Tanpa Mahathir, Anwar dan Muhyiddin Malaysia tidak akan mati!

 

Mengimbas semula bagaimana parti-parti komponen PH berjaya menumpaskan BN yang telah memerintah negara lebih daripada enam dekad pada PRU lalu, Presiden Warisan Shafie Apdal meluahkan rasa kecewanya apabila kemenangan itu hancur begitu sahaja oleh individu yang menurutnya berebut jawatan perdana menteri.

Perkara itu diluahkannya ketika program Ceramah Mega Warisan di padang PPR Batu Muda di Kuala Lumpur, malam tadi.

Selepas ketibaannya disambut persembahan yang memaparkan kepelbagaian budaya di Malaysia, Shafie tidak membuang masa untuk meluangkan hampir satu jam mendekati penyokong Warisan di Semenanjung.

Berucap di hadapan kira-kira 150 hadirin, Shafie menceritakan bagaimana pemimpin kanan parti pembangkang pada masa itu, iaitu PKR, DAP, Amanah, Bersatu dan Warisan, sanggup menggembleng tenaga berkempen untuk melaksanakan pembaharuan di negara ini.

“Kita berjaya kalahkan BN dengan harapan akan ada satu pembaharuan, tapi tak ada reform. Dari BN kepada PH ingatkan ada harapan, rupanya tak ada harapan,” katanya diringi sorakan penyokong yang hadir.

Shafie berkata pada masa itu dia bersama-sama pemimpin seperti Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan Lim Kit Siang giat berkempen manakala Anwar Ibrahim pula masih menjalani hukuman penjara.

“Lepas kita menang tak sampai berapa bulan, Mahathir minta dia (Anwar) dikeluarkan daripada penjara – pengampunan penuh dan boleh bertanding di Parlimen Port Dickson.

“Biasanya orang (yang dipenjarakan) ada syarat-syaratnya…(antaranya) tak boleh tanding di Parlimen (untuk tempoh tertentu). Tapi pengecualian diberikan kepada Anwar, dibenarkan bertanding di Port Dickson,” katanya lagi.

Anwar diberikan pengampunan diraja pada 16 Mei 2018, iaitu seminggu selepas tumbangnya BN pada PRU14.

Lima bulan kemudian, iaitu pada 13 Oktober, dia menang PRK Port Dickson selepas ahli parlimen kawasan itu, Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada pesiden PKR itu.

“Lepas tanding di Port Dickson dan jadi ahli parlimen, Anwar Ibrahim gaduh balik dengan Mahathir soal bila mahu jadi perdana menteri. Harapan tinggal harapan.

“Bukan gaduh (tentang) kepentingan rakyat tapi gaduh siapa perdana menteri, siapa ketua. Pemimpin di negara ini didorong oleh ketamakan kuasa,” katanya lagi.

Selain isu 1MDB, antara faktor kemenangan PH pada 2018 adalah kerjasama antara Mahathir dan Anwar yang sekian lama berseteru.

Namun, konflik dalaman yang berlaku membawa kepada Langkah Sheraton 22 bulan selepas tertubuhnya kerajaan PH. Bersatu dan sekumpulan ahli parlimen PKR bertindak berpaling tadah daripada PH untuk menubuhkan kerajaan baru bersama BN, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Kedua-dua penyokong Anwar dan Mahathir pula saling menuding jari berkenaan punca keruntuhan kerajaan PH.

Kata Shafie lagi, perebutan kuasa yang berlarutan akan memusnahkan negara.

Dia menggesa para hadirin agar memilih Warisan pada PRU15 dan bukannya Gerakan Tanah Air, PH mahupun Perikatan Nasional (PN).

“Ke mana kita ni nak bawa negara ini dengan pemimpin-pemimpin yang ada pada hari ni?

“Negara ini tak akan mati kalau tak ada Mahathir, negara ni tak akan mati kalau tak ada Anwar, negara ni tak akan mati kalau tak ada Muhyiddin.

“Tapi rakyat akan menderita kalau mereka (pemimpin) hanya berpaut pada nafsu nak jadi perdana menteri,” katanya lagi.

Sementara itu, Shafie mengumumkan calon yang akan mewakili Warisan di Parlimen Batu iaitu Nathan Pillai.

Hari ini dia dijangka mengumumkan kesemua calon parti itu yang akan bertanding di semenanjung pada PRU kali ini. Warisan dijangka akan bertanding 27 kerusi parlimen di semenanjung.

Warisan merupakan parti berpangkalan di Sabah dan hanya bertanding di negeri itu pada PRU lalu. Ia kali pertama bertanding di semenanjung pada PRN Johor pada Mac lalu, di mana kesemua enam calonnya hilang deposit.

 


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Halloween di Arab Saudi petanda bencana umat akhir zaman

Apa yang perlu diketahui tentang tragedi Halloween Itaewon?

Seluar tertanggal atas pentas bukan punca Tom tersingkir dari GV9

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker