Jangan ulangi kecewakan penjawat awam – Cuepacs

Jangan ulangi kecewakan penjawat awam – Cuepacs

CUEPACS menggesa kerajaan mengekalkan empat inisiatif yang dijanjikan pentadbiran terdahulu kepada penjawat awam, termasuk Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Khas RM100 mulai Januari tahun depan.

Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata empat inisiatif berkenaan dijanjikan melalui Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan AwamBajet 2023 pada 7 November.

Selain KGT Khas, beliau berkata, tiga lagi inisiatif terbabit ialah Bantuan Khas Kewangan RM700 juga bermula Januari tahun depan, Bantuan Khas Kewangan untuk Pesara (RM350) dan Bantuan Khas Aidilfitri RM600 mulai Mac 2023.

“Inisiatif berkenaan adalah antara yang dijanjikan kerajaan (ketika itu) selaku majikan kepada penjawat awam, dan tidak wajar ditarik semula hanya kerana berlaku perubahan kerajaan.

“Tidak mahu tidak, ia mesti dilaksanakan mengikut tarikh yang sudah diumumkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan perubahan daripada kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini kepada Kerajaan Perpaduan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Mengulas lanjut, Adnan menekankan, CUEPACS tidak mahu berulangnya kejadian sama pada 2018 apabila inisiatif dijanjikan kerajaan sebelum itu tidak ditunaikan selepas berlaku peralihan teraju pemerintahan negara susulan keputusan PRU14.

Beliau berkata, antara inisiatif terbabit yang hanya tinggal harapan ialah kenaikan gaji bersamaan 1 KGT secara khas kepada semua penjawat awam yang dijanjikan berkuat kuasa 1 Julai 2018.

“Inisiatif lain yang turut tidak ditunaikan ialah pemendekan kenaikan pangkat secara ‘time-based’ kali kedua dikurangkan daripada 13 kepada 10 tahun dijanjikan berkuat kuasa 1 Januari 2018. Begitu juga dengan penambahan Gred DG56 bagi guru Kementerian Pelajaran (KPM).

“Perkara itu tidak wajar berlaku kerana selaku majikan, kerajaan tidak boleh menarik semula inisiatif berkenaan setelah segala pengorbanan dilakukan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab sebagai jentera pentadbiran negara,” katanya.

Adnan berkata, istilah ‘pisang berbuah dua kali’ seharusnya tidak ada dalam kamus penjawat awam kerana kekecewaan pada 2018 masih berbekas dan disebut-sebut hingga kini.

Justeru, beliau berkata, CUEPACS berharap pertimbangan dan kebijaksanaan Perdana Menteri untuk terus mengekalkan segala kemudahan yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

“Pada masa sama, CUEPACS yakin semua Ahli Parlimen akan memberi sokongan kepada Perdana Menteri ketika sesi pembentangan belanjawan mini, 19 Disember ini,” katanya. BH

Jangan ulangi kecewakan penjawat awam – Cuepacs


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Video Ismail Izzani tular, Suliza Salam pertahan anaknya

Aedy Ashraf kantoi bercumbu di kelab malam, tampil beri penjelasan

Bangun Nad, kita ada PM baru – Sharifah Amani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker