Perang Russia-Ukraine peringatan untuk tingkatkan kesiapsiagaan pertahanan negara

Saudara Pengarang,

Serangan Russia ke atas Ukraine baru-baru ini telah menunjukkan pentingnya kesiapsiagaan angkatan tentera dalam mempertahankan kedaulatan negara. Soalannya, adakah Malaysia mempunyai keupayaan untuk mengatasi ancaman luar sekira berlaku konflik ketenteraan?

Di saat negara jiran mengumumkan pembelian jet tempur Rafale, kita pula mengumumkan penyewaan 4 buah helikopter Leonardo AW139 melalui kaedah “Government Operate, Company Own and Maintain” (GOCOM) sambil menunggu peruntukan daripada Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030).

Di saat mereka membuat perancangan untuk membeli kapal selam, kita pula masih menanti penyerahan kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang dijanjikan pada 2019.

Di saat kedaulatan negara dicabar, kelihatan pemimpin kita membisu seribu makna.

Projek pembinaan kapal LCS sepanjang 111 meter dengan jumlah sesaran sebanyak 3,100 tan, iaitu kapal tempur terbesar armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), bermula pada tahun 2014 setelah kontrak dianugerahkan kepada syarikat Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) dan kerja dijalankan berdasarkan rekaan Naval Group (syarikat Perancis).

Ketika diumumkan pada 2014, kapal LCS dikatakan mempunyai keupayaan halimunan. Namun, setelah penantian selama sedekad, kini sudah terserlah bahawa kapal tersebut bukan sahaja halimunan kepada radar musuh, tetapi juga di mata rakyat Malaysia.

Berikutan tragedi KRI Nanggala, kerajaan Indonesia telah mengambil inisiatif untuk memodenkan aset ketenteraan mereka. Persoalannya, adakah pihak berwajib kita sedang menunggu kejadian seburuk itu sebelum mengambil apa-apa tindakan?

Walaupun saya bersetuju bahawa kita sepatutnya “ukur baju di badan sendiri”, benar atau tidak andaian bahawa Malaysia tidak mampu untuk memperoleh aset ketenteraan canggih seperti negara lain?

 

Ayuh kita melihat fakta.

Malaysia bukanlah sebuah negara yang tidak mampu dari segi kewangan dan kepakaran.

Jurutera anak watan telah pun membuktikan kebolehan mereka dengan pembinaan kapal peronda kelas-Kedah yang dibina di Limbungan Lumut, kapal ronda laju kelas-Jerong di Limbungan Butterworth dan kapal peronda kelas-Musytari di Limbungan Pasir Gudang.

Ketiga-tiga kapal tersebut dibina di tanah air hasil daripada kerjasama di antara jurutera tempatan dan pemilik rekaan asing.

Dari segi kewangan pula, Malaysia dianggarkan terletak di tangga keempat dalam senarai ekonomi terbesar di Asia Tenggara dari segi keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun 2022 selepas Indonesia, Thailand dan Vietnam berdasarkan laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Namun, menurut data terbitan Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI) untuk tempoh masa 10 tahun dari 2010 ke 2020 pula, perbelanjaan Malaysia untuk aset ketenteraan hanya 1.426 bilion Dolar Amerika Syarikat (AS$). Jumlah tersebut adalah ke-6 tertinggi di Asia Tenggara selepas Vietnam (AS$6.865 bilion), Singapura (AS$5.925 bilion), Indonesia (AS$5.465 bilion), Thailand (AS$2.912 bilion), dan Myanmar (AS$2.702 bilion).

Perkara ini menunjukkan bahawa Malaysia kini menjadi bahan jenaka walhal kita mempunyai kemampuan dan kebolehan yang mencukupi untuk melaksanakan program perolehan aset ketenteraan dengan baik.

Saya juga harus menekankan bahawa penelitian saya ini bukan tentang keinginan untuk bermegah. Sebaliknya, saya hanya ingin menyeru agar Kerajaan lebih serius dalam program pembangunan aset strategik supaya Angkatan Tentera Malaysia kekal di tahap kesiapsiagaan yang tinggi, sekaligus menjamin bahawa kedaulatan negara kekal dalam keadaan terjaga.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai sejarah dipenuhi kisah kegagahan laksamana dan nakhoda di alam samudera, pihak berkuasa hendaklah mengambil langkah tegas untuk memperkasakan keupayaan pengawalan sempadan sebelum timbulnya keperluan yang mendesak.

Malaysia amat memerlukan program pemodenan aset ketenteraan laut kerana situasi geopolitik negara semakin genting.

Dengan kekerapan pencerobohan kapal asing semakin meningkat, kelewatan pembekalan kapal LCS akan merencatkan kemampuan Tentera Laut Diraja Malaysia untuk menjamin keselamatan perairan negara.

Malaysia terletak di laluan perdagangan global dan kawasan maritim strategik.

TLDM bertanggungjawab di atas kawasan maritim yang merangkumi perairan di Laut China Selatan dan laluan perdagangan Selat Melaka. Tanpa penambahan aset moden TLDM akan kekal dalam keadaan “overstretched” dan terpaksa menggunakan aset yang tidak sesuai dari segi umur, jenis dan keupayaan kapal.

Doktrin moden menekankan keupayaan “maritime domain awareness” yang melibatkan aset peperangan udara, permukaan laut, bawah laut dan elektronik. Namun, asasnya tetap sama.

Asasnya adalah kapal tempur dan kapal LCS merupakan aset paling penting untuk Malaysia muncul sebagai sebuah angkatan laut moden yang disegani.

Tanpa kapal tempur yang berteknologi canggih dan berkesan, angkatan laut kita akan ketinggalan jauh terkebelakang berbanding angkatan laut dari negara-negara lain.

Bukan sekadar bertempur, kapal LCS berkelengkapan canggih juga mampu menggerunkan para musuh sehingga memberikan Malaysia keupayaan pencegahan atau  “deterrence capability”.

Jika projek LCS tidak diteruskan, maka perancangan untuk menaikkan taraf kesiapsiagaan TLDM akan terkubur.

Maka, harus dikatakan sekali lagi bahawa isu keperluan terhadap LCS, kebolehan jurutera tempatan dan kemampuan kewangan tidak patut menjadi halangan kepada Malaysia.

Isu sebenarnya terletak pada sifat tamak dan rakus para pemegang amanah, serta perasaan teragak-agak oleh pihak berwajib yang membiarkan projek LCS dalam keadaan tergantung.

Kini, negara kita memerlukan keputusan jelas daripada kepimpinan peringkat tertinggi negara dan keberanian untuk menghukum para penderhaka yang telah memungut wang haram dari projek LCS, lantas menyumbang kepada isu kewangan projek.

Kerajaan juga perlu berani untuk terus mempertingkatkan tadbir urus dalam industri pertahanan. Isu rasuah adalah barah kepada negara kita dan kerajaan harus terus komited untuk memperkenalkan sebuah sistem perolehan aset pertahanan yang telus, adil dan beramanah.

TLDM perlu diperkasakan demi keselamatan anggota dan bagi mempermudahkan pasukan anggota laut kita menjalankan tugas mereka dalam menjaga kedaulatan negara.

Dengan ini, saya menutup nukilan saya dengan perasaan penuh harapan agar berita baik akan menyusul dan Kerajaan pusat, bersama dengan TLDM, BHIC dan Naval Group dapat bekerjasama untuk mengatasi isu kekangan aset TLDM.

Abdul Wahid Mohd Don (Pesara ATM)

Setiawangsa, Kuala Lumpur

 


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Empat Sekeluarga Maut, Nahas 2 Kenderaan Kemalangan Di Lebuhraya Sultan Iskandar [VIDEO]

Fitnah keji, Zahid telah hantar surat saman pada Mahathir dan Muhyiddin

Zul Yahya bodohkan KJ (Video)

PRN Johor: Pengundi Cina Mula Tinggalkan DAP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker