Enggan bayar caj kuarantin atau tandatangan LoU akan dihantar terus ke ILA – Ismail Sabri

Ismail Sabri berkata caj kos kuarantin di semua stesen kuarantin sama ada hotel ataupun ILA adalah sama.

Sementara itu, katanya pelajar daripada keluarga B40 perlu memaklumkan kepada sekretariat bertugas sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memohon pengecualian pembayaran kos kuarantin.

Ismail Sabri berkata semakan akan dibuat dengan merujuk pada pangkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri dan pelajar yang layak akan diberi borang kelulusan yang perlu dikemukakan kepada pihak hotel sewaktu membuat pendaftaran bilik.

Bagi pelajar yang telah tamat pengajian pula, hanya mereka yang di bawah tajaan sahaja tidak perlu membayar kos kuarantin kerana ia ditanggung oleh pihak penaja, katanya.

Sejak 24 Julai hingga semalam, sebanyak 5,281 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di 21 hotel dan lima ILA di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor, Perak dan Johor, dan daripada jumlah itu 13 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

Menurut kenyataan itu, kesemua mereka pulang dari 28 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis dan Australia.

Ismail Sabri berkata, polis melakukan 2,078 pemeriksaan semalam terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing, dan setakat ini jumlah kumulatif individu yang dikenakan tindakan adalah 80 orang kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Mengenai Task Force Operasi Pematuhan, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 60,856 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP PKPP dan turut menahan 104 individu atas kesalahan ingkar PKPP.

Daripada jumlah itu lima individu direman manakala 99 lagi dikompaun melibatkan kesalahan antaranya, aktiviti yang tidak mengikut SOP, aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal, premis beroperasi lebih masa serta melanggar perintah kuarantin.

Bagi kawalan sempadan negara pula, Ismail Sabri berkata PDRM telah membuat 64 sekatan jalan raya menerusi Operasi Benteng bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin dan lima individu ditahan kerana kesalahan imigresen.

Orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti kemasukan atau pencerobohan pendatang tanpa izin ke hotline National Task Force di talian 011-6251 1223.

— BERNAMA

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker