Radhi OAG mengaku tak bersalah cederakan bekas isteri

Radhi OAG mengaku tak bersalah cederakan bekas isteri

Seorang penyanyi lelaki kumpulan rock alternatif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan bekas isterinya di sekitar kediamannya di Kota Damansara pada Selasa lalu.

Tertuduh, Mohd Radhi Razali atau lebih dikenali sebagai Radhi OAG membuat pengakuan itu selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Mengikut pertuduhan, Radhi pada 19 April lalu di kediamannya di Kota Damansara di sini, jam 2.29 petang dengan sengaja mencederakan bekas isterinya, Nur Shaira Ayu Zahiri.

Radhi melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Undang-undang ini memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu Radhi dibawa ke Kompleks Mahkamah Petaling Jaya kira-kira jam 8.53 pagi tadi dengan menaiki van polis berwarna putih dengan memakai baju kurta berwarna biru gelap.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwaraya, Mohamed Wafi Hussain menawarkan jaminan RM7,000 dan syarat tambahan pengadu tidak lagi diganggu.

Bagaimanapun peguam Haziq Aizuddin Subhi memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana tertuduh perlu menanggung anak-anak di bawah jagaannya ketika ini.

“Kalau nilai tinggi diberikan kepada tertuduh akan menyukarkan anak guam saya untuk menjaga anak-anak yang masih kecil. Ini kerana hak jagaan anak-anak diberikan kepada tertuduh, tambahan pula tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap yang bergantung kepada keadaan (tawaran),” katanya.

Selepas mempertimbangkan hujah pendakwaan dan pembelaan, Majistret Muhammad Iskandar membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu pengadu.

Mahkamah turut menetapkan 13 Julai 2022 sebagai tarikh sebutan dan pengurusan kes tersebut.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku ketika mangsa mahu mengambil anak lelakinya daripada suspek di kawasan parkir rumah kira-kira 2.29 petang.

Jelasnya, kejadian itu berlaku selepas terdapat perselisihan faham gara-gara mangsa enggan bergambar bersama lelaki terbabit.

Katanya, pihak polis telah menahan lelaki berkenaan di kediamannya dan hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati negatif.

Sebelum ini, Radhi disahkan bercerai talak satu dengan Nur Shahira Ayu di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari Petaling Jaya, 16 Julai 2019.

Untuk rekod, pasangan Ayu dan Radhi berkahwin pada 14 April 2014. MG

Radhi OAG mengaku tak bersalah cederakan bekas isteri


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rafizi Berdepan Saman Berkaitan Sapura

Menantu baru tak bangsat – Chef Wan

Chef Ammar dakwa gerainya ditutup kerana disihir

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker