Tommy Thomas wajar disiasat sehabis mungkin

Peguam, Haniff Khatri Abdulla menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan siasat terhadap Tommy Thomas, walaupun bekas Peguam Negara itu telah membuat penafian menerima rasuah.

Tommy pada Sabtu menafikan beliau menerima suapan semasa mengendalikan kes penyalahgunaan dadah membabitkan anak lelaki taikun terkenal, Tan Sri Vincent Tan.

Haniff berkata, biarpun beliau memuji tindakan Tommy yang cepat mengeluarkan kenyataan bagi menafikan dakwaan portal berita berkenaan namun ia tidak bermakna kes terbabit wajar ditutup susulan pendedahan mengejutkan berkenaan.

“Secara ringkas portal berkenaan mendakwa Tommy telah menggugurkan satu pertuduhan jenayah narkotik yang berat dikenakan terhadap anak seorang taikun terkenal di negara ini.

“Sama ada perkara itu betul atau tidak memandangkan ada satu dakwaan dan sangkalan dibuat Tommy maka kes berkenaan wajar disiasat.

“Saya memang memuji sangkalan awal dibuat oleh Tommy, namun ia tidak bermakna fail berkenaan akan ditutup dengan penafian terbabit. Ini kerana mengikut prinsip keluhuran undang-undang semua aduan atau dakwaan dibuat wajib disiasat oleh pihak berkuasa terutamanya apabila membabitkan pihak pelaksana undang-undang seperti berlaku kebelakangan ini,” katanya kepada wartawan Sinar Premium.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendedahan dibuat Twitter Edisi Khas yang mendakwa salah seorang anak lelaki taikun terkenal ditahan atas kesalahan dadah pada 2019 tetapi didakwa mereka sudah dilepaskan oleh Tommy.

Berikutan itu, Haniff berkata, tiga pihak yang wajib disiasat oleh pihak berkuasa terutama SPRM termasuklah pasukan siasatan dan pendakwaan mengenai perlindungan patut diberikan pihak berkuasa kepada pemberi maklumat.

Haniff berkata, perkara itu tertakluk di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) tertakluk kepada keadaan di mana pihak berkenaan telah menyampaikan informasi berkenaan kepada pihak berkuasa.

Justeru, tambah Haniff, wujud persoalan mengenai sama ada pemberi maklumat yang mendedahkan portal Edisi Khas yang bukannya pihak berkuasa telah melaporkan kepada mana-mana pihak berkuasa.

“Dakwaan dibawa kepada Tommy adalah satu konsep terjerumus kononnya sudah melakukan salah guna kuasa seperti termaktub di bawah Akta SPRM. Persoalannya ada tak pihak pemberi maklumat atau portal Edisi Khas membawanya kepada pengetahuan SPRM.

“Jika tiada maka pemberi maklumat atau Edisi Khas menganggap mereka layak dan wajib diberikan perlindungan kerana Akta 711 mempunyai proses dan prosedur yang perlu dipatuhi oleh kesemua rakyat biasa untuk memberikan maklumat jenayah kepada pihak berkuasa.

“Jika perkara itu tidak dipatuhi dan pendedahan awam dibuat tanpa dirujuk kepada pihak berkuasa maka tidak semestinya mereka diberikan secara automatik seperti kes Lalitha Kunaratnam yang membuat dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, baru-baru ini,” katanya.

PASUKAN KHAS

Dalam pada itu, Haniff Khatri berkata, proses penyiasatan secara amnya mestilah dilakukan selepas satu pasukan khas dibentuk bagi menyiasat pelbagai pihak termasuk pemberi maklumat, portal Edisi Khas dan pihak berkaitan bagi mengetahui butiran terperinci kes berkenaan.

Beliau berkata, kedua pihak berkuasa juga wajar menyiasat pasukan narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengetahui bagaimana maklumat dalam fail kes jenayah anak taikun terkenal terbabit boleh bocor kepada pihak ketiga.

“Pihak ketiga wajar disiasat SPRM adalah pasukan pendakwaan yang membuat sebarang keputusan berhubung kertas siasatan membabitkan anak taikun berkenaan.

“Siasatan terperinci wajar dijalankan kerana mana-mana aduan sama ada dibuat secara rasmi atau ditampilkan oleh pihak awam kepada pihak berkuasa tidak boleh ditutup begitu sahaja tanpa disiasat,” katanya.

KEMUKA REPRESENTASI

Terdahulu, Tommy pada Sabtu tampil menepis dakwaan bahawa beliau bersikap korup semasa mengendalikan kes jenayah ke atas anak lelaki ahli perniagaan terkenal.

Tommy dalam satu kenyataan, pada Sabtu berkata, bahawa selepas anak lelaki Tan didakwa, peguam tertuduh mengemukakan representasi bertulis kepada Jabatan Peguam Negara (AG).

Mengulas lanjut, Tommy menerima permohonan bertulis untuk mempertimbang semula pertuduhan adalah “kejadian biasa” di Pejabat Peguam Negara.

“Surat-surat ini dibawa ke pengetahuan saya untuk diputuskan.

“Setelah mengkaji representasi dan kertas penyiasatan, menyemak semula peruntukan undang-undang berkaitan dan berbincang dengan pegawai kes (semua timbalan pendakwa raya), saya ingat yang saya mengurangkan pertuduhan,” katanya.

Tommy juga menegaskan beliau tidak mempunyai akses kepada sebarang dokumen dan fail yang diselia oleh pihak yang menyediakan kertas siasatan dan dia tidak lagi berupaya mengemukakan sebarang perincian lanjut.

Tommy juga berkata, beliau tidak pun mengenali ahli perniagaan berkenaan sebelum menjadi peguam negara, mahupun mewakilinya atau kepentingan perniagaannya.

Tommy Thomas wajar disiasat sehabis mungkin


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bukan isteri arwah yang kejar harta tetapi plaintif – Hakim

Kembali dalam politik, Ini jawapan Rafizi Ramli

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker