Ibu allahyarham Jamaludin Jarjis berjaya ketepikan perintah penggantungan bersyarat

PUTRAJAYA: Ibu Allahyarham Jamaludin Jarjis berjaya dalam rayuannya mengetepikan perintah penggantungan bersyarat diperoleh dua cucunya, antara lain melarang beliau mendedahkan maklumat berkaitan akaun Rantai Wawasan Sdn Bhd kepada pihak ketiga.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Yaacob Md Sam sebulat suara membenarkan rayuan Aminah Abdullah, 87, mengetepikan perintah penggantungan bersyarat diberikan Mahkamah Tinggi, pada September lalu, kepada Nur Anis Jamaludin dan Ikwan Hafiz Jamaludin.

Beliau berkata, mahkamah membuat perintah itu berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Kosma Palm Oil Mill Sdn Bhd & lain-lain menentang Koperasi Serbausaha Makmur Bhd yang memutuskan pemohon perlu membuktikan bahawa terdapat keadaan khas sebelum penggantungan dibenarkan.

“Kami berpandangan bahawa tiada keadaan khas mewajarkan keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya yang bersidang dengan Supang Lian dan Nazlan Mohd Ghazali.

Yaacob juga berkata, terdapat merit dalam rayuan Aminah, justeru mahkamah membenarkannya dengan kos RM10,000 terhadap Anis dan Ikwan Hafiz.

Dalam saman difailkan pada 3 Jan 2019, Aminah mendakwa Anis dan Ikwan Hafiz sebagai pentadbir bersama harta pusaka peninggalan Jamaludin, telah gagal memasukkan saham Rantai Wawasan, Alpine Motion Sdn Bhd dan Ivory Insight Sdn Bhd sebagai harta pusaka dalam senarai aset di dalam surat kuasa mentadbir selepas allahyarham meninggal dunia pada 4 April 2015, dan juga gagal memasukkan saham itu sebagai liabiliti sejak 6 Julai 2017.

Pernyataan tuntutan Aminah, mendakwa bahawa kedua-dua defendan berbuat demikian dengan niat untuk menafikan hak dan kepentingannya sebagai waris.

Pada 13 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Aminah untuk mendapatkan deklarasi bahawa tiga juta saham Rantai Wawasan dimasukkan sebagai harta pusaka peninggalan arwah.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Aminah mengisytiharkan bahawa enam juta saham Alpine Motion dan dua juta saham Ivory Insight adalah sebahagian daripada harta pusaka anak lelakinya.

Pada 20 Sept lalu, Anis and Ikwan Hafiz memperoleh perintah penggantungan bersyarat daripada Mahkamah Tinggi, sementara menunggu pelupusan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa saham Rantai Wawasan dimasukkan sebagai sebahagian daripada harta pusaka Jamaludin.

Perintah penggantungan bersyarat itu antara lain melarang Aminah atau peguamnya daripada menunjukkan atau mendedahkan dan menyediakan afidavit berkaitan akaun terbabit atau mana-mana bahagian daripadanya kepada pihak ketiga, serta mengehadkan afidavit berkaitan akaun terbabit kepada Aminah atau peguamnya Tetuan Wan Merican Hamzah & Sheikh sahaja.

Aminah turut memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya mendapatkan deklarasi, bahawa saham dua lagi syarikat dimasukkan sebagai sebahagian daripada harta pusaka.

Rayuan berhubung isu itu dijadualkan didengar Mahkamah Rayuan, pada 14 Mac depan.

Jamaluddin, bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, terbunuh dalam tragedi helikopter terhempas pada 4 April 2015.

Peguam Wan Zafran Pawancheek dan Pawancheek Marican mewakili Aminah pada prosiding, hari ini, yang berlangsung secara maya, manakala peguam S Suhendran mewakili Anis dan peguam Frank Wong mewakili Ikhwan Hafiz.

Ibu allahyarham Jamaludin Jarjis berjaya ketepikan perintah penggantungan bersyarat

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Empat Sekeluarga Maut, Nahas 2 Kenderaan Kemalangan Di Lebuhraya Sultan Iskandar [VIDEO]

Fitnah keji, Zahid telah hantar surat saman pada Mahathir dan Muhyiddin

Zul Yahya bodohkan KJ (Video)

PRN Johor: Pengundi Cina Mula Tinggalkan DAP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker