Suri Rumah Jaga Suami Strok, Anak OKU, ‘Kadang 2 Minggu Terputus Bekalan Makanan’

Suri Rumah Jaga Suami Strok, Anak OKU, ‘Kadang 2 Minggu Terputus Bekalan Makanan’

HULU LANGAT: Sembilan tahun lalu, Zawani Abdul Ghani, 49, diuji apabila suaminya diserang angin ahmar menyebabkan separuh badan tidak boleh bergerak.

Bertitik tolak daripada insiden itu, suri rumah tersebut hilang punca pendapatan apabila Yaakob Hamid, 59, tidak lagi berkudrat untuk menyara keluarga.

Dugaan semakin berat apabila anak keempat mereka, Muhammad Hiqbal, 19, pula hilang keupayaan fizikal apabila kedua-dua belah kakinya tidak boleh bergerak akibat kemalangan motosikal pada 2020.

Keadaan itu menambah sulit buat ibu kepada lapan cahaya mata itu kerana satu-satunya sumber pendapatan tetap yang ada ialah bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 yang diberikan kepada Muhammad Hiqbal.

Suaranya sayu apabila mengakui pernah terputus bekalan makanan selama dua minggu kerana ketiadaan wang.

Luah Zawani lagi, pada masa itu rasa segan sudah tidak lagi dihirau, asalkan suami dan anak-anaknya terisi perut.

Selain daripada bantuan masjid, adik-beradik dan jiran-jiran turut menjadi tempat bergantung harap buat wanita itu.

Katanya, bantuan zakat sebanyak RM700 yang diterima sebelum ini terhenti sejak awal tahun lalu kerana kelewatannya membuat kemas kini.

“Sekarang (suami) sudah okay cuma susah nak bercakap dengan orang. Lidah dia macam kelu untuk bercakap satu-satu ayat, kadang-kadang tak lepas.

“Separuh badan sebelah kanan dia memang tak kuat sangat. Kadang-kadang dia usaha juga buat kerja rumah.. mesin rumput tapi tak kuat macam dulu,” kata Zawani kepada Astro AWANI ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pak Chat, Hulu Langat di sini.

“(Sumber pandapatan) kadang-kadang anak yang kerja tolong juga. Bantuan makanan daripada zakat ada bagi, kadang-kadang susah juga belanja dapur ke apa… sampai ada yang terputus. Memang dua minggu lah kadang beras tak ada kan,” tambahnya dalam nada sebak.

Berkongsi lebih lanjut, Zawani berkata, bukan anak-anaknya tidak membantu, tetapi pendapatan mereka juga sekadar mampu menyara diri sendiri.

Lebih menyulitkan, Zawani menambah, perbelanjaan untuk menyediakan lampin pakai buang Muhammad Hiqbal sahaja mencecah sehingga RM1,500 sebulan.

Pun begitu, dia bersyukur kerana ada bantuan barangan perubatan sebanyak RM800 daripada Lembaga Zakat Selangor, yang membantu meringankan beban dalam menyediakan keperluan rawatan buat anaknya itu.

Foto/Astro AWANI

Zawani menunjukkan keadaan rumah pusaka arwah ibunya yang didiami mereka sekeluarga – Foto/Astro AWANI

Beban berganda apabila Zawani terpaksa menanggung hutang kos rawatan Muhammad Hiqbal sebanyak RM12,000 yang sehingga hari ini belum mampu dilangsaikan.

Katanya, ketika kemalangan di Cheras dua tahun lalu, Muhammad Hiqbal dimasukkan ke sebuah hospital semi kerajaan selama dua bulan sebelum dipindahkan ke Hospital Ampang.

“Ada sampai surat merah (bil hospital)… saya pun tak jelaskan lagi, saya dapat bayar sikit-sikit sahaja. Kalau ada (duit) saya bayar, kalau tak ada saya diamkan sahaja,” luahnya lagi.

Bantuan rumah

Rumah pusaka peninggalan arwah ibu Zawani menjadi tempat berteduh buat 10 beranak itu.

Setiap kali hujan lebat… baldi terpaksa digunakan untuk menadah air kerana keadaan atap yang sudah bocor.

Menurut Zawani, mereka sekeluarga terpaksa tinggal di rumah itu kerana tiada pilihan lain.

“Cuma rumah ini sahaja yang ada, dia (arwah ibu) sudah serahkan kepada saya. Tetapi rumah ini sudah teruk sangat bagi kami yang mempunyai anak ramai.

“Kadang malam bocor… Nak bertadah sana, bertadah sini. Kalau hujan lebat sangat tempias masuk, dan dinding pun sudah reput,” ujarnya yang berharap ada pihak yang sudi membantu menyediakan kediaman yang lebih baik.

Azman (dua dari kiri) hadir mendapatkan dokumen bagi permohonan rumah baharu untuk Zawani. Foto/Astro AWANI

Azman (dua dari kiri) hadir mendapatkan dokumen bagi permohonan rumah baharu untuk Zawani. Foto/Astro AWANI

Sementara itu, Penyelaras Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Giat Mara Daerah Hulu Langat, Azman Abu Bakar berkata, pihaknya sedang melakukan penilaian terhadap permohonan Zawani bagi membina rumah baharu sebelum mengemukakan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk kelulusan.

“Kita melaksanakan PPRT mengikut prosedur yang telah disediakan. Jadi, syarat-syarat pertama dari segi status tanah pemohon itu. Sekiranya pemohon tidak ada nama dalam di dalam geran, kita cuba tengok penama yang hampir dan memohon kebenaran daripada penama untuk membina rumah.

“Ini ada permohonan pertama dan saya diminta oleh pemimpin masyarakat kawasan ini buat siasatan. Dalam siasatan itu merangkumi semua sekali termasuk status tanah atau eKasih pemohon,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang ke akaun Bank Islam bernombor 12-092-02-282207-4 di atas nama Yaakob Hamid, atau hubungi Zawani di talian 019-360 3901.-AA

Suri Rumah Jaga Suami Strok, Anak OKU, ‘Kadang 2 Minggu Terputus Bekalan Makanan’

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Faziani Dnars mati dibunuh?

Wak Doyok, Fizo Omar Diminta Bertaubat Giatkan Promosi Forex

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker