Cindy Ong tunjukkan cara ajar dalang gangguan seksual

Cindy Ong tunjukkan cara ajar dalang gangguan seksual

Bekas perenang negara, Cindy Ong, menggesa orang ramai supaya tidak berdiam diri atau membiarkan gangguan seksual dalam talian berterusan kerana tindakan boleh diambil terhadap pelaku melalui laporan polis.

Gesaan itu dibuat selepas dua lelaki disiasat oleh pihak berkuasa dan didakwa selepas mereka membuat komen jelik terhadap atlet terbabit.



Bercakap kepada Malaysiakini, Ong, 38, berkata dia mengalami banyak gangguan dan komen lucah dalam talian terhadapnya sejak dia bersuara mendedahkan pengalaman berdepan dengan serangan seksual pada Mei tahun lalu.

Dia kemudian membuat laporan polis pada 21 Jun 2021 dengan berharap pihak berkuasa boleh mengambil tindakan untuk menghentikan serangan terhadapnya.

Berdasarkan laporan polisnya, komen lucah itu dianggap melampau, kasar dan menyinggung perasaan, dan sebahagian besarnya datang melalui Instagram, WhatsApp, dan forum dalam talian tempatan Lowyat.net.

Menurutnya, polis kemudian berjaya mengesan dua pelaku dan mendakwa mereka. Seorang daripada lelaki itu mengaku bersalah dan membayar denda kepada mahkamah.



Bagaimanapun, seorang lagi lelaki berusia dalam lingkungan 20-an mahu menyelesaikan kes itu dengan cara lain.

“Dia lelaki muda. Selepas disiasat, dia menghantar surat permohonan maaf kepada saya melalui peguamnya dan meminta saya menarik balik laporan polis saya kerana dia tidak mahu meninggalkan sebarang rekod dalam sistem jenayah.

“Saya memberitahu dia bahawa memandangkan dia membuat komen lucah di forum awam, maka dia juga harus meminta maaf secara terbuka kepada saya.

“Jika dia berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu lagi, maka saya sanggup menarik balik laporan saya,” kata Ong.



Selepas rundingan, katanya, kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan kes ini secara baik melalui peguam mereka.

Susulan itu, lelaki terbabit merakam video permohonan maaf selama tiga minit yang ditunjukkan kepada Ong melalui peguam pada 7 Okt lalu.

Pada hari yang sama, Ong menarik balik laporannya di balai polis Sri Hartamas di Kuala Lumpur.

Semasa temu bual itu, Ong menegaskan dia tidak pernah mahu membalas dendam atau mengaibkan mana-mana pihak berhubung perkara tersebut.



“Dalam kes saya, ini sebenarnya menunjukkan contoh yang baik untuk mendidik orang ramai.

“Kepada pelaku, apa sahaja yang anda lakukan membawa kesan dan anda boleh didakwa dan didenda. Anda akan mempunyai rekod jenayah, jadi fikir dua kali sebelum anda melakukan ini.

“Anda mungkin tidak begitu bernasib baik untuk berdepan dengan seseorang yang mahu memaafkan anda, tanpa membiarkan anda melalui proses mahkamah,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Ong melahirkan rasa syukur dan gembira atas siasatan polis, kerana ini membuktikan bahawa pelaku gangguan seksual tidak boleh mengatasi undang-undang. Mk



Cindy Ong tunjukkan cara ajar dalang gangguan seksual


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bilal viral di TikTok, Neelofa tersinggung



Risiko besar buat PH, Pas jika tidak bubar DUN

Netizen kritik hasrat Mahathir mahu bertanding lagi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker