Jemaah Menteri gagal capai kata sepakat tarikh PRU15, menurut laporan

Jemaah Menteri gagal capai kata sepakat tarikh PRU15, menurut laporan

Anggota Jemaah Menteri dilaporkan gagal mencapai kata sepakat mengenai tarikh sesuai bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob semalam.

Menurut laporan Utusan Malaysia, anggota Jemaah Menteri berbelah bahagi, dengan ada yang menyokong dan sebahagian pula menolak PRU15 diadakan tahun ini.

Laporan itu memetik seorang menteri yang tidak dinamakan berkata, menteri daripada Bersatu dan PAS menolak PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat kerana mahu kerajaan bersedia menghadapi risiko banjir dan masalah ekonomi.

Katanya, ada juga menteri tidak bersetuju Parlimen dibubarkan sebelum Belanjawan 2023 dibentangkan pada 7 Okt ini.

Katanya, mereka berpendapat sangat rugi Parlimen dibubarkan sebelum belanjawan diluluskan dan kerajaan juga perlu mengambil kira faktor banjir yang dijangka lebih buruk pada hujung tahun ini.

Belanjawan 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Okt ini dan perlu melalui proses perbahasan serta undian untuk diluluskan.

Menteri itu berkata, ada beberapa menteri, terutama daripada Umno yang mahu PRU15 disegerakan, tetapi dibantah menteri lain, terutama daripada Perikatan Nasional (PN).

Katanya, perdana menteri akan mengambil kira semua pandangan anggota Jemaah Menteri dalam menentukan keputusan tarikh pembubaran Dewan Rakyat.

“Segalanya terserah kepada perdana menteri,” katanya menurut laporan akhbar itu.

Selasa lalu, Ismail dilaporkan berkata, beliau akan membawa pandangan semua pihak mengenai tarikh PRU15 dalam mesyuarat Jemaah Menteri nanti kerana ia mempunyai wakil pelbagai parti.

Barisan Jemaah Menteri pimpinan Ismail terdiri daripada 11 menteri Umno, Bersatu (9), Parti Bangsa Malaysia (1), Gabungan Parti Sarawak (4), PAS (3) serta Parti Bersatu Sabah, MCA dan MIC masing-masing seorang, menjadikan keseluruhannya 31 orang. FMT

Jemaah Menteri gagal capai kata sepakat tarikh PRU15, menurut laporan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Jadi janda tidaklah hina – Fatin Afeefa

Cukup sudah dengan Anwar dan Mahathir

Akulah Penyamun – PKR

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker