Penyokong amuk, PM Sri Lanka letak jawatan
Penyokong amuk, PM Sri Lanka letak jawatan
COLOMBO: Perdana Menteri Sri Lanka Mahinda Rajapaksa meletak jawatan pada Isnin selepas puluhan orang dimasukkan ke hospital susulan penyokongnya yang bersenjatakan kayu menyerang penunjuk perasaan aman di ibu negara, Colombo.
Sejak beberapa bulan lalu, negara itu mengalami masalah bekalan elektrik dan kekurangan bekalan makanan, bahan bakar serta ubat teruk akibat krisis ekonomi paling buruk dihadapi sejak mencapai kemerdekaan. Susulan itu, tunjuk perasaan antikerajaan diadakan secara aman selama beberapa minggu lalu.
Jurucakap Rajapaksa, Rohan Weliwita berkata pemimpin berusia 76 tahun itu menyerahkan surat perletakan jawatan kepada adiknya, Presiden Gotabaya Rajapaksa seterusnya membuka jalan untuk pembentukan “kerajaan penyatuan baharu”.
“Saya meletak jawatan serta-merta supaya anda boleh melantik kerajaan pelbagai parti untuk memimpin negara ini keluar dari krisis ekonomi yang kini dihadapi,” katanya dalam surat yang dilihat AFP itu.
Parti pembangkang terbesar Sri Lanka berkata sebelum rusuhan tercetus bahawa ia tidak akan menyertai mana-mana kerajaan yang dikepalai anggota keluarga Rajapaksa.
Peletakan jawatan Perdana Menteri itu bererti Kabinet dibubarkan secara automatik.
Hari ini, pertempuran terburuk berlaku sejak krisis tercetus di Colombo selepas penyokong keluarga Rajapaksa merusuh, lapor wartawan AFP di lokasi kejadian.
Polis menembak gas pemedih mata dan meriam air sebelum mengisytiharkan perintah berkurung di Colombo yang kemudian diperluaskan ke seluruh negara pulau dengan 22 juta penduduk itu.
Sekurang-kurangnya 78 orang dimasukkan ke hospital, kata jurucakap Hospital Kebangsaan Colombo Pushpa Soysa kepada AFP.
Skuad antirusuhan tentera turut dikerahkan untuk membantu polis, kata pegawai. Anggota tentera sebelum ini dikerahkan bagi mengawal pengagihan bahan bakar dan keperluan asas, namun bukan untuk mengekang kekacauan.
Puluhan penyokong Rajapaksa menyerang penunjuk perasaan tidak bersenjata yang berhimpun di luar pejabat presiden di Colombo sejak 9 April, lapor AFP.
Mereka pada mulanya merobohkan khemah penunjuk perasaan dan membakar kain rentang serta papan tanda antikerajaan.
Malah Ahli Parlimen pembangkang Sajith Premadasa juga diserang selepas cuba pergi ke kawasan itu selepas pertempuran bermula.
“Presiden mesti bertanggungjawab atas keganasan yang dicetuskan oleh Perdana Menteri itu!” kata Ahli Parlimen pembangkang Eran Wickramaratne di Twitter. “Anda tidak boleh menghalau kami daripada berdiri bersama rakyat kami.” FMT
Penyokong amuk, PM Sri Lanka letak jawatan
Baca Artikel Menarik:
- Cabul penumpang ketika tidur, pemandu kedua bas direman 4 hari
- Mekanik didakwa bunuh isteri sehari sebelum Aidilfitri
- BN mampu menang tanpa MN – Penganalisis
- Polis sahkan Myvi putih PGT 124 guna nombor palsu
- Mimi Fly tak serik bercinta lagi
- Kecewa dengan DAP, Ong Kian Ming umum untuk tidak bertanding dalam PRU15
- Muafakat Nasional (MN): ‘Kepala’ perlu bersatu, bukan cuma ‘badan’
- Blogger Kanada sanggup datang balik ke Malaysia untuk hadir Rumah Terbuka PM
- Sejam Kena ‘Panggang’ Tanpa Aircond, Penumpang MAS ke Sabah Luah Kekecewaan
- Kesesakan jalan raya buat pasangan kekasih ambil kesempatan buat ‘projek’ [VIDEO]
- Rizalman berkongsi kisah scammer menyamar ‘Permaisuri Agong’
- Fuad Rahman jelmaan Saleem
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Pemandu bawah umur, pemilik MPV langgar mati dikena tindakan berat
You must be logged in to post a comment.