Bila suami Zeti akan dikenakan tindakan?

Ahli parlimen Subang, Wong Chen mempersoalkan mengapa kerajaan masih belum mengambil tindakan terhadap bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya.

Kenyataan itu hadir selepas bekas pengerusi Goldman Sachs, Tim Leissner menyentuh mengenai dakwaan rasuah melibatkan suami Zeti, Tawfiq Ayman di mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York pada 22 Feb lalu.

Leissner mendedahkan perkara itu semasa memberi keterangan dalam perbicaraan jenayah membabitkan bekas rakan sekerjanya, Roger Ng.

“Apa yang berlaku sekarang di New York dalam kes Roger Ng 1MDB amat menarik. Khususnya, saksi atau pengakuan Tim Leissner secara literal membuka banyak pendedahan.

“Beberapa bulan lalu, saya meminta kerajaan memberikan kemaskini status mengenai siasatan terhadap Zeti dan keluarganya. Sejak itu, tiada sebarang maklum balas daripada pihak berkuasa,” kata Wong yang juga pemimpin PKR.

Kata Wong, Leissner memberi keterangan bahawa dia diberitahu sebanyak AS$1 bilion (RM4.2 bilion) dipindahkan dengan kelulusan Bank Negara dengan pantas kerana suami Zeti menerima sogokan untuk menjayakannya.

Mengapa rakyat Malaysia begitu pemaaf?

Wong mengingatkan rakyat Malaysia bahawa kes 1MDB masih belum selesai kerana individu yang dikaitkan dengan skandal itu masih bebas.

“Saya ingin bertanya dua soalan dalam hantaran ini. Soalan pertama saya tujukan kepada kerajaan. Apa lagi bukti yang perlu dikeluarkan secara terbuka sebelum

kerajaan sedia ada boleh mengambil tindakan terhadap Zeti?

“Yang kedua, ditujukan kepada semua rakyat Malaysia. Empat hari lalu, saya bercakap dengan seorang wartawan kanan dari UK. Dia berasa sangat bingung mengapa rakyat

Malaysia begitu pemaaf dan mengapa kebanyakan kita tidak lagi berminat dengan kes 1MDB,” katanya.

“Jadi soalan kedua ialah ini; apa yang tak kena dengan kita ni? Adakah kita secara kolektif, masyarakat yang ‘mudah lupa’? Adakah kita semua sudah penat dengan rasuah sehingga kita berputus asa sepenuhnya untuk memerangi rasuah?” soalnya.

Menurut transkrip mahkamah dalam perbicaraan terhadap Roger Ng, Leissner menyebut perkara itu apabila ditanya oleh pendakwa raya mengenai urusannya dengan projek usaha sama PetroSaudi-1MDB.

Leissner menjelaskan bahawa dia telah mendapatnya melalui Ng – iaitu kakitangan bawahan Leissner ketika itu – bahawa 1MDB telah melabur sebanyak AS$1 bilion (RM4 bilion) ke dalam usaha sama itu.

Bagaimanapun, dia tidak boleh mengesahkan secara bebas sama ada rasuah itu telah dibayar.

Pada November tahun lalu, SPRM berkata Singapura telah memulangkan semula dana sebanyak AS$15.4 juta berkaitan 1MDB kepada Malaysia yang melibatkan syarikat milik bersama Tawfiq.

Menurut The Edge, pemindahan berjumlah AS$16.22 juta itu berlaku pada 2008 dan 2009 dan telah dimaklumkan kepada Bank Negara pada 2015 dan 2016 apabila Singapura mula menyiasat pemindahan berkaitan 1MDB.

SPRM tidak mengulas secara terbuka mengenai perkara itu tetapi beberapa laporan mencadangkan bahawa mereka sedang menyiasat penglibatan suami Zeti, Tawfiq Ayman bersama bekas menteri kewangan II Nor Mohamed Yakcop.

Leissner ialah saksi utama dalam perbicaraan Ng yang didakwa atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Pada 2018, Leissner mengaku bersalah atas pertuduhan sama dan diarahkan memulangkan AS$44 juta.

Bila suami Zeti akan dikenakan tindakan?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Cecair Hitam, Busuk Keluar Daripada Paru-Paru Kanak-Kanak Positif COVID19

Dakwaan petunjuk baharu MH370

Encik Sajat kini wanita sah di Australia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker