Kadar faedah rendah terlalu lama beri kesan buruk

Kadar faedah rendah terlalu lama beri kesan buruk

Membiarkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras yang rendah untuk tempoh yang lama sedangkan ekonomi sudah mula pulih boleh membawa banyak kesan negatif kepada ekonomi negara.

Kadar faedah yang rendah antara lain akan memburukkan situasi inflasi apabila pengguna lebih berbelanja; kurang menabung kerana pulangan rendah; menggalakkan aktiviti spekulasi yang berlebihan dalam pasaran.

Selain itu, ketidakseimbangan pulangan apabila Amerika Syarikat (AS) secara agresif menaikkan kadar faedahnya menyebabkan aliran keluar pelaburan jangka pendek, sekali gus menjejaskan nilai ringgit, yang mana turut menyumbang kepada inflasi susulan kebergantungan kepada bahan dan barangan import.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata, dalam persekitaran kadar faedah rendah aktiviti spekulasi berlebihan berlaku dalam pasaran kewangan dan hartanah serta pelaburan yang berisiko tinggi seperti mata wang kripto dan tukaran mata wang asing.

Kenaikan OPR juga, katanya boleh dikaitkan dengan usaha Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan ruang dasar monetari yang boleh digunakan pada masa akan datang ketika keadaan lebih memerlukan.

“Ini membolehkan sistem kewangan negara lebih bersedia berdepan kemungkinan risiko makro ekonomi akan datang yang sudah mula kelihatan seperti prospek pertumbuhan ekonomi di Amerika Syarikat (AS) yang bakal perlahan ataupun memasuki fasa meleset pada masa akan datang berikutan kenaikan kadar faedah AS yang agresif.

“Oleh itu, meningkatkan ruang dasar juga boleh dilihat dalam langkah untuk menaikkan OPR ini,” katanya kepada BH ketika dihubungi baru-baru ini.

Dr Mohd Afzanizam berkata, pihaknya menjangkakan bahawa terdapat kemungkinan OPR akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada minggu ini.

“Jangkaan ini didorong oleh faktor ekonomi domestik yang kian pulih daripada kesan COVID-19. Ini adalah berikutan pembukaan ekonomi yang banyak menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

“Selain itu, kadar inflasi yang meningkat kepada 2.8 peratus pada Mei lalu telah menyumbang kepada kadar pulangan benar yang negatif. Justeru, terdapat justifikasi untuk menaikkan OPR bagi memberi insentif untuk meningkatkan tabungan di dalam institusi perbankan,” katanya.

Pengurus Penyelidik FSMOne Malaysia, Jason Wong pula berkata langkah menaikkan kadar penanda aras kadar pinjaman akan mengurangkan kelemahan dan menstabilkan ringgit yang disebabkan kenaikan kadar faedah secara agresif oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) baru-baru ini.

“Pasukan Penyelidik di FSMOne menjangkakan bank pusat akan membuat tiga lagi kenaikan 25 mata asas membabitkan kadar faedah pada baki Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang berlangsung tahun ini.

“Kami percaya bank pusat tidak mahu melakukan kesilapan seperti Fed, dengan menaikkan kadar terlalu perlahan dan membiarkan inflasi meruncing di luar kawalan. Oleh itu, BNM sentiasa mengikuti perkembangan perkara ini,” katanya.

Wong berkata, kerajaan telah memulakan penghapusan subsidi secara sederhana memandangkan pandemik yang melanda serta perang Ukraine-Russia menjejaskan rantaian bekalan, sekali gus banyak harga komoditi isi rumah telah melambung tinggi.

Beliau berkata, sekatan dan kawalan pergerakan oleh China di wilayah tertentu juga menjejaskan bahagian pengeluaran industri yang mereka bekalkan ke Malaysia dan negara lain.

Katanya, kesan domino berlaku dan seterusnya, pengeluaran tempatan tertangguh akibat situasi itu dan turut menjejaskan pengguna akhir.

“Semua faktor digabungkan dan meningkat, ia menyumbang kepada peningkatan inflasi dalam negara. Kerajaan Malaysia kini dicabar untuk menghadapi peningkatan kos banyak komoditi,” kata Wong.

Sementara itu Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, secara teorinya, kenaikan kadar faedah akan menyebabkan kos pinjaman meningkat, sekali gus mengurangkan kecenderungan individu dan perniagaan untuk meminjam dan berbelanja.

“Kadar faedah yang tinggi juga menggalakkan individu dan perniagaan untuk meletakkan wang mereka di dalam akaun simpanan tetap untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi.

“Apabila ramai sudah kurang berbelanja dan lebih kepada menyimpan, ianya akan memperlahankan aktiviti ekonomi dan menyebabkan permintaan berkurangan daripada penawaran, seterusnya menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan menurun.

“Jika permintaan menurun, import barangan akan menurun dan perniagaan akan menukar strategi menjual barangan dan perkhidmatan ke luar negara. Ini akan mengukuhkan ringgit kembali,” katanya. BH

Kadar faedah rendah terlalu lama beri kesan buruk

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker