Adakah Pua bakal ikut jejak Ong tak tanding PRU15?

Adakah Pua bakal ikut jejak Ong tak tanding PRU15?

Susulan pengumuman Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming berehat daripada politik dan tidak menyertai pilihan raya umum ke-15, spekulasi bertiup kencang bahawa Ahli Parlimen Damansara Tony Pua mungkin akan melakukan tindakan serupa.

Menurut Sin Chew Daily, sumber DAP berkata ‘pemimpin yang dulu bersama dengan kumpulan elit’ mungkin membuat keputusan yang sama seperti Ong untuk berhenti daripada politik buat sementara waktu.

Sumber itu berkata selepas pemilihan jawatankuasa pusat DAP pada Mac lalu, pemimpin dalam kem berkenaan telah mengeluarkan kenyataan untuk menyatakan pendirian sedemikian.

Ketika ditanya jika ketuanya ialah Pua, sumber itu memberitahu Sin Chew Daily bahawa ‘itu hanya spekulasi anda sahaja’.

Satu lagi sumber memberitahu akhbar harian Cina itu bahawa Pua telah menyatakan hasratnya untuk tidak bertanding pada PRU15 sebelum pemilihan parti lagi pada Mac lalu.

Awal hari ini, Ong mengumumkan keputusannya untuk tidak menawarkan diri sebagai calon untuk pilihan raya umum ke-15.

Malaysiakini juga telah meminta pendapat Pua mengenai keputusan Ong. Bagaimanapun, Pua enggan mengulas.

Pua dan Ong antara pemimpin yang mendesak Pakatan Harapan bekerjasama dengan Muhyiddin Yassin apabila bekas perdana menteri itu menawarkan perjanjian keyakinan dan perbekalan dengan pembangkang di penghujung pemerintahannya.

Perjanjian yang ditawarkan ketika itu selepas Muhyiddin kehilangan sokongan 15 ahli parlimen Umno yang diketuai Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.

Bagaimanapun, perjanjian itu ditolak oleh pimpinan tertinggi PH. Ini memaksa Muhyiddin meletak jawatan dan membenarkan Ismail Sabri mengambil alih pada 22 Ogos tahun lepas.

Cubaan pembangkang untuk bekerjasama dengan Muhyiddin juga tidak mendapat sambutan di kalangan penyokongnya.

Pua dan Ong kedua-duanya tewas dalam pemilihan DAP baru-baru ini yang menyaksikan Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke mengambil alih jawatan setiausaha agung parti daripada Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng.

Loke mengucapkan terima kasih kepada Ong atas sumbangannya dan menghormati hasratnya untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Pada PRU14 lalu, Pua berjaya menempa nama apabila mencatatkan majoriti paling besar di kerusi Parlimen Damansara.

Dalam persaingan tiga penjuru pada kerusi yang sebelum ini dikenali Petaling Jaya Utara, Pua mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 106,903 undi dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dari MCA, Ho Kwok Xheng dan calon PRM, Wong Mun Kheong.

Pua meraih 78 peratus daripada jumlah 136,280 pengundi atau 83 peratus yang keluar mengundi apabila mendapat 121,283 undi manakala Ho memperolehi 14,380 undi dan Wong hanya mendapat 617 undi. Mk

Adakah Pua bakal ikut jejak Ong tak tanding PRU15?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Pemandu bawah umur, pemilik MPV langgar mati dikena tindakan berat

Sakit hati tengok Maria Farida terlalu lawa

Muda didesak jelaskan kes manipulasi saham penny stock

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker