PRU awal : Isunya bukan kos PRU, tapi kos manifesto.

‘Bukan isu kos PRU, tapi kos manifesto bulan bintang’- Pensyarah UPM

Desakan agar pilihan raya umum (PRU) disegerakan bagi memecah ketidaktentuan majoriti di parlimen, dilihat sesetengah pihak sebagai tidak kena pada masanya, di kala negara masih di fasa awal pemulihan daripada kesan wabak Covid-19.

Terutamanya, kesan ekonomi yang memberi tempias kepada bukan sedikit rakyat akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang mula-mula dikuasakan pada 18 Mac lalu, sedangkan kos mengadakan PRU bakal menelan belanja yang tidak sedikit.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata kos PRU bukan menjadi kebimbangannya.

Tetapi katanya, kos untuk melunaskan janji manifesto “bulan dan bintang” yang bakal diketengahkan ahli-ahli politik bagi memancing sokongan pengundi.

Selain itu, katanya, persoalan yang lebih penting, adalah perubahan dasar dan polisi yang selain menjejaskan pelaksanaan pelan rangsangan ekonomi bagi menangani kesan Covid-19 sedia ada, dijangka turut meningkatkan kos pelaksanaan dasar baru.

“Takut, demi nak mendapatkan populariti bila berlaku PRU ini, setiap pihak akan menjanjikan bulan dan bintang. Jadi bila menang, mereka akan perkenalkan polisi baru. Ini akan menyebabkan semua pelaksanaan terganggu.

“Isu saya lebih kepada kesinambungan pelaksanaan polisi dasar berdasarkan pelan rangsangan yang terkini ini. Sebab apa saja benda yang baru nak diperkenalkan akan mengambil masa dari segi pembentukan polisi dan juga dari segi kos.

“Dan kita sedia maklum apa saja janji mana-mana pihak, memang akan melibatkan tambahan kos,” kata Dr Ahmed (gambar, bawah) ketika dihubungi hari ini.

Setakat ini, kerajaan sedang melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), dengan jumlah keseluruhan RM295 bilion.

Daripada jumlah itu, RM45 bilion akan disuntik terus oleh kerajaan.

Pada Februari lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun menganggarkan kos antara RM750 juta hingga RM800 juta untuk pelaksanaan PRU, lebih tinggi berbanding kos RM500 juta pada PRU-14.

Jumlah itu adalah anggaran sebelum amalan norma baru gara-gara Covid-19.

Ahmed Razman pula menganggarkan kos pilihan raya umum boleh mencecah sehingga RM1 bilion, jika mengambil kira pertambahan bilangan pengundi muda yang berumur antara 18 ke 21 tahun.

“(Tapi) Isunya bukan RM1 bilion (anggaran kos PRU). Isu dia lebih kepada perubahan polisi dan dasar, yang tentunya melibatkan berpuluh-puluh lagi bilion di situ.

“Yang itu akan berlaku selepas mana-mana pihak dilantik (menjadi kerajaan). Jadi itu isu yang besar sebenarnya. Sebab disebabkan janji-janji yang mungkin akan nampak macam terlalu populis,” jelas beliau.

RM1 bilion kerajaan mampu tanggung

Ahmed Razman meramalkan parti politik akan memfokuskan janji manifesto mereka terhadap perkara-perkara yang diberikan perhatian di bawah pakej rangsangan ekonomi, seperti antaranya, peluang pekerjaan dan bantuan sara hidup tunai.

Sementara itu, dari segi kos PRU pula, Ahmed Razman berkata peruntukan sebanyak RM1 bilion merupakan angka yang masih boleh ditanggung kerajaan dan tidaklah terlalu besar.

PN dan PH kini sedang berada dalam kedudukan sengit berhubung sokongan majoriti di parlimen, dengan PH sedang dalam usaha merampas semula pentadbiran kerajaan.

Berdasarkan susunan kerusi dalam sidang parlimen pada Mei, Muhyiddin dipercayai hanya mempunyai majoriti dua kerusi di Dewan Rakyat, namun jumlah itu bertambah menjadi tiga apabila seorang ahli parlimen PKR keluar parti.

Rundingan dikatakan masih terus berlaku di kedua-dua belah pihak berhubung sokongan di Dewan Rakyat, dan dalam proses itu, perselisihan juga nampaknya semakin ketara hatta di dalam blok yang sama.

Sementara PH sehingga kini masih berselisih soal calon perdana menteri, kerjasama PN pula sering dibayangi isu hubungan antara Bersatu dengan PAS dan Umno.

Semalam, Dr Mahathir Mohamad menyatakan sokongannya kepada Shafie Apdal untuk menjadi calon perdana menteri blok pembangkang.

Pengalaman pahit golongan marhaen

Sebelum ini beberapa pemimpin Umno menyuarakan desakan serupa, dengan kelmarin, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menggesa parlimen dibubar untuk memberi ruang PRU disegerakan, namun cadangan itu disifatkan Setiausaha Agung BN Annuar Musa sebagai “tidak berbangkit”.

Semalam pula, PAS mengemukakan usul undi percaya terhadap Muhyiddin bagi menzahirkan sokongan terhadap Muhyiddin, namun bagi sebahagian pemimpin pembangkang, langkah itu dilihat seperti muslihat untuk menyegerakan PRU.

Bagi Profesor Ulung Ekonomi di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, Prof Dr Rajah Rasiah (gambar, atas) beliau melihat PRU sebagai “pilihan terbaik” bagi mengatasi ketidakpastian ekonomi yang melanda negara kini.

Katanya, ketegangan politik telah menyebabkan isu keperluan rakyat tidak dipandang berat oleh ahli politik, menyebabkan rakyat terpaksa berdepan pelbagai masalah dan pengalaman pahit.

“Saya lihat pilihan raya sebagai pilihan terbaik untuk mengatasi ketidakpastian berleluasa yang wujud kini dalam ekonomi negara.

“Pandangan demikian berasaskan ketegangan hubungan di antara ahli parlimen parti PN dan PH yang semakin memperlihatkan arus kurang sihat sehinggakan hal ehwal keperluan asas rakyat mendapat layanan yang ringan.

“Antara masalah yang saya perhatikan termasuklah kenaikan bil elektrik dan air, ketidaksetaraan dalam perhakiman berasaskan kelas, kenaikan dalam pengangguran, dan penutupan firma kecil dan sederhana yang membawa pengalaman yang pahit kepada golongan marhaen,” katanya kepada Malaysiakini.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker