Percaya Sangat Pada ‘Doktor TikTok’

Percaya Sangat Pada ‘Doktor TikTok’

‘Jururawat’ siap datang rumah!

Kuala Lumpur: Kulit putih melepak dalam masa satu hari sahaja.

Itu ayat promosi digunakan ‘Doktor TikTok’ untuk menarik minat orang ramai mencuba rawatan drip pemutih kulit.

Tinjauan Metro Ahad mendapati iklan rawatan ini semakin ‘rancak’ diiklankan di aplikasi TikTok dengan tawaran harga serendah RM150 untuk satu sesi.

Malah, dengan beraninya Doktor TikTok ini turut memaparkan ‘artis’ terkenal tanah air sebagai testimoni rawatan itu.

Wartawan Metro Ahad turut membuat penyamaran sebagai pelanggan dan diberikan jaminan bahawa bahan yang digunakan dalam drip pemutih kulit ini selamat.

“Bahan dalam cecair drip pemutih ini ialah glutation yang memberikan kesan putih seluruh badan.

“Kami ada satu produk yang ‘laku keras’ sejak 2014 dan menjadi pilihan ramai pelanggan kerana kesan putih sangat cepat.

“Ia dapat hilangkan parut, memutihkan kulit, antijerawat, merawat parut, antipigmentasi, mengecilkan pori dan sesuai kepada mereka ada masalah kulit sensitif,” kata Doktor TikTok terbabit.

Katanya lagi, rawatan dilakukan seminggu atau dua minggu sekali untuk mendapat hasil terbaik.

“Kami turut menyediakan perkhidmatan rawatan ke rumah pelanggan.

“Selepas awak (pelanggan) beli produk (drip pemutih kulit), saya (penjual produk) akan pos ubat (cecair drip pemutih) ke rumah awak (pelanggan).

“Nanti ‘jururawat sambilan’ akan datang ke rumah awak (pelanggan) untuk cucuk drip pemutih kulit.

“Satu sesi rawatan ini mengambil masa kira-kira 30 minit,” katanya.

Menurut Doktor TikTok, setiap pakej menawarkan rawatan satu, lima dan 10 sesi dengan harga berbeza.

“Awak (pelanggan) boleh berhenti rawatan apabila berpuas hati dengan hasil rawatan.

“Walaupun sudah berhenti rawatan, putih kulit akan kekal,” katanya.

 

Interaksi Wartawan Metro Ahad sebagai pelanggan dengan Dr TikTok.

Kena kanser akibat rawatan drip pemutih kulit

Kuala Lumpur: “Dulu saya sangat obses dengan drip pemutih kulit kerana mahu kelihatan cantik dan putih.

“Saya melakukan lebih 50 rawatan drip pemutih kulit termasuk di negara jiran. Saya turut mengambil pil pemutih kulit bagi mendapatkan kesan lebih cepat,” kata wanita hanya mahu dikenali sebagai Ladyvin, 45, kepada Metro Ahad.

Demi memenuhi keinginan itu, Ladyvin sanggup memperuntukkan RM500 hingga RM1,000 sebulan untuk rawatan drip pemutih selama dua tahun.

Malangnya, kegembiraan Ladyvin tidak lama apabila direntap dengan perkara tidak dijangka iaitu didiagnos barah payudara yang agresif tahap tiga, kesan daripada rawatan drip pemutih kulit dilakukan selama dua tahun, sejak 2017.

Ladyvin berkata, seandainya dia boleh mengundurkan masa, dia tidak akan mengambil drip pemutih kulit.

“Kegembiraan memiliki kulit putih dan cantik hanya seketika, selebihnya bertarung nyawa melawan barah yang mengganas dalam badan.

“Menempuh kehidupan selepas rawatan kemoterapi adalah memeritkan kerana terpaksa melihat perubahan diri kesan daripada rawatan berkenaan,” katanya.

Kata Ladyvin, pengalaman 17 tahun bertugas di awan biru menjadikan dia seorang yang sangat mementingkan kecantikan.

“Namun, kesan kemoterapi menyebabkan saya melupakan dunia kecantikan itu selama dua tahun.

“Diri saya berubah 180 darjah, rambut gugur, menjadi seorang pemarah dan berat badan meningkat,” katanya.

Menurut Ladyvin, dia mengambil drip pemutih kulit kerana terpengaruh dengan kata-kata rakan yang mengatakan seseorang itu perlu kelihatan putih sebelum menjual produk kecantikan bagi meyakinkan pelanggan terhadap produk dijual.

“Saya menyesal dengan tindakan sendiri (ambil drip pemutih kulit) dan sepatutnya berfikir panjang sebelum melakukannya.

“Pada 2019, saya didiagnos barah dan menjalani rawatan kemoterapi selama dua tahun.

“Saya baru selesai menghabiskan keseluruhan 16 sesi terapi bersasar dan tahun ini, syukur yang saya disahkan bebas barah,” katanya.

Ladyvin turut menasihati wanita supaya tidak mudah ‘termakan’ dengan ajakan atau tawaran rawatan drip pemutih kulit.

“Sayangi diri dan jaga kesihatan kerana nilainya sangat mahal. Jangan obses mahu cantik, tetapi membahayakan nyawa.

“Jangan cuba nak ubah apa yang Allah SWT berikan kerana ianya adalah yang terbaik,” katanya.

Tambahnya, kos rawatan penyakit barah sangat tinggi dan dia bernasib baik kerana mempunyai insurans kesihatan dan perubatan.

“Semua kos rawatan barah saya mencecah RM400,000 yang ditanggung oleh insurans ini,” katanya.

Boleh undang barah kulit!

Kuala Lumpur: Kajian mendapati kandungan glutation dalam produk pemutih kulit boleh mengakibatkan kesan sampingan kepada badan seperti toksisiti pada saraf, cirit-birit, sakit perut, keguguran rambut, kerosakan buah pinggang dan hati.

Selain itu, ia juga boleh menyebabkan kesan alahan iaitu sindrom steven johnson, asma dan toxic epidermal necrosis (TEN).

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, terdapat juga glutation dicampur dengan vitamin C, hidrokuinon, merkuri dan kadmium (logam berat yang berbahaya).

Menurut Dr Sharifa Ezat, suntikan drip pemutih kulit yang dilakukan individu tidak bertauliah boleh mengakibatkan kesan suntikan tidak bersih yang menyebabkan embolism udara, malah penyakit berjangkit seperti hepatitis dan selulitis.

“Wanita kemungkinan menghidap barah selepas mengambil suntikan drip pemutih kulit ini dalam tempoh panjang.

“Di samping itu, ia juga berkemungkinan disebabkan oleh bahan logam berat yang terkandung dalam drip berkenaan.

“Bahkan bahan drip pemutih ini juga boleh mengakibatkan barah lain iaitu barah kulit. Kajian lain mendapati, pengambilan glutation berlebihan mampu menjadi pencetus penyakit barah dan metastatis,” katanya.

Dr Sharifa Ezat berkata, wanita tidak perlu melakukan rawatan drip pemutih untuk memutihkan kulit.

Katanya, ini kerana, drip pemutih kulit hanyalah keperluan kosmetik untuk kecantikan semata-mata dan bukannya keperluan sebenar bagi fizikal dan fisiologi.

“Pengguna perlu mendapatkan nasihat perawat yang tepat dan indikasi betul sebelum mengambil sebarang rawatan drip pemutih kulit.

“Ini kerana rawatan itu berkemungkinan memberi kesan buruk terhadap kesihatan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Tiada bukti klinikal suntikan glutation mampu putihkan kulit

Kuala Lumpur: Sebahagian besar produk kosmetik pemutih dalam pasaran mengandungi ejen pemutih atau ejen yang menghakis kulit.

Timbalan Presiden Persatuan Toksikologi Malaysia Prof Madya Dr Razinah Sharif berkata, bahan biasa yang terkandung dalam kosmetik pemutih itu ialah glutation (GSH), antioksidan seperti vitamin C, merkuri dan sebagainya.

Menurutnya, glutation adalah peptide yang mengandungi tiga asid amino dan kumpulan sulfhidril.

“Glutation dikaitkan untuk mencegah barah, immunologi dan pelbagai proses penting dalam tubuh.

“Glutation dihasilkan dalam badan dan penting untuk antioksidan, tetapi bukanlah boleh memutihkan kulit. Begitu juga dengan pil glutation,” katanya.

Dr Razinah yang juga Pensyarah Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, pengambilan glutation secara suntikan berkemungkinan boleh memutihkan kulit.

Jelasnya, bagaimanapun tiada bukti klinikal membuktikan suntikan glutation mampu memutihkan kulit.

“Glutation disintesis dalam badan, ia tidak begitu mudah boleh ditingkatkan. Ada juga kajian lepas menyatakan, ia boleh ditingkatkan oleh sistem badan.

“Glutation lebih mudah diserap melalui intravena dan intraotot. Apabila mengambilnya secara oral, perkara pertama yang perlu diketahui ialah memastikan glutation itu sintetik serta akan hancur.

“Peptida apabila masuk ke dalam perut, ia akan terurai,” katanya.

Dr Razinah berkata, tahap glutation dalam badan boleh ditingkatkan melalui makanan daripada sayur bok choy, brokoli, kobis dan kobis bunga.

“Ambil juga makanan yang kaya folat dan metionina kerana ia membantu meningkatkan penghasilan glutation oleh tubuh sendiri seperti bayam hijau, bayam merah, kacang dal dan sebagainya.

“Terdapat juga penyelidikan menyatakan glutation boleh ditingkatkan dengan pengambilan vitamin C dan E daripada buah sitrus.

“Hendak sihat bukan dengan mengambil pil, tetapi memilih makanan daripada sumber semula jadi dan melakukan aktiviti fizikal,” katanya.-HM

Percaya Sangat Pada ‘Doktor TikTok’

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Najib Minta DAP Jangan Politikkan Tragedi Basikal Lajak

Beli Nasi Briyani Daging RM12, Sekali Dapat Daging Meatball 3 Biji

Abang Johan Pelakon ‘Mat Saleh’ Menangis Sebab Ramai…

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker