Pemandu e-hailing dakwa direman tanpa sebab, diminta bayar wang ‘kautim’ RM20,000

Pemandu e-hailing dakwa direman tanpa sebab, diminta bayar wang ‘kautim’ RM20,000

Seorang pemandu e-hailing mendakwa direman 10 hari dan diminta membayar wang ‘kautim’ RM20,000 selepas ditahan polis kerana didakwa membawa dua penumpang pendatang asing tanpa izin (PATI) secara salah pada Mei lalu.

Kamarul Ariffin Basirun, 49, yang menjadi pemandu e-hailing sejak 2019, mendakwa kenderaannya serta telefon bimbitnya turut disita pihak polis selama 41 hari sehingga menyebabkan beliau hilang punca pendapatan sepanjang tempoh itu.

Mengimbas kejadian itu, Kamarul Ariffin yang menetap di Semenyih, Selangor, berkata kejadian berlaku pada 18 Mei lalu ketika beliau menghantar dua penumpang terbabit ke Long Beach Resort, Banting.



“Saya menerima pesanan menerusi aplikasi dikendalikan pengendali e-hailing (EHO) untuk mengambil penumpang di Seksyen 9, Bangi pada jam 1.40 pagi, tanpa saya mengetahui status mereka PATI atau sebaliknya.

“Apabila saya sampai ke Long Beach Resort kira-kira jam 2.50 pagi, salah seorang penumpang beritahu mereka tidak cukup wang untuk bayar tambang kerana mereka tidak gunakan kemudahan e-wallet (e-dompet) dan perlu menunggu isterinya datang bersama wang tambang.

“Kami menunggu dalam kereta kira-kira 10 minit sebelum isterinya sampai dan masuk ke dalam kereta untuk buat bayaran. Bagaimanapun, sepasukan anggota polis menyerbu kenderaan saya, seterusnya menahan saya serta dua penumpang dan wanita terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Biro Pergerakan Masyarakat Sivil dan Koordinasi MCA di Wisma MCA di sini, hari ini.



Kamarul Ariffin mendakwa, walaupun sudah menjelaskan dan menunjukkan bukti bahawa beliau seorang pemandu e-hailing dan menerima pesanan penumpang menerusi aplikasi EHO, pihak polis tetap menangkapnya.

Seterusnya beliau direman selama 10 hari dan kesnya disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007

“Bagaimanapun, saya dibebaskan selepas tamat direman dan pada 9 Jun lalu, pegawai penyiasat menelefon dan meminta saya datang ke balai untuk berbincang mengenai kes itu dan saya pergi berjumpanya bersama isteri.

“Pegawai terbabit membuat tawaran sekiranya saya membayar RM20,000, kes berkenaan tidak akan dibawa ke mahkamah dan menyatakan wang itu untuk dibayar kepada Ketua Balai, Bukit Aman, pendakwaraya dan majistret iaitu RM5,000 setiap seorang.



“Kami beritahu tidak cukup wang dan pegawai itu ‘kurangkan’ bayaran kepada RM12,000 pakej bermain golf, namun saya menolak tawarannya itu dan beritahu saya bersedia dihadapkan ke mahkamah kerana tahu saya tidak membuat apa-apa kesalahan,” katanya.

Kamarul Ariffin berkata, pihaknya dimaklumkan kes itu tidak akan dibawa ke mahkamah dan sudah mendapat kembali kenderaan serta telefon bimbitnya setelah disita selama 41 hari.

Beliau berkata kejadian itu memberi kesan trauma kepada diri serta isterinya dan berasa dirinya teraniaya.

“Saya tidak mahu kejadian ini berulang dan menimpa kepada pemandu e-hailing yang lain, justeru saya tampil membuat aduan kepada Biro Aduan MCA agar perkara ini menjadi tauladan kepada orang lain.

“Ada yang menuduh saya mencari ‘wang tepi’ dengan bersekongkol dengan penyeludup PATI, sedangkan perkara itu tidak benar,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Biro Pergerakan Masyarakat Sivil dan Koordinasi MCA, Ng Kian Nam, berkata tangkapan dan reman dibuat polis ke atas Kamarul Ariffin adalah tidak munasabah dan keterlaluan, walaupun sudah jelas dia hanya menerima pesanan penumpang menerusi aplikasi disediakan EHO.

“Pemandu e-hailing tiada kuasa untuk memeriksa dokumen pengenalan penumpang yang menaiki kenderaan mereka, mereka tidak sewajarnya dibebankan dengan perkara itu kerana sepatutnya yang perlu meneliti pendaftaran penumpang adalah EHO.

“Salah laku pegawai penyiasat yang meminta sogokan untuk tidak membawa kes ke mahkamah juga jelas menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Peguam Negara dan badan kehakiman kita,” katanya.

Kian Nam berkata, pihaknya akan menghantar satu surat kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM mengenai perkara ini dan meminta pegawai penyiasat terbabit disiasat.

“Kita juga akan bantu Kamarul Ariffin membuat tindakan sivil terhadap PDRM serta syarikat EHO terbabit bagi menuntut pampasan atas kehilangan pendapatan serta trauma yang dihadapinya.

“Kita juga akan meminta pihak EHO terbabit memberi satu kenyataan rasmi mengenai kejadian itu,” katanya. BH

Pemandu e-hailing dakwa direman tanpa sebab, diminta bayar wang ‘kautim’ RM20,000


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Neil Armstrong Jejak Kaki Ke Bulan ‘Dibuktikan’ Hanyalah Sebuah Rakaman

Guru lesap selepas disyaki rogol 2 pelajar di Sarawak

Berdakwah jangan pilih bulu – Ifa Raziah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Check Also
Close
Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker