Doktor pelatih kena dera mental di hospital awam



Doktor pelatih kena dera mental di hospital awam

Dimaki, dihina dan dihalau ketika berada di hadapan pesakit adalah antara ‘penderaan mental’ yang terpaksa ditempuh ramai doktor pelatih di sesetengah hospital awam negara ini.

Malah, ada juga doktor pelatih yang mengadu menerima gangguan mental, fizikal, seksual daripada pegawai perubatan dan doktor pakar ketika bertugas dan menjalani latihan sebagai ‘houseman’ selama dua tahun.

Jurucakap Gerakan Hartal Kontrak yang juga seorang doktor mendakwa, perbuatan buli di hospital awam bukanlah sesuatu yang baharu, malah kerap menjadi perbualan dalam kalangan doktor kontrak dan doktor pelatih.

Beliau mendakwa, perbuatan berkenaan sudah lama berlaku dan menyifatkan situasi kini sudah membarah hingga sukar untuk diperbetulkan.




“Berdasarkan banyak aduan yang kami terima, ada yang mengadu mereka dijerit dan dimaki termasuk dalam sesetengah kes dihalau di hadapan pesakit yang menerima rawatan di hospital.

“Perkara ini dikongsi kepada kami oleh ramai doktor termasuk doktor kontrak menerusi media sosial. Ada yang mengadu mereka dimaki tanpa sebab dan ada insiden di sebuah hospital di Sabah di mana seorang doktor pelatih yang dibuli ketika bertugas sehingga doktor berkenaan mahu membunuh diri,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas insiden seorang doktor pelatih (houseman) yang ditempatkan di Hospital Pulau Pinang (HPP) awal bulan lalu dipercayai ‘terjatuh’ dari bangunan dan meninggal dunia pada 17 April lalu.

Dalam satu kenyataan kelmarin, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang berkata mereka masih menunggu keputusan ujian makmal sebelum melengkapkan laporan siasatan kematian doktor pelatih itu yang ditemui jatuh dari bangunan kediamannya.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Ma’arof Sudin mengesahkan mangsa adalah seorang Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri di negeri itu pada 4 April lalu.




“Kes kini dalam siasatan polis yang mengarahkan bedah siasat dijalankan. Bedah siasat dilakukan di Jabatan Forensik HPP. Laporan lengkap siasatan masih menunggu beberapa keputusan ujian makmal,” katanya.

Pada Disember 2020, seorang lagi doktor pelatih di hospital sama meninggal dunia, tiga minggu selepas dia berhenti. Ketika itu, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mengesahkan kes bunuh diri bekas doktor pelatih lelaki berkenaan tiada kaitan dengan insiden buli.

Mengulas lanjut, jurucakap Gerakan Hartal Kontrak itu berkata, apabila pihaknya memuat naik insiden buli di hospital awam, ramai doktor pelatih dan kontrak yang tampil berkongsi pengalaman masing-masing di ruangan komen.

Katanya, ada doktor yang memaklumkan pernah bekerja di HPP dan dibuli serta dimalukan oleh doktor senior dan pakar.

“Insiden baru-baru ini (di Pulau Pinang) bukan pertama kali berlaku kerana dua tahun lalu ada seorang doktor pelatih juga disyaki membunuh diri di hospital sama.




“Sebelum ini juga ada insiden gangguan seksual di sebuah hospital di Selangor membabitkan seorang pakar ternama. Walaupun insiden sedemikian dimaklumkan kepada pihak atasan, kerap kali tiada tindakan diambil dan pelaku pula mendapat tahu ada aduan dibuat terhadapnya menyebabkan perbuatan buli itu menjadi lebih kerap,” katanya.

Beliau berkata, ekoran aduan mangsa buli sering tidak diendahkan pihak atasan, ramai yang menderita dalam senyap kerana bimbang ia menjadi lebih teruk dan berterusan jika tindakan mereka mengadu diketahui oleh doktor senior.

Malah, katanya, jika perbuatan buli itu membabitkan doktor kontrak, mereka diancam untuk diberi markah rendah menyebabkan ramai yang terpaksa memendam perasaan.

Selain penderaan mental dan buli, beliau berkata, suasana kerja yang tidak munasabah memberi tekanan serta waktu kerja yang panjang sehingga 36 jam juga menyumbang kepada tekanan yang dihadapi doktor pelatih dan doktor kontrak.

“Jika dihadkan maksimum syif kerja 24 jam mungkin dapat mengurangkan tekanan berbanding 36 jam. Mungkin juga tekanan ini yang menyebabkan kejadian buli berterusan sehingga menjadi budaya.




“Oleh itu, kami berharap Kementerian Kesihatan (KKM) dapat melihat semula waktu kerja melebihi 24 jam ini.

“Pada masa sama, kami berharap ada penilaian dua hala yang membolehkan doktor junior, pelatih dan kontrak memberi maklum balas terhadap apa yang berlaku di lapangan,” katanya.

Beliau berkata, satu mekanisme hukuman juga perlu ada bagi menghalang doktor senior melakukan buli tanpa segan silu, termasuk tindakan buang kerja yang boleh dikenakan terhadap pembuli.

Seorang doktor wanita yang masih dalam perkhidmatan, mendakwa ungkapan ‘kau houseman paling bodoh’ yang dilemparkan seorang pendaftar terhadapnya, sentiasa terngiang-ngiang dalam kepalanya sepanjang tempoh bekerja dua tahun, ketika mula menerima penempatan.

Seorang pegawai perubatan lelaki dalam perkongsian di Twitter, menyifatkan sebahagian doktor senior tidak tahu membezakan di antara pendekatan untuk mengajar dengan membuli.

Kelmarin, Exco Kerajaan Pulau Pinang, Norlela Ariffin dilaporkan berkata doktor pelatih di Malaysia lama tertakluk kepada keadaan kerja ‘tidak munasabah dan tidak berperikemanusiaan’.

“Saya membangkitkan masa bekerja yang tidak logik dan tidak berperikemanusiaan yang dihadapi oleh houseman berdasarkan pengalaman keluarga saya sendiri di Malaysia, yang mana pekerja lain dalam sektor lain tidak akan pernah melaluinya.

“Dia mengalami 27 kemalangan kerana (dia) terlalu letih dan Alhamdulillah terselamat,” katanya. BH

Doktor pelatih kena dera mental di hospital awam


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


‘DINA’, ‘MIRA’ dan ‘J3H3’ disita

Misteri duit syiling timbul di permukaan tanah

Hilang ibu bapa berselang 12 jam di Aidilfitri



Leave a Reply

Your email address will not be published.