Zaid bidas pengkritik ‘angkuh’

Zaid bidas pengkritik ‘angkuh’

Peguam kanan Zaid Ibrahim semalam memuji-muji peguam utama Najib Razak yang dilantik baru-baru ini, Hisyam Teh Poh Teik.

“Saya sangat gembira, sangat bangga dengan Hisham,” kata Zaid, yang firma guamannya mewakili Najib dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan berhubung sabitan dan hukuman dalam kes rasuah SRC International.

“Sepanjang saya jadi peguam, saya tidak pernah lihat seorang peguam bela yang begitu bersemangat, begitu tegas, begitu yakin dengan tujuannya. Malangnya, tidak membuahkan hasil,” katanya.

“Saya tahu beliau seorang peguam yang jujur. Kita boleh tahu beza antara peguam yang jujur dengan yang tidak jujur.”

Bekas menteri undang-undang itu berkata demikian kepada pemberita selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan keterangan baharu bagi membuktikan wujud konflik kepentingan yang berat di pihak Mohd Nazlan Ghazali ketika menghakimi perbicaraan SRC dua tahun lepas.

Zaid turut menzahirkan simpati terhadap bekas perdana menteri itu atas halangan yang dihadapinya ini, tetapi berikrar untuk meneruskan perjuangan.

Ditujukan kepada anak guamnya, beliau berkata: “Saya amat bersimpati terhadap Najib dan keluarga, tetapi (proses menegakkan) keadilan ialah perjalanan yang panjang.

“Kadang-kadang, jika anda tidak boleh dapatkannya di sini, boleh dapatkan di tempat lain.

“Kita akan buat apa yang kita boleh (walaupun dengan) kekangan yang dihadapi.”

Beliau turut kesal dengan segala sikap tidak hormat yang terpaksa dihadapinya kerana lewat mengambil kes Najib.

“Saya sedih kerana telah dikecam disebabkan mengambil kes ini pada saat-saat akhir,” kata Zaid.

“Saya tidak akan berbuat demikian jika saya fikir tiada asas.

“Tiada rasa hormat terhadap orang seperti kami, peguam veteran sehinggakan anda boleh bersikap sambil lewa, bersikap angkuh,” katanya merujuk kepada pengkritik.

Terdahulu, Hisyam menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan mahkamah tertinggi itu menolak usul Najib untuk mengemukakan keterangan lanjut.

“Kami kemuka hujah yang kukuh mengenai fakta dan undang-undang untuk mempengaruhi mahkamah membenarkan permohonan itu kerana keadilan mesti dipastikan terlaksana,” katanya.

“Malangnya, mahkamah tidak hargai hujah kami.”

Katanya lagi, beliau “sangat kecewa dan sedih dengan pendirian Mahkamah Persekutuan” dalam menolak permintaan pasukan guamannya untuk menangguhkan rayuan dengan cara sepatutnya.

“Saya berpendapat bahawa permintaan kami adalah adil dan munasabah,” katanya.

“Saya fikir mahkamah akan bersimpati dan menggunakan budi bicaranya memihak kepada kami, malangnya, tidak.”

Beliau berkata, pasukannya memberi notis pada akhir Julai 2022 – sebaik sahaja ia mengambil alih kes itu – bahawa mereka akan memerlukan lebih masa untuk membuat persediaan.

“Rekod rayuan mencecah ratusan jilid – kira-kira 179 – (dan terdapat) ribuan muka surat alasan penghakiman dan dokumen untuk diteliti,” katanya.

Beliau berkata, pasukan pembelaan perlu mempertimbangkan dengan serius apa yang perlu dilakukan seterusnya.

“Kami akan teliti semula tindakan yang (perlu) kami ambil dan datang semula pada pagi Khamis (untuk pendengaran rayuan dengan cara sepatutnya),” katanya. FMT

Zaid bidas pengkritik ‘angkuh’


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rider Tersangkut Semasa Tunjuk ‘Kung-Fu’ Di Hadapan Orang Ramai (Video)

Resepi Roti Boy Aroma Kopi Lemak Manis

Kereta F1 Ferrari dikesan diatas jalan raya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker