Pok Ya Cong Codei jadi drama bersiri

Pok Ya Cong Codei jadi drama bersiri

Sambutan hangat terhadap telefilem Pok Ya Cong Codei yang mencetuskan fenomena pada 2018 diikuti sekuel, Pok Ya Cong Codei, Siti di Hati yang ditayangkan pada tahun sama mendorong pengarah, Sabri Yunus menghasilkannya dalam bentuk drama bersiri.

Sudah memulakan penggambaran sejak dua minggu lalu, Sabri menjelaskan pembikinan drama rantaian 16 episod berjudul Pok Ya Cong Codei: Memburu Siti dibuat atas permintaan peminat termasuk stesen penyiar.

“Tidak dinafikan saya banyak menerima pertanyaan penonton yang mahu drama Pok Ya Cong Codei disambung. Mereka ingin tahu apa kesudahan terhadap watak Siti yang melarikan diri.

“Kebetulan stesen penyiar meminta saya menyambung kisah yang pernah dipaparkan dalam telefilem dan mahu diterbitkan dalam bentuk drama bersiri.

“Maka saya hasilkan skrip yang berkisar kepada apa yang berlaku selepas Siti menghilangkan diri.

“Untuk drama bersiri ini, cerita yang bakal diketengahkan ada konflik yang berlaku antara Pok Ya dan orang di sekelilingnya… Selebihnya kenalah tengok sendiri,” katanya.

Masih mengekalkan pelakon asal, Sabri yang pernah mengarahkan telefilem hebat seperti Sanggul Beracun menjelaskan mereka memperkenalkan wajah baharu dalam drama rantaian itu.

“Untuk drama bersiri ini, kami membawa dua pelakon hebat iaitu Eman Manan dan Farid Kamil. Mereka akan membawa watak samseng.

“Turut ditampilkan adalah Angeline Tan dan Azizul Amar. Ramai yang sedia maklum saya jarang ambil pelakon nama besar. Kebanyakan pelakon saya memamg agak ‘rare’.

“Namun, atas permintaan stesen penyiar, saya jemput dua nama besar untuk terbabit dalam siri ini.

“Eman dipilih kerana saya perlukan pelakon yang lebih kurang sebaya dengan saya. Farid pula, selain ada nilai komersial, saya percaya dengan bakatnya,” kata sutradara berusia 60 tahun ini.

Sabri menambah, antara pelakon yang tidak dikekalkan untuk projek drama bersiri itu adalah Fikry Ibrahim dan Uqasha Senrose.

“Kedua-dua watak ini tidak dikekalkan kerana kisah mereka sudah ditamatkan dalam telefilem.

“Bagi drama bersiri ini, ia adalah kesinambungan kepada karakter yang masih lagi ada di sekeliling Po Ya dan juga watak baharu,” katanya.

Berkongsi cabaran ketika penggambaran filem, anak jati Kelantan ini berkata, cuaca menjadi kekangan utama yang terpaksa dihadapi produksi.

“Lokasi drama bersiri ini dilakukan di tiga tempat iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur. Kita mengambil masa 56 hari untuk disiapkan.

“Cabaran dihadapi ketika penggambaran di Kelantan. Dengan keadaan cuaca yang kurang baik, tidak banyak babak yang dapat dihasilkan.

“Namun, tidaklah sampai mencacatkan jalan cerita. Mujur cuaca di Kuala Lumpur agak baik dan penggambaran lancar dan sempurna,” katanya.

Terdahulu, ketika mula diperkenalkan pada Januari 2018, watak Pok Ya yang juga ciptaan Sabri menjadi buah mulut ramai.

Telefilem Pok Ya Cong Codei berkisar kisah Pok Ya iaitu gedebe atau samseng dari Kelantan yang datang ke Kuala Lumpur untuk mencari anak seorang Datuk yang konon dilarikan. BH

Pok Ya Cong Codei jadi drama bersiri


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


MLM 2021: Bahye bakal juara?

Restoran terkenal di Ipoh disahkan JAIPk tiada sijil halal

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker