Ida seronok jadi Ali
Ida seronok jadi Ali
Daripada siri pertama hingga diangkat ke layar perak, mungkin ramai tidak tahu, pelakon suara bagi watak perisik popular, Ejen Ali yang berusia 12 tahun, milik ibu dua anak, Ida Rahayu Yusoff, 40.
Sejak 2016, iaitu ketika siri pertama Ejen Ali diperkenalkan, Ida yang berasal dari Kuantan, Pahang, menghidupkan watak Ejen Ali, suatu pekerjaan yang tidak dirancang dan berlaku secara kebetulan.
“Pada asalnya, saya bekerja sepenuh masa di WAU Animation Studios sebagai Pengurus Produksi. Tugas saya menguruskan uji bakat untuk mencari pelakon suara bagi watak Ejen Ali.
“Namun, akhirnya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WAU Animation Studios, Usamah Zaid Yasin minta saya yang jadi pelakon suara watak itu.
“Keputusan dibuat dalam kata sepakat selepas tiada pelakon suara sesuai membawa watak itu.
“Saya anggap ini rezeki terpijak. Lagipun, dunia pelakon suara ini bukan asing dalam diri. Sebelum saya diberi mandat itu, ‘teaser’ siri animasi ini menggunakan khidmat saya,” katanya kepada BH Online.
Ida ditemui pada majlis pratonton musim ketiga siri animasi itu di ibu negara, baru-baru ini.
Sebelum Ejen Ali, Ida pernah meminjamkan suara bagi watak Fizi untuk siri animasi Upin & Ipin pada 2007 dan watak Oopet dalam filem Geng : Pengembaraan Bermula.
Bagi Ida, menjadi pelakon suara untuk watak lelaki bukanlah masalah besar.
“Dari dahulu, saya suka mengajuk suara. Pendek kata, semua suara, tidak kira lelaki atau perempuan. Saya hanya perlu ‘dalamkan’ suara sedikit untuk jadi lelaki.
“Saya kena pakai suara perut dan mengawal otot badan. Sebelum ini, saya ikuti kelas berkaitan seperti kaedah melakukan mimik muka.
“Selain itu, saya banyak menonton cerita animasi untuk belajar,” katanya yang suka membaca komik, termasuk Doraemon.
Ditanya apakah mudah untuk mengekalkan suara, Ida Rahayu mengaku tugas itu mencabar.
“Saya mengaku untuk mengekalkan suara kanak-kanak berusia 12 tahun ketika usia sendiri meningkat, bukanlah senang. Kadang-kadang, terlepas suara perempuan. Cuma lama-lama, saya cabar diri.
“Akhirnya, sekarang, apa yang lebih utama adalah memberi nyawa kepada karakter. Ketika diberi mandat ini, saya cuba meresapkan roh watak itu.
“Cerita dalam siri Ejen Ali makin matang dan serius. Saya kena banyak gali emosi. Pelakon depan kamera nampak emosi dan mimik muka. Namun, bagi saya, suaralah nadi segala-galanya,” katanya.
Mengenai reaksi peminat cilik siri animasi itu menyedari dirinya melakonkan watak Ejen Ali, Ida mengaku ada antara mereka keliru.
“Iya, anak kecil keliru tengok saya yang berpangkat mak cik menghidupkan watak Ejen Ali.
“Selalunya, saya minta mereka pejamkan mata sambil mendengar suara saya,” katanya.
Sempat ditanya reaksi anak-anak, Ida Rahayu berkata, mereka tidak kisah.
“Setiap kali tengok drama animasi menggunakan suara saya, mereka teruja. Setiap kali membacakan mereka buku cerita, pasti saya lakonkan pelbagai suara,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai musim ketiga Ejen Ali, Usamah teruja Ejen Ali menjadi harta intelek animasi Malaysia pertama terpilih untuk menjalin kerjasama produksi dengan Disney+ Hotstar.
Usamah mengaku proses penghasilan 13 episod siri itu mengambil masa lama.
“Pada mulanya, kita merancang menghasilkan filem Ejen Ali kedua. Primeworks Studios (PWS) sudah dimaklumkan mengenainya.
“Namun, kami pertimbangkan semula apabila industri pawagam terjejas akibat COVID-19.
“Jadi, tukar perancangan daripada filem ke siri musim ketiga,” katanya.
Kali pertama bekerjasama dengan Disney+ Hotstar, Usamah tidak menafikan bersarang rasa gementar.
“Namun, setiap proses dikongsi dengan Disney. Seperti PWS, tidak jauh berbeza kerana mereka juga ada perkara yang perlu diikuti dan dielak. Kita sentiasa berbincang,” katanya.
Usamah turut ditanya mengenai usaha menghasilkan karya animasi itu dalam bentuk filem aksi atau ‘live action’.
“Kami belum bersedia kerana kerancakan mengembangkan cerita dalam bentuk animasi masih memberi petunjuk positif.
“Malah, saya belum nampak sesiapa yang boleh menerbitkannya. Begitu juga dengan pelakon yang boleh membawa watak Ejen Ali,” katanya.
Sejak tayangan pertama siri Ejen Ali di Malaysia pada 2016, animasi itu menarik minat beberapa stesen media
antarabangsa dan berjaya menembusi siaran di lebih 50 negara.
Layari YouTube rasmi Ejen Ali iaitu www.youtube.com/ejenali untuk melihat sedutan atau ‘trailer’ pertama musim ketiga Ejen Ali.
Musim ketiga Ejen Ali ditayangkan di platform Disney+ Hotstar setiap Sabtu sejak 25 Jun lalu. BH
Ida seronok jadi Ali
Baca Artikel Menarik:
- Najib jawab dakwaan Anwar
- Biadap! 12 kedai diarah tutup, promosi arak percuma kepada pelanggan Islam
- Isteri hilang selepas keluar bekerja
- Ismail lancar Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com
- Ekonomi global dan kenaikan harga barang – Dr Akmal Saleh
- Bapa Rogol Anak Sendiri Hampir 12 tahun Hingga Wanita Ini Anggap ‘Ayah Sudah Lama Mati’
- Rakam Video Seks Depan Panorama Indah, Pasangan ‘Buat Projek’ Atas Bangunan The Shard 72 Tingkat
- Daiyan Trisha padam video
- Tok Pa, Mas Ermieyati dan Noor Azmi saman Zahid jika berada dipihak yang benar
- Berkhalwat ketika suami keluar kerja
- Perbuatan kamu lebih teruk daripada binatang
- Kasi makan ayam bukan sebab sayang buaya – Shabery
Layari Laman Facebook MYKMU.NET