Tanah adat Orang Asli: Pindaan perlembagaan perlu – Ramli

Tanah adat Orang Asli: Pindaan perlembagaan perlu – Ramli

Masyarakat Orang Asli di negara ini berdepan pelbagai pahit getir dalam memperjuangkan hak tanah adat mereka. Pertelagahan demi pertelagahan dengan syarikat pembalakan dan kerajaan negeri berlaku, sehinggalah terpaksa penghadang didirikan.

Tidak kurang juga berlaku insiden membabitkan Orang Asli digari dan dilokap.

Walaupun mereka merupakan peneroka asal di Semenanjung Malaysia, etnik Orang Asli di seluruh negara berdepan masalah yang sama – tanah adat mereka tidak diwarta secara rasmi dan sentiasa berisiko diusir.



Terdapat banyak struktur kekuasaan yang mempengaruhi Orang Asli. Antaranya termasuk golongan bangsawan, pemilik tanah, pelombong, pembalak, kerajaan negeri dan jabatan tanah atau perhutanan.

Tambahan pula kumpulan Orang Asli biasanya kecil, berpecah-belah dan tidak mendapat kebajikan yang sempurna.

Adakah ini malapetaka yang tidak akan berpenghujung kepada mereka?

Mk mengemukakan soalan ini semasa mengadakan wawancara dengan ahli parlimen Orang Asli pertama di negara ini, Ramli Mohd Nor.



“Isu tanah adat Orang Asli ibarat satu penyakit. Ramai antara kita sedar ia adalah masalah, tetapi bagaimana kita boleh mengubatinya?

“Ada dua perkara penting untuk menyelesaikan masalah ini – dengan meminda Perlembagaan Persekutuan, dan kedua, mempunyai keazaman politik untuk melakukannya.

“Yang terakhir adalah kuasa di sebalik penyelesaian ini,” kata Ramli.

Negeri boleh ambil semula



Dia merupakan Orang Asli pertama menjadi anggota Dewan Rakyat dalam sejarah Malaysia selepas memenangi pilihan raya kecil Cameron Highlands pada 2019.

Temu bual khas bersama Ramli itu diadakan sempena Hari Orang Asli Sedunia 2022 yang disambut di seluruh dunia, hari ini.

Menurut ahli parlimen Umno itu, masalah utama dalam isu tanah adat berpunca daripada Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan tanggungjawab kebajikan Orang Asli hanya di tangan kerajaan pusat.

Pada masa sama, katanya, negeri yang mempunyai kuasa dalam hal ehwal tanah tidak diberi tanggungjawab untuk menjaga Orang Asli.

“Senario sekarang ini bermakna, setiap kali kerajaan persekutuan ingin melakukan sesuatu untuk Orang Asli, dan mereka memerlukan kawasan tanah untuk melakukannya, maka kerajaan pusat akan mewartakan kawasan tanah itu untuk tujuan itu.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri boleh mengambil semula tanah itu pada bila-bila masa, kerana tanah itu milik mereka (kerajaan negeri).

“Malah negeri boleh menolak cadangan kerajaan pusat untuk menggunakan tanah mereka untuk Orang Asli, dan kerajaan pusat tidak boleh berbuat apa-apa.

“Tetapi jika kita meletakkan kebajikan Orang Asli di bawah tanggungjawab bersama, maka kerajaan pusat dan negeri boleh melakukan apa yang perlu untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Ramli merujuk kepada Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang merangkumi “kebajikan Orang Asli” sebagai salah satu tanggungjawab di bawah senarai persekutuan, senarai negeri dan senarai bersama.

Justeru bekas pegawai kanan Polis Diraja Malaysia itu mencadangkan Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk meletakkan Orang Asli di bawah senarai kuasa bersama.

Perjuangan sukar di depan

Jika ini berjaya, kata Ramli, ia akan membuka jalan untuk kanun tanah negara dan kanun tanah di setiap negeri dipinda agar peruntukan mengenai tanah adat boleh dimasukkan.

“Tanah adat Orang Asli mesti dinyatakan dalam kanun tanah. Tentukan di bawah kanun itu apa yang dimaksudkan dengan tanah adat.

“Selepas pindaan kanun tanah negara barulah kita boleh pergi ke setiap negeri dan meminta mereka menukar tanah mereka juga.

“Setakat hari ini, tidak ada negeri di Malaysia yang mempunyai tanah adat Orang Asli yang ditetapkan dalam kanun tanah mereka. Inilah sebabnya wujud isu tanah adat,” jelasnya.

Bagaimanapun, setelah menyenaraikan “ramuan penawar”, Ramli mengakui bahawa ia adalah satu perjuangan yang sukar untuk diselesaikan di Dewan Rakyat sekarang.

Dia menegaskan, bagi meminda Perlembagaan Persekutuan sesuatu rang undang-undang itu memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua per tiga daripada ahli Dewan Rakyat, sedangkan pihak kerajaan hari ini tidak mempunyai jumlah itu. Mk

Tanah adat Orang Asli: Pindaan perlembagaan perlu – Ramli


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Emma Maembong, Shahz Jaszle kena kecam sakan menari berpelukan (Video)

Khairuddin haiwan politik, tak kenang jasa Bersatu – Sanusi

Menteri guna kereta elektrik mulai tahun depan – Tuan Ibrahim

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker