Mahathir hanya membangun bersama kelompok tauke dan saudagar kaya semasa berkuasa – Saifuddin

Gambar Hiasan

 

Seorang pemimpin PKR membidas kritikan Dr Mahathir Mohamad terhadap kerajaan Anwar Ibrahim, dengan berkata kepimpinan semasa banyak mengorak langkah besar sejak mula memegang kuasa pada November.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, Mahathir telah mendapat peluang memimpin negara selama lebih dua dekad.

Katanya, Mahathir harus menerima hakikat bahawa “masanya sudah berlalu, kini masa untuk Anwar memimpin”.



“Anwar belum setahun (mentadbir) namun mampu mengekalkan kestabilan politik dan menumpukan kepada pembelaan rakyat, (seperti) penyelesaian hutang (peneroka) Felda.

“Tun (pula) lebih selesa membangun kelompok tauke dan saudagar kaya semasa berkuasa.

“Anwar fokus membersihkan negara daripada amalan rasuah yang tentunya tidak digemari oleh pelaku rasuah,” katanya.

Dalam sebuah episod audio siar Tiber semalam, Mahathir berkata, beliau mendapat aduan daripada penjawat awam bahawa menteri-menteri kerajaan semasa “tak buat apa”.



Malah, mereka gagal memberikan arahan kepada kementerian masing-masing, tambahnya.

Beliau juga mendakwa, negara dilanda pelbagai isu sejak Anwar dilantik menjadi perdana menteri, seperti keadaan politik yang “tidak tentu arah”.

Anwar sebelum ini membidas pengkritiknya yang mendakwa pentadbirannya gagal mengurus ekonomi negara, dengan memetik beberapa petunjuk ekonomi yang menggalakkan.

Katanya, pada separuh pertama tahun ini, negara mencatatkan pelaburan bernilai RM1.7 bilion.



Pertumbuhan ekonomi negara juga mengatasi Singapura, China, dan Indonesia pada tahap 5.6%, manakala inflasi bulanan rendah pada 2.8%, tambahnya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker