Anna Jobling kekal personaliti asal

Anna Jobling kekal personaliti asal

MENJADI nama paling bersinar kala ini, pelakon Anna Jobling menggalas tugas cukup berat mengemudi karier seninya. Fenomena dicetuskan khususnya menerusi drama Melur Untuk Firdaus melimpah ruah.

Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 22, menyemat rapi peringatan itu dalam dirinya.



Baginya, nikmat itu mampu ditarik bila-bila masa sekiranya tidak ditatang sebaiknya.

Sehingga kini, pencapaian diraihnya masih dihadam perlahan-lahan. Mana tidak, populariti dikecap serta tumpuan diberikan tiba-tiba mendadak lantas perlu masa untuk memprosesnya.

Namun, Anna percaya amanah terbesar buatnya bermula. Kini menjadi ikutan jutaan mata, dia perlu menitikberatkan lebih banyak aspek terutama lisan selain pergerakannya.

“Saya mengaku terkejut dengan perubahan yang berlaku terlalu cepat. Tapi, alhamdulillah setakat ini saya masih Anna yang sama seperti dulu. Saya tahu setiap gerak-geri menjadi perhatian.



“Saya juga perlu lebih berhati-hati dalam apa yang dikeluarkan daripada pihak saya. Tidak kira percakapan

atau penulisan di media sosial. Apa pun saya tetap menjadi diri sendiri seperti yang dulu,” katanya.

Sejak tahun lalu khususnya, Anna juga tidak menang tangan menjayakan pelbagai projek. Jadualnya sentiasa padat dan pelbagai tuntutan kerja menerpa baik di dalam dan luar negara.

Pada usia sekarang, ini masa terbaik untuknya mengerah kudrat mencapai apa juga diingini. Dia sendiri pun tidak menafikan dirinya ‘workaholic’.



Keletihan baginya sudah menjadi lumrah apabila ada sifat itu dalam diri. Tetapi, dia berasa nikmat apabila penatnya berbaloi dan punya pendekatan tersendiri bagi membuang keletihan diri.

“Saya jenis yang suka bekerja. Jadi, setiap kali letih, saya gembira sebab letih itu datang daripada kerja. Saya kalau terlalu sibuk akan sentiasa cari masa terluang walaupun kejap untuk ‘power nap’.

“Itu adalah tip yang sentiasa saya amalkan. Ini kerana ‘power nap’ sebenarnya sangat berkesan! Kalau dapat hari cuti pula, saya akan berehat dan luangkan masa dengan keluarga,” katanya.

Satu hal yang cukup rapi dijaga Anna juga adalah peminat. Kerap adakan sesi bersama mereka, amat jelas betapa dia menghargai peminatnya sebagai nadi utama kelangsungan karier.



Disebabkan peminat juga menaikkan lagi kobar semangatnya untuk sajikan yang lebih terbaik dalam prestasi kerjanya. Dia takkan sekali lupakan jasa bakti sokongan peminatnya sejak dulu.

“Saya sendiri tahu macam mana perkembangan kerjaya saya sehingga kini dan kuncinya adalah peminat sebenarnya. Dorongan dan sokongan peminat buat saya nak terus tunjukkan karya terbaik untuk mereka.

“Peminat ini sebenarnya tulang belakang yang sentiasa ada dengan saya. Tanpa mereka, tak mungkin saya akan capai banyak perkara dalam jangka pendek sepanjang sumbangan saya dalam industri seni hiburan Malaysia,” katanya.

Terus kuat dikaitkan dengan Meerqeen yang menjadi pasangannya dalam Melur Untuk Firdaus, Anna sangat bersyukur gandingan mereka sebenarnya terlalu besar tinggalkan impak.



Namun, sebagai pelakon yang berkobar ingin terus maju, dia mahu lebih terbuka bergandingan dengan ramai lagi. Katanya, itu cara terbaik untuknya serlahkan lagi sisi bakatnya ke tahap tertinggi.

“Buat masa ini, saya terbuka untuk cuba mana-mana peluang gandingan yang boleh dapat. Sebab saya nak teroka banyak benda baharu untuk timba lebih pengalaman.

“Justeru, saya optimis dengan siapa pun gandingan bersama selepas ini,” katanya.

Teruja berangkat ke Indonesia



Selepas mencipta kubu peminat di Indonesia, bulan depan menjadi pemula langkah Anna mencuba nasib bina nama untuk pasaran negara seberang. Tentu sekali ia berita paling mengujakannya.

Sudah beberapa kali menolak tawaran produksi sana, akhirnya hasrat Anna melebarkan sayap di sana menjadi kenyataan. Dia menerima tawaran sebagai satu daripada teraju dalam sebuah siri terbaharu di platform Over-The-Top (OTT), MNC TV di Indonesia.

“Selepas tolak beberapa projek pada enam bulan pertama tahun ini, saya sangat gembira bakal membintangi naskhah terbitan negara seberang kali ini. Lagipun tempoh penggambaran serta watak ditawarkan bersesuaian dan tinggal di Bali lebih sebulan.

“Ini pengalaman sulung saya bekerjasama dengan produksi Indonesia. Tambahan pula, satu daripada pelakon kegemaran saya iaitu Pevita Pearce bertindak sebagai pengarah drama berkenaan,” katanya.

Anna tidak nafikan banyak juga hal bermain di fikirannya untuk projek itu. Namun, dia menyerap sokongan terutama peminat yang ingin melihatnya terus terbang tinggi dan tembus pasaran sana.

“Perasaan pasti takut dan teruja. Terutama memikirkan saya perlu memperbaiki dari segi bahasa dan dialek Indonesia serta menyesuaikan diri dengan cara kerja produksi Indonesia.

“Saya sangat berterima kasih dan bersyukur kepada peminat dari sana khususnya yang mendukung perkembangan saya sehingga kini. Bahasa dan dialek Indonesia saya sering diperbetul mereka ketika berinteraksi dan itu membantu saya lebih yakin,” katanya. HM

Anna Jobling kekal personaliti asal

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Jangan ingat kau ‘power’ sangat – Adlin Aman Ramli

Abby gaduh dengan Norman? (Video)

Tan Sri kenapa terasa – Aliff Syukri

Konvoi ‘supercar’ tular halang lalu lintas disaman polis

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker