu Perjanjian Malaysia 1963 bagi negeri-negeri Borneo dan juga janji BN yang dibuat kepada penjawat awam, selain strategi dalam Bajet 2023.”

Bajet 2023 sebelum ini dibentangkan pada 7 Okt, membabitkan peruntukan keseluruhan RM372.3 bilion. Bagaimanapun, Parlimen dibubarkan tiga hari kemudian, membuka laluan kepada pelaksanaan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Azmi ketika mengulas lanjut berkata, beliau tidak melihat reformasi, seperti memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) akan dilaksanakan. Kesungguhan untuk berbuat demikian sudah “hilang”, tambahnya.

Julai lepas, selepas perbahasan yang tegang, Dewan Rakyat meluluskan lanjutan dalam peruntukan yang membenarkan 28 hari penahanan bawah Sosma.

Bagaimanapun, Azmi berkata, beliau percaya BN dan PH sependapat mengenai kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, ikrar PH untuk mengecilkan saiz Jemaah Menteri mampu terlaksana. Perdana Menteri Anwar Ibrahim boleh mengurangkan separuh daripada jumlah menteri, berbanding pentadbiran sebelumnya, tambah Azmi.

“Ini menjadikan Jemaah Menteri lebih cekap memandangkan ia akan dianggotai Ahli Parlimen yang berkeupayaan dalam peranan masing-masing,” katanya.

“Barisan Jemaah Menteri ini akan dihormati dan mampu bekerja dengan persatuan sivil dan rakyat.”

Dalam pada itu, Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, kerajaan perpaduan perlu memilih janji terbaik daripada manifesto blok berbeza untuk dilaksanakan.

“Bagaimanapun, semua ini harus dibincangkan di peringkat parti terlebih dulu,” katanya.

Katanya, masyarakat awam dan kumpulan sivil patut menguruskan jangkaan mereka dan menilai apa yang ditawarkan kerajaan perpaduan.

Anwar mengetuai kerajaan perpaduan melibatkan PH, BN, GPS dan GRS, dengan sokongan Ahli Parlimen Muda, Warisan, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan bebas. FMT

Jangan harap semua janji ditunai


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Nabila Razali nikah senyap-senyap?

Dituduh jadi ejen Israel, Anwar arah polis ambil tindakan – Fahmi

Orang baik dan orang jahat tak boleh duduk bersama – Tuan Ibrahim

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker