Harga rumah mungkin naik mendadak



Harga rumah mungkin naik mendadak

Harga rumah kediaman dijangka meningkat ketara dalam tempoh dua tahun datang dengan keyakinan tinggi terhadap ekonomi negara, demikian menurut Indeks dan Kaji Selidik Hartanah Suku Ketiga 2022 yang dikeluarkan oleh Juwai IQI Malaysia.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari, berkata ejen-ejen hartanah menjangkakan harga rumah kediaman akan meningkat sebanyak 11.8 peratus di seluruh negara dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Beliau berkata, pertumbuhan itu akan berterusan pada tahun berikutnya dengan harga dijangka berada 16.5 peratus lebih tinggi dalam tempoh 24 bulan akan datang.

“Di Pulau Pinang, ejen-ejen meramalkan pertumbuhan harga 17 peratus dalam masa dua tahun. Ejen-ejen di Johor mengunjurkan pertumbuhan harga 18.1 peratus dalam tempoh sama.




“Ejen-ejen di Kuala Lumpur dan Selangor menjangkakan pertumbuhan harga 15.9 peratus, manakala ejen-ejen di Sabah mengunjurkan pertumbuhan harga 14.7 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Kami telah melakukan Indeks dan Kaji Selidik Juwai IQI sejak 2019, angka ini adalah unjuran pertumbuhan harga rumah kediaman paling kukuh yang pernah direkodkan. Unjuran berubah dengan ketara sejak suku ketiga 2021. Pada masa itu, ejen-ejen menjangkakan penurunan lima peratus harga rumah kediaman dan mereka terbukti hampir tepat,” katanya dalam satu kenyataan.

Ansari berkata, antara sebab ejen-ejen begitu yakin terhadap pasaran hartanah adalah disebabkan mereka amat optimis dengan keadaan ekonomi.

“45 peratus daripada ejen percaya ekonomi akan menjadi lebih kukuh dalam tempoh enam bulan akan datang. Unjuran daripada Bank Negara Malaysia (BNM) menyokong tinjauan positif itu.

“Bank pusat percaya ekonomi Malaysia akan terus meningkat tahun ini dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan melonjak setinggi 6.3 peratus,” katanya.




Beliau berkata, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan projek pelaburan kerajaan akan merangsang aktiviti ekonomi.

“Kadar pertumbuhan KDNK suku pertama Malaysia pada 5.0 peratus adalah tinggi dari standard global. Ia pertumbuhan lebih pantas berbanding di China, Amerika Syarikat (AS) dan ekonomi utama lain.

“Kita telah terbiasa berfikir bahawa China adalah ekonomi paling pantas berkembang di dunia, namun itu tidak terjadi pada 2022. Malaysia kini berkembang lebih pantas berbanding China,” katanya.

Ansari berkata, seandainya jangkaan oleh ejen-ejen hartanah menjadi kenyataan, senario itu akan menyaksikan pemilik rumah akan mendapat manfaat daripada peningkatan nilai, manakala mereka yang meninjau untuk menyewa atau membeli terpaksa menaikkan bajet masing-masing.

“Nasihat ejen sama ada untuk membeli atau menyewa adalah petunjuk yang kukuh tinjauan mereka terhadap pasaran.




“Hampir sembilan daripada 10 ejen hartanah di Malaysia yang dikaji selidik berkata mereka menasihatkan supaya lebih baik membeli sekarang berbanding menyewa.

“Sebaliknya, hanya 11 peratus yang berkata mereka akan menasihatkan supaya lebih baik menyewa sekarang berbanding membeli,” katanya. BH

Harga rumah mungkin naik mendadak


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET





Resepi Agar-Agar Santan Isi Kelapa Muda, kena sekali nak selalu

Wanita tertipu beli telefon murah online, dapat sebungkus garam [VIDEO]

Isteri ‘terkam’ kereta tangkap suami curang [VIDEO]



Leave a Reply

Your email address will not be published.