Ramai mula buka pelekat ‘road tax’

Ramai mula buka pelekat ‘road tax’

Orang ramai terutama pemilik kenderaan persendirian memberi reaksi berbeza susulan keputusan kerajaan hari ini yang tidak lagi mewajibkan pelekat cukai jalan dipamerkan di kenderaan serta keperluan lesen memandu fizikal.

Kebenaran itu diberikan susulan program pendigitalan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menyediakan aplikasi khas, MyJPJ untuk membolehkan orang ramai memuatnaik Lesen Kenderaan Motor (LKM – pelekat cukai jalan) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM).



Bagi pensyarah sambilan, Nazim Abdul Rahim, 50, inisiatif ini boleh dijadikan sebagai pilihan kepada pengguna untuk membuat keputusan sendiri sama ada, mereka ingin guna kaedah digital atau cara lama.

“Perubahan ini mungkin selaras dengan perkembangan teknologi, cukai jalan dan lesen digital ini mungkin memudahkan pengguna kenderaan bermotor namun kita perlu memikirkan kemungkinan lain.

“Contohnya, apabila ia membabitkan pemandu yang tidak mahir berkaitan kemudahan teknologi atau telefon pintar, terutama warga emas sudah pasti ia menjadi masalah kepada mereka untuk menggunakan inisiatif ini,” katanya.

Turut berkongsi pandangan, Pegawai Kanan Akaun, Norzilawati Rahmat, 46, berkata inisiatif ini mungkin tidak berapa sesuai bagi golongan veteran atau warga emas.



“Jika tiada pelekat cukai jalan di kenderaan, bimbang akan menjadi masalah apabila individu akan terlupa untuk memperbaharuinya kerana semuanya terpendam secara digital,” katanya.

Eksekutif Pemasaran, Zulaikha Reezzo, 24, pula berkata bagi mengekalkan kaedah ke arah digital perkara pertama perlu diberi perhatian adalah kestabilan aplikasi.

“Biar stabil pada dua-dua pengguna rangkaian iOS Apple dan Android Google supaya tidak ‘lagging’ dan sebagainya. Inisiatif ini juga sangat efisien dan efektif serta memudahkan rakyat terutamanya golongan muda kerana ia menjimatkan masa dan senang dibawa ke mana-mana dan mudah bagi mereka yang sentiasa lupa untuk membawa lesen ketika keluar dari rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Pekerja Am, Ahmad Zafirul Ramli, 32, berkata banyak manfaat bakal diperoleh terutama dalam membanteras pihak tidak bertanggungjawab yang menjual lesen palsu.



“Jika inisiatif ini diteruskan, mungkin kita dapat membendung daripada penjualan lesen palsu dalam negara sekaligus tahap keselamatan pengguna jalan raya lebih terjamin,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, orang ramai tidak lagi perlu membawa lesen memandu fizikal kerana dokumen berkenaan boleh diperoleh secara dalam talian menerusi sebuah aplikasi khas.

Selain itu, pemilik kenderaan persendirian tidak lagi perlu mempamerkan cukai jalan di kenderaan masing-masing mulai hari ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Katanya, warganegara boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui portal awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau aplikasi telefon pintar MyJPJ yang dilaksanakan di bawah satu projek perintis secara dalaman.



Inisiatif pendigitalan LKM dan LMM dipercayai hasil kecaknaan Loke yang memberi maklum balas kepada rungutan orang ramai mengenai pelekat LKM yang selalu koyak, tertanggal dan meninggalkan kesan gam yang mencemarkan cermin kenderaan.

Justeru Loke pada 3 Januari lalu dalam kenyataan di Facebook berjanji akan mengambil tindakan berhubung perkara itu.

“Saya tahu ramai orang mengadu mengenai pelekat cukai jalan yang kurang berkualiti dan perkara itu memang dalam perhatian kami serta satu perubahan besar akan dilaksanakan dalam tahun ini,” katanya.

Loke dilaporkan berkata, JPJ akan memberi fokus kepada pendigitalan sistem bagi menyelesaikan isu orang ramai terpaksa beratur panjang dan menunggu lama di kaunter ketika berurusan.



“Antara agenda utama JPJ tahun ini ialah melaksanakan digitalisasi dalam perkhidmatan teras kepada rakyat seperti pelesenan kenderaan dan pemandu, selain memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, antara agenda utama kementerian adalah mempermudahkan urusan rakyat.

“Saya tidak ingin melihat orang ramai beratur panjang di pejabat JPJ dan menyusahkan mereka,” katanya.

Sejak tahun lalu, pelekat cukai jalan menjadi perhatian orang ramai kerana didakwa tidak berkualiti kerana cepat rosak dan tidak tahan lama sekiranya ditanggalkan. Ia juga menjadi kabur dan kurang jelas sebelum cukai jalan itu tamat manakala sisa gam melekat pada cermin kereta apabila ditanggalkan.



Isu beratur panjang di pejabat JPJ juga tidak berkesudahan sejak sekian lama meskipun era digitalisasi pejabat kerajaan sudah lama berlangsung dan menyebabkan kewujudan ‘ejen-ejen’ yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan sistem terbabit. BH

Ramai mula buka pelekat ‘road tax’

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Fizo Omar Vs Mawar

Kartunis Turkiye, Palestin sekolahkan Charlie Hebdo

Kantoi bercium di kelab malam, kekasih pelakon tuntut janji (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker