Jawatan TPM, Ismail Sabri tidak akan tunduk

PETALING JAYA: Desakan Bersatu supaya wakilnya dilantik sebagai timbalan perdana menteri (TPM) memberi gambaran parti itu lebih mengutamakan agenda politik berbanding rakyat yang kini terbeban oleh kemelesetan ekonomi, kata penganalisis politik.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, tindakan parti pimpinan Muhyiddin Yassin membangkitkan perkara itu ketika rakyat berdepan saat sukar bukan strategi yang bijak.

Katanya, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob boleh menolak, kerana tiada keperluan mewujudkan jawatan TPM, lebih-lebih lagi apabila sudah ada empat menteri kanan.

“Dalam keadaan sekarang ini, tidak perlu diwujudkan jawatan TPM. Kewujudannya seperti diminta Bersatu lebih menjurus kepada agenda politik seperti dikatakan oleh Puad Zarkashi (pemimpin Umno),” katanya kepada FMT.

“Kalau PM tidak endahkan permintaan itu, adakah Bersatu akan tarik balik sokongan? Tidak mungkin kerana jika itu berlaku, maka kerajaan hilang majoriti dan PM boleh nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.”

Tindakan itu akan memberi laluan kepada pilihan raya umum (PRU), katanya, dan ini pastinya tidak dikehendaki Bersatu.

Bagaimanapun, beliau menolak sebarang tanggapan bahawa pelbagai perjanjian yang dimeterai Ismail dengan parti politik menggambarkan “kelemahan” perdana menteri itu mentadbir, sebaliknya menunjukkan keikhlasan Ismail itu diterima oleh seterunya.

“Bukan mudah melaksanakan perjanjian termasuk dengan PH (perjanjian persefahaman transformasi dan kestabilan politik) tetapi mampu terjalin kerana PH percaya ketelusan perdana menteri yang tidak memungkirinya,” katanya.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia (USM) pula berkata, Bersatu sepatutnya membuktikan ‘jiwa rakyatnya” ketika rakyat berdepan pelbagai krisis, termasuk kenaikan mendadak harga barangan dan bencana alam.

Katanya, Bersatu harus menjawab persoalan apakah manfaat yang akan dinikmati rakyat jika wakilnya dilantik menjadi TPM dan menteri.

“Namun keadaannya amat sukar kerana kerajaan Perikatan Nasional (diketuai Muhyiddin) dari Mac 2020 hingga Ogos 2021 gagal menangani banyak masalah rakyat dan terperangkap pula dengan polisi dua darjat era PKP (perintah kawalan pergerakan) yang berkait rapat dengan mentaliti kayangan ramai pemimpinnya,” kata Fauzi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perjanjian yang dibangkitkan Bersatu itu juga menggambarkan niat parti itu yang mahu wakilnya memegang jawatan kanan dalam Jemaah Menteri bagi memastikan kelangsungannya.

“Gabungan PN yang diketuainya dibentuk daripada kalangan ‘orang kayangan’, yakni ahli-ahli Parlimen, untuk meyakinkan Agong bahawa majoritinya cukup bagi membentuk kerajaan. Kelangsungan PN bergantung kepada jumlah serta ‘kekananan’ jawatan dipegangnya.

“Semakin dekat dengan PRU15, semakin mendesak keperluannya untuk mendapatkan jawatan kerana di sebuah negara yang budaya politiknya berpaut pada naungan (patronage), pengaruh itu mengalir dari atas ke bawah, yang mana rakyat akan membalas melalui pengundian 4-5 tahun sekali,” jelas Fauzi.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dalam wawancara bersama FMT menjelaskan perbincangan mengenai jawatan TPM antara Muhyiddin dan Ismail bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya berkait perjanjian antara PN dengan Ismail sebelum beliau dilantik menjadi perdana menteri.

Penjelasan itu menyusul pendedahan Muhyiddin pada 3 Julai bahawa beliau sudah bertemu Ismail pada minggu sebelumnya untuk membincangkan pelantikan dalam Jemaah Menteri, termasuk jawatan TPM.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Amell Pukul Mak Wan sebab diludah, Didie Alias Dedah Hal Sebenar

Lelaki Melayu Pertama ‘Catwalk’ Di Paris Fashion Week

Nak poligami, cari keturunan baik-baik – Puteri Sarah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker