Hubungan rapat dengan syariat

Hubungan rapat dengan syariat

oleh Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Tasawuf menurut perspektif Islam ialah satu kaedah tertentu untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Al-Sya’rani (wafat 973H) mendefinisikan tasawuf sebagai ilmu yang terhasil di dalam hati para wali apabila mereka mengamalkan al-Quran dan al-Sunnah. Sebagaimana ilmu yang terhasil daripada ulama fiqh, setiap amalan yang dilakukan dengan panduan kedua-duanya akan menghasilkan pelbagai ilmu, adab, rahsia dan hakikat yang tidak dapat diungkapkan secara lisan dengan syarat jika amalan itu bebas daripada kecacatan serta kehendak hawa nafsu.

Tarekat pula menurut huraian ulama tasawuf mempunyai beberapa pengertian iaitu umum, khusus dan lebih khusus. Pengertian yang umum bagi tarekat itu merujuk kepada jalan agama Allah iaitu jalan Islam itu sendiri. Ibn Khaldun menggunakan perkataan tarekat dengan makna ini. Beliau menjelaskan asal ilmu tasawuf itu ialah tarekat golongan sufi di sisi golongan terdahulu daripada umat ini dan pemukanya daripada kalangan sahabat, tabiin dan golongan selepas mereka adalah tarekat kebenaran serta hidayah. Asal tarekat itu ialah tekun beribadah, menumpukan sepenuh perhatian kepada Allah, berpaling daripada perhiasan duniawi, bersifat zuhud terhadap apa yang dicari oleh orang ramai berupa kelazatan, harta dan pangkat serta menyendiri daripada makhluk dalam khalwah untuk beribadat.

Pengertian khusus bagi tarekat pula ialah tata cara yang khusus atau himpunan adab dan ajaran yang diamalkan oleh sesuatu kumpulan ahli tasawuf. Tarekat dengan pengertian yang lebih khusus pula ialah perjalanan dan peningkatan tahap kejernihan rohani manusia dengan menempuh pelbagai halangan, melalui berbagai peringkat dan maqam dan merasai pelbagai hal kerohanian.

Kadang-kadang, sesuatu ajaran tarekat dinamakan dengan nama pengasasnya sendiri, kemudian digabungkan dengan nama kumpulan tarekat yang terkenal dalam kalangan umat Islam sebagai satu pendekatan untuk mengelabui umat Islam tentang ajaran dan kumpulan tarekat yang didukungnya itu, sedangkan ia pada hakikatnya terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar.

Di antara ciri-ciri kesesatan menghiasi ajaran tarekat yang menyeleweng adalah pegangan terhadap istilah tasawuf yang secara terang-terangan bercanggah dengan syarak di samping istilah falsafah, kebatinan dan takwil tasawuf yang menyimpang jauh daripada kebenaran terhadap persoalan akidah serta ibadah. Di samping itu, ajaran tarekat itu juga menganjurkan pengikutnya agar meringankan atau tidak melaksanakan amalan ibadat dan kewajipan syarak yang dituntut. Begitu juga, pengikut ajaran tarekat yang sesat tidak segan silu melakukan maksiat.

Lebih jauh daripada itu, ajaran tarekat yang sesat juga telah membentuk gerakan politik bawah tanah yang boleh mengganggu-gugat keharmonian umat Islam.

Abu Yazid al-Bistami iaitu seorang tokoh terkenal dalam bidang tasawuf menjelaskan bahawa ada hubungan rapat antara syariat dan tasawuf sehingga tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Menurutnya, syariat itu adalah asas utama yang diperlukan dan tidak boleh ditinggalkan dalam perjalanan menuju kepada Allah. Beliau pernah berkata: “Jika kamu melihat seorang lelaki yang diberikan kekeramatan sehingga dia terbang di udara, maka janganlah kamu terperdaya dengannya sehinggalah kamu melihat bagaimana keadaannya atau sifatnya di sisi perintah dan larangan Allah, menjaga sempadannya dan menunaikan syariat.” Beliau juga dikatakan pernah mengajak anak muridnya untuk menemui seorang lelaki yang memasyhurkan dirinya dengan kewalian dan kezuhudannya. Apabila orang itu keluar dari rumahnya dan memasuki masjid, lalu dia meludah ke arah kiblat, tiba-tiba Abu Yazid berpaling meninggalkannya dan tidak mengucapkan salam kepadanya seraya berkata: “Bagaimana dia boleh dipercayai terhadap apa yang didakwanya itu.”

