PUTRAJAYA: Dua rakyat Malaysia diusir keluar oleh pihak berkuasa Jerman setelah didapati menerima suntikan dos penggalak yang berbeza daripada dos primer lengkap sebelum ini.
Perkara ini disahkan Timbalan Presiden Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia (GAPP), Wan Shairi Wan Ahmad ketika dihubungi Utusan Malaysia.
“Kedua-dua lelaki ini ialah adik-beradik yang datang ke negara Eropah itu untuk mengikuti percutian bersama-sama dengan ibu bapa mereka dari Kuala Terengganu, Terengganu,” katanya.
Utusan Malaysia difahamkan bahawa dua warga Malaysia ini telah pun diarahkan pulang segera dengan menaiki penerbangan TK 1526 pesawat Turkish Airlines dari Dusseldorf, Jerman.
Mereka berlepas pukul 2.45 petang semalam menaiki penerbangan TK 1526 pesawat Turkish Airlines sebelum melakukan persinggahan di Istanbul, Turki pukul 8.17 malam semalam.
Dari bandar raya terbesar negara itu, mereka sudah pun meneruskan perjalanan menaiki penerbangan TK 0060 syarikat yang sama dan berlepas pukul 1.45 petang waktu tempatan.
Mengulas lebih lanjut, Wan Shairi berkata, GAPP setakat ini belum lagi mendapat laporan dari pihak Kedutaan Besar Malaysia di Berlin untuk tampil membantu dua rakyat itu yang dihalau Jerman.
“Kami tidak pasti jika berlaku salah faham dengan pihak berkuasa Jerman mengenai status dos penggalak, tetapi pengusiran ini amat mendukacitakan kami,” katanya penuh kesal.
Dalam pada itu, jurucakap Interleisure & Event Management Sdn. Bhd. yang mahu dikenali sebagai Hajah Roslen, mengesahkan bahawa dua pesertanya diarahkan balik ke Malaysia.
Agensi pelancongan bumiputera yang berpusat di Paragon Utama, Selayang, Selangor itu sedia membantu aspek pengurusan kebajikan dua individu tersebut sepanjang perjalanan.
Beliau bagaimanapun kesal kerana difahamkan, mereka berdua telah dikawal ketat bukan sahaja ketika berada di Jerman, malah semasa di Turki, seolah-olah macam kes pesalah serius.
“Ibu bapa mereka berjaya lepas masuk ke sana, tetapi dua beradik ini terkandas hanya kerana isu dos penggalak diterima berjenama Comirnaty selepas dos primer jenis Sinovac,” katanya.
Situasi pelik itu ujarnya, mencetuskan tanda tanya mengenai status sebenar penerimaan dos penggalak warga Malaysia jika berada di luar negara kerana ditolak oleh negara maju sendiri.
Justeru, beliau berharap Kementerian Kesihatan dapat segera melakukan sesuatu kerana isu remeh sedemikian boleh memberi kesan bagi perjalanan rakyat Malaysia di negara asing.
Semakan Utusan Malaysia menerusi laman sesawang rasmi Kedutaan Besar Jerman di Kuala Lumpur mendapati vaksin keluaran Sinovac buatan China memang pun tiada dalam senarai.
Sebaliknya negara Barat itu hanya menerima campuran enam jenis vaksin Covid-19 yang diiktiraf sebagai selamat oleh Agensi Perubatan Eropah bagi mengekang penularan wabak itu. – UTUSAN
You must be logged in to post a comment.