Pada umumnya, setiap insan ingin mendekatkan dirinya kepada Tuhannya. Begitu juga, dalam kehidupan dunia, seorang anak akan berasa senang apabila berada dekat dengan kedua-dua orang tuanya.

Justeru, kedekatan itu akan menjadi lebih bererti bagi mereka dalam menentukan langkah selanjutnya. Demikian juga halnya dengan tasawuf. Tujuannya adalah untuk mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah. Dan, orang yang mampu dekat dengan Allah hanya orang yang hatinya bersih, suci, dan senantiasa menjaga dirinya daripada hal yang dilarang oleh Allah.

Oleh kerana itulah, pengamal tasawuf perlu orang yang bersih hatinya, suci perbuatan dan tingkah lakunya daripada hal yang shubhah apatah lagi perkara haram serta tidak terpesona dengan segala urusan dunia. Bagi pengamal tasawuf, dunia hanyalah jambatan menuju Allah SWT.

Perlu diinsafi bahawa benih tasawuf sudah pun ada sejak kehidupan Nabi Muhammad SAW. Hal ini dapat dilihat daripada perilaku dan peristiwa dalam hidup, ibadah dan peribadi Nabi SAW. Peristiwa dan perilaku Nabi SAW sebelum diangkat menjadi nabi dan rasul, baginda sering berkhalwat (menyendiri) di Gua Hira. Di Gua Hira, baginda melakukan zikir dan bertafakur dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah. Peristiwa ini acuan pengamalan kesufian dalam melakukan khalwat.

Begitu juga dengan peristiwa yang dialami Rasulullah SAW ketika Israk Mikraj hingga sampai ke Sidratul Muntaha dan berdialog dengan Allah SWT. Sementara itu, dalam ibadah Rasulullah SAW senantiasa mengerjakan apa yang diperintahkan Allah. Baginda beribadah qiyamullail hingga kedua-dua kakinya bengkak dan juga melaksanakan ibadat puasa sunat.

Selanjutnya, pada zaman Khulafa ar-Rasyidin, pengamal sufi mencontohi perilaku sahabat Rasulullah dalam hal keteguhan iman, ketakwaan, kezuhudan dan budi pekerti yang luhur. Sahabat adalah pengikut dan murid Rasulullah yang dipercayai. Mereka juga sentiasa meneladani dan mengikuti kehidupan Nabi SAW. Dalam kitab al-Luma’, mengutip ucapan Ali Utbah al-Hilwani (seorang tabiin), Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi menulis tentang kehidupan sahabat: “Mahukah saya beritahu kepadamu tentang kehidupan sahabat Rasulullah SAW? Pertama, bertemu dengan Allah lebih mereka sukai daripada kehidupan dunia.

“Kedua, mereka tidak pernah takut terhadap musuh, baik sedikit mahupun banyak.

“Ketiga, mereka tidak takut miskin dalam urusan duniawi dan mereka percaya semua rezeki berasal daripada Allah.”

Demikian pengertian sebenar tasawuf dan tarekat yang juga jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu, setiap Muslim wajib berhati-hati dengan ajaran sesat yang bertopengkan tasawuf dan tarekat yang semakin bercambah bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Marilah sama-sama kita kembali kepada al-Quran dan sunah Rasulullah dalam usaha kita menjejaki keredaan Ilahi dunia serta akhirat. HM

Penulis Dekan Pusat Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Hubungan rapat dengan syariat


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Nourul Depp Dedah Sikap Sebenar Rosyam Nor

Jika suami sudah meninggal dunia, satu jari dia memadai sebagai bukti

Berkomplot bunuh suami, wanita dicekup polis

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker